Pages

Tuesday, August 23, 2016

Boracay - part 3

Dah sampai mana cerita trip Boracay kali ini? Punyalah lama aku nak update sampai aku sendiri hampir lupa. Apa tandanya tu? Nampak sangat aku dah tua kan tapi tak nak mengaku. Hehehe..

Memandangkan sebelah pagi kami dah buat aktiviti island hopping dan jalan-jalan sekitar Boracay, balik ke hotel untuk rehatkan diri. Ingatkan bolehlah nak tidur sekejap. Aku cubalah pusing badan ke kanan dan kiri tapi tak juga nak tidur. Nak tengok TV tak faham bahasa pula. Sudahnya aku baring atas katil dan pandang siling. Padan muka aku. 

Lebih kurang pukul 5 petang, adik dan ayah ajak aku mandi-mandi tepi pantai. Nak ke pantai taklah jauh mana pun dari hotel sebab Hotel La Carmela De Boracay ni memang menghadap pantai. 


Aku ingat nak ikut mandi tapi boleh pula aku tak bawa baju mandi. Aktiviti aku cuma duduk tepi pantai sambil-sambil cuci mata. Awas, cuci mata siapa pula tu? Jangan nak nakal-nakal tau! 


Aku perasan ramai betul orang yang buat istana pasir di tepi pantai. Sambil aku duduk tunggu adik dan ayah aku, depan aku ni ada 2 orang lelaki tengah buat istana pasir. Reka bentuk istana pasir pula, aku tengok lebih kurang sama sahaja. 



Dalam proses siapkan istana pasir. 

Yang ni dah siap. Ini pun aku curi-curi ambil gambar. Kalau tak, kena bayar.

Rasanya aku duduk di situ sekejap je. Apa taknya sebelah malam pula tempat tu akan bertukar menjadi tempat makan. Daripada aku kena halau, adalah lebih baik aku keluar dulu. 

Pekerja hotel sedang susun meja dan kerusi untuk persiapan aktiviti sebelah malam. 

Kemudian aku layan perasaan jalan-jalan tepi pantai. Bila dah petang ni, makin ramai orang yang datang. 

Siap ada orang jual jajan tepi pantai lagi tu. 

Bila dah semakin gelap, kami balik ke bilik. Memandangkan malam tu adalah malam terakhir di Boracay, ingat nak makan malam di luar. Sebelum ni dah nampak kedai makanan Arab di kawasan D Mall, ingat nak cubalah rasa. 

Lepas Maghrib, siap-siaplah kami ke sana. Malas nak jalan kaki ke D Mall, tahan tuk tuk dekat hotel. Bayaran dikenakan sebanyak PHP60 untuk sekali perjalanan dari hotel ke D Mall. Sampai sahaja terus ke kedai makanan Arab. Kita makan dulu. Servis agak lambat tapi nasib baik makanan dia sedap. Maaf tak sempat nak ambil gambar makanan.

Perut dah kenyang, jalan-jalan sekitar D Mall tengok apa yang menarik. Ayah aku pula nak cari baju buat kenangan di Boracay. Singgah ada kedai baju yang dimiliki oleh orang Islam dan sudah pasti ayah aku pun sukalah. Inilah masanya kita nak tolong saudara Islam. Bila beli barang jangan lupa tawar harga. Tawar punya tawar dapatlah harga PHP500 sehelai. 

Makan pun sudah, beli barang pun sudah, marilah kita balik. Dah tak larat nak jalan lagi, terus tahan tuk tuk ke hotel dan bayaran masih lagi PHP60 sekali perjalanan. Bayar je lah. Tuk tuk yang kami naik ni kecil sahaja. Kalau kami naik bertiga, memang muat-muat. Ayah aku naik depan manakala aku dengan adik duduk di belakang. 

Inilah rupanya tuk tuk di Boracay. 
(ehsan daripada Google)


Sampai sahaja di bilik, kemas beg sebab esok pagi nak balik dah. 

p/s: ada insiden di luar dugaan. malunya rasa. 

Friday, August 5, 2016

Boracay - part 2

Sambung lagi pada hari kedua di Boracay. Sebelum aku teruskan cerita di Boracay, mari aku tunjukkan Hotel La Carmela De Boracay. Amik kau naik tergeliat lidah aku nak menyebutnya. Bayaran dikenakan untuk penginapan sepanjang 3 hari 2 malam di sana adalah sekitar RM650++ untuk 3 orang. 



Depan hotel terus jumpa pantai. 

Memandangkan di Boracay cepat cerah, pada pagi tu kami bangun pukul 6 pagi sedar-sedar dah terang benderang. Hmm nampak gaya solat subuh gajahlah. Perancangan pada pagi ini nak ambil pakej island hopping. Sebelum meneruskan perjalanan, kita makan pagi dulu di hotel. 

Pakej makan pagi yang diberikan oleh hotel cuma untuk 2 orang jadi kena bayar untuk tambahan seorang lagi. Maaf aku tak ingat berapa bayarannya. Manakala pilihan makanan yang boleh makan adalah terhad. Aku cuma ambil nasi putih, roti, telur goreng, cereal dan buah-buahan. Nasib baik adik aku bawa makanan dari Malaysia. Baru ada selera nak makan. 

Untuk mengambil pakej island hopping, kami pergi ke Station 3 dan pakej-pakej lain ada juga disediakan di sana juga. Pilih sahaja mana yang suka sama ada nak yang private atau group tour. 

Memandangkan kami tak nak tour yang lama-lama, kami pilih pakej private tour yang merangkumi Crystal Cove Island dan melayari sepanjang pantai Boracay. Ayah aku dah pesan, tak melibatkan aktiviti mandi-mandi atau snorkeling. Pendek kata tak nak basahkan baju langsung! Bayaran dikenakan untuk 3 orang adalah PHP1,500 selama 3 jam. 

Inilah bot yang kami naik. 

Crystal Cove Island, destinasi pertama kami. 

Ada 2 cove kalau sesiapa yang ingin mencuba. Aku tak masuk sebab takut tapi adik dengan ayah aku masuklah. Aku ni badan je besar tapi penakut. 


Cove pertama.


Cove kedua. 

Aktiviti aku adalah ambil gambar sementara tunggu adik dan ayah aku keluar. Aktiviti yang sungguh tak mencabar langsung! Mari aku tunjukkan gambar sekitar Crystal Cove. 







Lebih kurang 1 jam setengah kami berada di Crystal Cove. Pemandangan di sini memang cantik dengan air yang jernih. Seterusnya kami dibawa mengelilingi Boracay bermula dari Station 1 sampailah ke Station 3.

Inilah hotel paling mahal di Boracay, Hotel Shangri La. Tak salah aku, bayaran untuk 1 malam melebihi PHP25,000. 

Katanya rumah ini milik ahli tinju Filipina yang masyhur, Manny Pacquiao. Besarnya rumah dia. 

Selesai tour, kami jalan-jalan sepanjang pantai Boracay. Entah macamana, sambil jalan-jalan boleh jumpa kedai makan halal. Apa lagi, kita makan dulu. Di Boracay terdapat komuniti kecil Islam yang datang dari Mindanao. Bila nampak kami, mereka cukup teruja sambut kami. Ayah aku lagilah suka bila jumpa mereka. Siap tanya lagi, mana nak cari masjid di Boracay ni. 

Kedai makanan halal di Boracay. 

Bila sampai di Boracay, jangan lupa untuk beli mangga kering. Sedap dan manis rasanya. Sempat lagi aku beli beg, fridge magnet dan key chain di kedai sebelah kedai makan ni. Kebetulan yang jual ni pun orang Islam. Makcik tu siap bagi diskaun khas untuk kami. We're sisters. Cewah! 

Perut dah kenyang, sambung lagi jalan-jalan sebelum balik ke hotel. Jalan punya jalan, sampai ke D'Talipapa. Di sini, ada pasar basah yang menjual pelbagai hasil laut. Boleh juga minta masak lauk yang dibeli di kedai makan yang ada dekat pasar tu. 

Pasar basah. 

Lobster. 

Landak laut. 

Kedai makan yang menyediakan perkhidmatan memasak. 

Komen daripada pelanggan yang datang. 

Jangan risau ada juga kedai makan halal yang menyediakan perkhidmatan yang sama tapi lokasinya agak tersorok sikit. 

Kedai makan halal dan cenderamata. 

Puas jalan-jalan, kami pun balik ke hotel. Nampak gaya kita sambung lagi cerita ini ya. 

p/s: menikmati suasana petang pula seterusya.