Pages

Tuesday, October 5, 2021

BBQ Lamb KL Kemensah

Mari aku nak bawa semua satu tempat yang istimewa namanya BBQ Lamb KL Kemensah. Kenapa istimewa? Di sinilah tempat makan yang boleh menjamu makanan yang dihidangkan sambil boleh bermain air sungai. Nak ke sini mudah sahaja, ia terletak di belakang Zoo Negara. Cumanya jalan ke sana agak sempit dan dinasihatkan untuk berhati-hati memandu kereta. 

Asalnya memang tak rancang nak ke sana sebab penat jalan-jalan di Zoo Negara. Adik ipar yang mencadangkan makan di sana. Aku setuju tapi kena tengok dulu. Katanya memang ramai yang makan situ. 

Sampai sahaja, memang ramai orang dah menunggu. Dalam hati, rasanya tak ada peluanglah nak makan. Ditambah pula, parking kereta penuh. Aduhai. Nasib aku baik. Ada ruang parking kereta. Alhamdulillah. Jangan lupa, bayaran dikenakan sebanyak RM5 sekali masuk. 

Pintu masuk. Ada nombor telefon untuk buat tempahan.

Ini yang aku maksudkan. Boleh makan-makan sambil bermain air.

Air sungai nampak jernih kan? 

Aku tak diletakkan di kawasan air sebab tak buat apa-apa tempahan. Mari aku tunjukkan meja aku pula. 

Anak saudara aku geram tengok air tu. Sabar ya. Lain kali kita datang kita main air. 

Secara keseluruhan, makanan yang dihidangkan boleh tahan rasanya. Yang tak best kena tunggu lama. Hampir 1 jam baru dapat makanan. Oh ya, apa yang aku order hari tu adalah mix meat grill yang ada ayam, itik, kambing dan daging dengan harga RM150. 

Dalam set ini termasuk 4 pinggan nasi, air teh o limau ais yang boleh ditambah, buah tembikai dan puding koktel. Aku minta tukarkan itik dengan ayam sebab tak makan itik. Ada set makanan lain seperti seafood, lobster dan banyak lagi. Maaf, aku tak ingat harga untuk set makanan tersebut. 

Sambut hari lahir adik ipar sekali. Siap letak happy birthday. So sweet. 

Ada yang teruja? Jangan tunggu lama-lama. Dinasihatkan untuk buat tempahan terlebih dahulu sebelum datang. Nanti tak perlu nak tunggu lama-lama. Selamat mencuba ok! 

Monday, October 4, 2021

Bulan Oktober, bulan istimewa

Dah masuk bulan Oktober. Cepat betul masa berlalu. Bila masuk bulan Oktober, bulan yang sangat istimewa sebab ia adalah bulan kelahiran aku. Ya betul, aku dah semakin tua. Tahun ini umur aku 47 tahun dan lagi 3 tahun cukuplah 50 tahun. Boleh dah keluar sebahagian duit daripada KWSP. Hahaha!  

Apa plan aku nanti? Belum ada apa-apa lagi. Nak jalan-jalan pun belum boleh lagi selagi arahan merentas negeri belum keluar. Cuti tahunan banyak sampai 52 hari! Ada idea nak buat apa dengan cuti banyak tu? Memamg boleh bawa ke tahun hadapan tapi maksimum yang boleh bawa sebanyak 40 hari. Baki 12 hari?

Lupa nak beritahu, dalam bulan Oktober ramai betul yang sambut hari lahir. Macam aku, kesemua adik perempuan lahir bulan Oktober malah ramai makcik dan pakcik aku lahir bulan yang sama. Macam dah rancang sama-sama lahir bulan Oktober. What to do, October babies are special. Cewaah perasan kan? 

Kajian daripada Dato' Dr. Fadhilah Kamsah berkenaan rahsia bulan kelahiran, orang yang lahir pada bulan Oktober mempunyai ciri-ciri seperti: 

# suka sembang

# suka orang yang sayang padanya

# suka ambil jalan tengah

# sangat menawan & sopan santun

# kecantikan luar & dalam

# tidak pandai berbohong & berpura-pura

# mudah rasa simpati, baik pentingkan kawan

# sentiasa berkawan

# hatinya mudah terusik tetapi merajuknya tak lama

# cepat marah

# macam pentingkan diri sendiri

# tidak menolong orang kecuali diminta

# suka melihat dari perspektifnya sendiri

# tidak suka terima pandangan orang lain

# emosi yang mudah terusik

# suka berangan & pandai bercakap

# emosi yang kelam kabut

# daya firasat yang sangat kuat (terutamanya perempuan)

# suka melancong,bidang sastera & seni

# pengasih, penyayang & lemah lembut

# romantik dalam percintaan

# mudah terusik hati & cemburu

# ambil berat tentang orang lain

# suka kegiatan luar

# orang yang adil

# boros & mudah dipengaruhi persekitaran

# mudah patah semangat

Apa pendapat korang? 

Friday, September 10, 2021

Peralihan Fasa 2 kepada Lembah Klang



Lega rasanya bila dapat tahu Lembah Klang dah beralih kepada Fasa 2 bermula pada 10 September 2021. Sekurang-kurangnya bolehlah keluar jauh sikit daripada rumah tanpa perlu bawa surat kebenaran. 

Untuk merentas negeri belum boleh lagi walaupun dah dapat 2 dos vaksin. Bersabarlah, tunggu sikit lagi. Banyaklah berdoa semoga dapat kembali seperti dulu. 

Baru-baru ini Pulau Langkawi dah buka untuk menerima pelancong pada 16 September 2021, mahu bergetar rusuk aku dibuatnya. Punyalah lama aku tak keluar melancong. Trip ke Pulau Pinang dah banyak kali bertangguh dan akhirnya batal. Sedih sangat dibuatnya. 

Kalau 1 hari nanti kalau diberi peluang nak ke mana-mana, rasanya nak ke mana? 

Thursday, August 19, 2021

Peach Strudel

Baru-baru ini aku ada buat peach strudel untuk birthday adik aku. Alang-alang dah buat, buatlah lebih. Alhamdulillah dapatlah aku buat 4 kotak peach strudel. 

Selepas siap peach strudel, aku nak hantar kepada adik-adik aku dengan pakai perkhidmatan Grab. Dah sekarang masih belum boleh lagi merentas daerah apa lagi merentas negeri. Aku tinggal di Bangi, nak hantar peach strudel ke Putrajaya dengan Kelana Jaya memang tak lepaslah kalau tak ada kebenaran. 

Masa aku nak panggil perkhidmatan Grab, baru sahaja lepas hujan. Sudah pasti jalan licin yang boleh membahayakan kepada penunggang motorsikal dan kereta. 

Dipendekkan cerita, macam-macam rupa peach strudel sampai ke tangan adik-adik aku. 

Ini hasil peach strudel yang baru siap.

Peach strudel di Putrajaya. Buah peach dah senget-senget. Boleh makan lagi. 

Peach strudel di Kelana Jaya. Peach strudel dah hancur.

Rupa-rupanya masa adik Grab nak hantar ke Kelana Jaya, kena langgar. Habis luka dan berdarah kaki dia. Banyak kali dia minta maaf sebab rosakkan peach strudel. Bila aku dapat tahu, aku tak marah pun kepada adik Grab tu. Bagi aku, peach strudel tu boleh ganti dan boleh buat lain. Yang penting keselamatan diri masa membawa motorsikal. Aku selalu pesan, bawa motor elok-elok sebelum bertolak daripada rumah aku. Doakan mereka selamat sampai ke destinasi. 

Nak bagi duit untuk beli ubat, adik Grab tu tak nak ambil. Agaknya rasa bersalah sebab rosakkan peach strudel. Aku pun bagilah tips sikit dan tak lupa bagi rating bagus. Moga adik Grab tu, selamat dan sihat hendaknya. Terima kasih sebab hantar peach strudel. 

Wednesday, August 18, 2021

Work Station

Semenjak aku bekerja dari rumah, aku ada beli beberapa keperluan untuk memudahkan aku bekerja. Setakat ini masih lagi tambahan peralatan terutamannya kerusi. Kerusi yang ada sekarang tak boleh nak duduk lama-lama. Memang lenguh dibuatnya. 

Asalnya bilik ini dah lama tak pakai semenjak wan meninggal dunia pada tahun 2019 dan baru-baru ini ingatkan nak digunakan untuk mak saudara tapi dia pun baru meninggal dunia bulan lepas. Daripada terbiar sahaja, adalah lebih baik aku pakai kan? Lagipun selama ini aku buat kerja tak ada yang tetap. Sekejap di meja makan, sekejap di bilik tidur dan mana-mana sahaja yang aku rasa sesuai. 

Sempoi je work station aku ni. 

Nak kumpul duit dulu, baru boleh beli kerusi baru. Alang-alang nak beli, beli kerusi gamers terus. Hahaha! Nampak gaya pun, lama lagi aku boleh balik semula ke pejabat. 

Wednesday, July 7, 2021

Saya sudah divaksinasi

Semalam aku baru dapat suntikan vaksin dos pertama sinovac di Bangi Avenue Convention Centre. Alhamdulillah setelah 24 jam berlalu, semuanya ok. Tiada rasa demam, pening kepala dan muntah. 

Pada asalnya aku taklah mengharap nak dapat tarikh temujanji vaksin dalam masa terdekat sebab aku tahu ramai lagi kawan aku yang dah daftar lebih awal daripada aku tapi tak dapat lagi tarikh temujanji. Bila aku periksa MySejahtera, eh terus dapat tarikh temujanji vaksin. Sebelum ini aku dah cuba untuk dapatkan vaksin yang ditawarkan tapi tak berjaya. Jadi aku pasrah, belum ada rezeki lagi. 

Bila aku sampai pusat vaksin, semuanya berjalan dengan lancar. Tak sampai 1 jam, dah selesai semuanya. Aku siap bawa bekalan makanan dan minuman, manalah tahu akan mengambil masa yang lama. Memang aku ni dasar kuat makan, kan? 

Petugas-petugas yang ada sangat membantu dan peramah dari aku mula-mula masuk sampailah selesai proses vaksin. Terharu aku dibuatnya. 

Bukti aku dah vaksin. 

Ada lagi yang belum dapat tarikh temujanji vaksin? Sabarlah, 1 hari akan dapat juga. Aku tak kisah nak dapat vaksin apa. Yang penting dah dapat. Betul tak? 

Harap sangat bila dah dapat vaksin, jumlah kes positif covid 19 akan menurun. Tak sanggup aku tengok laporan semakin meningkat setiap hari. 

Yang penting, kita jaga kita! 

Saturday, June 19, 2021

Baking session

Untuk mengisi masa sepanjang PKP, angin untuk buat kuih datang melonjak-lonjak. Apa lagi aku nak buatkan? Patutlah bila timbang berat badan, naik tak terkata. 

Mula-mula buat kek untuk anak saudara, Harith Irfan yang ke-10. Sayang punya pasal, makcik ini lah sanggup buatkan. Siap minta nak kek lemon dan letak gambar Ni Giyuu. Apa Ni Giyuu tu?  Aku siap Google gambar sampai jumpa. 

Hasil kek untuk Harith Irfan. 

Lepas tu, adik aku forward tiktok buat peach strudel. Bahan nak buat memang tak banyak dan mudah dibuat. Kalau tak salah aku, bahan-bahan yang diperlukan ialah pastri kawanku, buah peach dan whipping cream. Rasanya memang sedap terutamanya masa sejuk. Nanti korang cari dan buat ya.

Peach strudel. Aku letak sekali lemon curd nak seimbangkan rasa manis dan masam. 

Ada beberapa kek aku buat tapi tak sempat nak ambil gambar contohnya kek marble, kek victoria sandwich dan kek pisang. Nak kata mahir sangat tu, aku tak berani nak cakap. Cukuplah sekadar untuk makan sama-sama. 

Friday, June 18, 2021

Temujanji imunisasi vaksin Covid-19

Pada 5 Jun 2021, ayah aku selamat terima dos pertama vaksin di Kajang. Nasib baik aku sempat periksa applikasi MySejahtera dia. Kalau tak periksa, manalah tahu terlepas temujanji. Nak tunggu lagi, tak tahu dapat bila. 

Alhamdulillah proses perjalanan mendapat dos pertama vaksin berjalan dengan lancar. Dalam masa 1 jam, dah selesai semua proses. Kebetulan masa sampai, orang tak ramai lagi. 

Aku nasihatkan untuk pergi temujanji vaksin, jangan lupa untuk:

1. Bawa kad pengenalan

2. Telefon bimbit yang menunjukkan temujanji MySejahtera 

3. Senarai ubat yang diambil (sekiranya ada) 

4. Pen untuk isi borang

Untuk temujanji dos kedua vaksin pada 26 Jun 2021. Harap semua berjalan dengan lancar. 

Semangat ayah aku ambil gambar dah dapat vaksin. 

Aku pula tak tahu bila nak dapat tarikh temujanji vaksin. Hari tu dah cuba tapi tak berjaya. Belum ada rezeki lagi nampak gayanya. Tunggu je lah sampai dapat. 

Thursday, May 27, 2021

Rezeki bantal

Cerita pasal rezeki, ia boleh datang dengan pelbagai cara dan rupa. Baru-baru ini aku ada order 2 bantal dan 4 sarung bantal. Pada 19 Mei 2021, yang datang adalah

.

.

.

4 bantal!


Eh mana perginya sarung bantal? Eh kenapa pula dapat 4 bantal? Banyak pula eh nya. Macam lagu Zizi Kirana pula, Eh..Eh..

Aku rasa dia orang salah hantar. Bagaimana boleh jadi macam ni? Ini bukan yang aku order. Aku jadi serba salah, perlukah aku mendiamkan diri atau beritahu perkara sebenar. 

Jadi, aku emel kepada penjual bantal menerangkan perkara sebenar. Aku pun tak tahu nak buat apa dengan bantal extra tu. 

Memang cepat maklumbalas daripada penjual bantal. Aku dapat tahu rupa-rupanya ada masalah komunikasi antara pekerja gudang bantal dengan courier. Ok aku faham isu itu. 

Pada penghujung emel, aku cubalah nasib. Aku cuba tanya manalah tahu dapat diskaun atau ganjaran hasil daripada kejujuran aku (cewah suci murni bunyinya). Lagipun aku tak mengharap apa-apa pun. Kalau ada rezeki, dapatlah sikit ganjarannya. 

Nak tahu? Akhirnya aku diberi bantal tersebut dengan percuma. Waaahh! Ini sudah bagus. Alhamdulillah. 

Aku copy emel dia: 

Hi Miss Mazuriah,

Since you asked, lets make it simple, you can just take the two hotel pillow for free as a token of appreciation from us to you.

Sounds good?

Walaupun bantal, bagi aku itu adalah rezeki yang tak diduga. Terima kasih. Untuk 4 sarung bantal, dia akan pos kemudian.

Sudahnya yang bantal extra tu aku bagi kepada adik dan ayah aku. Sharing is caring. Betul tak? 

Tuesday, May 25, 2021

Pavlova untuk Sara

Baru-baru ini aku ada buat pavlova untuk anak saudara, Sara yang ke-16. Dah besar panjang rupanya anak saudara aku atau sebenarnya aku yang semakin tua. 

Aku dah lama tak buat pavlova sebab leceh penyediaannya. Kalau silap sikit, memang tak jadi langsung! Memandangkan pavlova ini adalah kesukaan dan kegemaran Sara, aku sebagai mak saudara yang baik hati dan penyayang pun buatlah. Untunglah siapa yang jadi anak saudara aku. Hahaha!

Bila dah siap pavlova, aku terus panggil perkhidmatan Grab sebab aku tak boleh rentas daerah. Inilah rupanya pavlova aku. 

Bila sampai rumah Sara, adik aku tambah lagi buah mangga untuk diletakkan atas pavlova. Eh, semakin menarik pula aku tengok hasilnya. 


Kepada Sara, aku ingin ucapkan Selamat Hari Lahir yang ke ke-16. Belajar rajin-rajin untuk mencapai citi-cita yang diinginkan. Semoga menjadi anak yang solehah dan beriman. 

Lepas ini giliran siapa pula? 

Monday, May 24, 2021

Happy Birthday Giveaway by Abam Kie


 Assalamualaikum semua. 

Kali ini aku nak join Giveaway daripada Abam Kie. Senang sahaja caranya tapi pastikan kena ikut semua tau. 

Syarat-syaratnya: 

1. Buat satu entri/blog post bertajuk 'Happy Birthday Giveaway by Abam Kie'.

-Done

2. Follow blog Abam Kie iaitu www.zukidin.com. Lepas tu follow Instagram Abam Kie iaitu www.instagram.com/abamkie. Akhir sekali, subscribe Saluran Youtube Abam Kie iaitu http://gg.gg/zukitube.

-Done

3. Masukkan link blog Abam Kie iaitu www.zukidin.com di blog list kawan-kawan. Nanti Abam Kie akan letakkan link blog kawan2 juga. Orait?

-Done

4. Letak banner di atas dalam entri tersebut dan backlink di pos ini sahaja.

-Done

5. Siap semua, publish entri anda. Jangan lupa hantar link blog post segmen anda dalam ruangan komen di bawah entri ini sahaja. 

-Done

Kepada yang menyertai Giveaway Abam Kie, diucapkan all the best! 

Untuk Abam Kie, saya ingin ucapkan Happy Birthday. Semoga dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur. Stay safe and take care. 

Monday, May 17, 2021

NZ Souvenirs Giveaway by SitiYangMenaip

Marilah sama-sama kita join Giveaway daripada SitiYangMenaip. Alang-alang join, bolehlah aku update blog yang dah lama terbiar. Sekadar mencuba nasib. Kalau ada rezeki, mana tahu dapat. Betul tak? 

Wednesday, April 21, 2021

Ramadhan Mubarak

Selamat berpuasa semua. Bagaimana puasa kali ini? Semua ok? Waah tahun ini dah ada bazar Ramadhan dan solat terawih berjemaah boleh dilaksanakan di surau dan di masjid. Alhamdulillah.  Harapnya ibadah puasa kali ini akan menjadi lebih baik daripada tahun sebelum ini. 

Cerita pasal bulan Ramadhan, aku mula berpuasa ketika umur aku 8 tahun. Itupun aku banyak mengelat. Konon berpuasa tapi sempat lagi curi-curi minum air. Ditambah pula, di sekolah rendah ramai yang berbangsa cina dan india. Tengok dia orang sedap minum air, aku cuma telan air liur sahaja. Sabar je lah.  

Untuk menarik dan menggalakkan aku berpuasa, mak ayah aku siap bagi upah RM1 untuk sehari. Lagi banyak puasa, lagi banyak dapat upah. Pada tahun itu, aku berjaya puasa penuh 1 bulan dan dapatlah aku upah RM30. Gembira tak terkata rasaya masa tu. Nilai duit RM30 memang besar. Aku pun tak ingat apa yang aku buat dengan duit itu. Yang aku tahu, duit aku habis. Hahaha..nampak sangat aku ni kuat berbelanja sampai sekarang masih tak ubah perangai tu. 

Sekarang ni ada lagi ke nak bagi aku upah berpuasa? Kalau ada, aku terima dengan tangan terbuka. Macam mustahil nak dapat lagi. Rasanya akulah yang bagi upah berpuasa nanti terutamanya anak saudara aku. 

Kepada semua, aku ingin ucapkan sekali lagi selamat berpuasa. Nak rentas negeri kali ini belum boleh lagi. Sabar ya. Jangan membazir dan berbelanja secara berhemah dan sederhana. 

Monday, February 22, 2021

Perodua Ativa





Aku sebenarnya adalah peminat dan pengguna kereta Perodua. Bermula dengan membeli kereta Myvi pada tahun 2005 dan kemudian tukar kepada Bezza pada tahun 2016. 

Sejak ada pelancaran kereta baru Avita baru-baru ini, aku tengok cantiknya. Katanya rekabentuk kereta macam Daihatsu Rocky. Bergetar iman dibuatnya macam nak tukar baru je. Lebih-lebih lagi yang warna merah. Harga pula boleh tahan juga bermula dengan RM62,500 hingga RM73,400. 

Korang rasa macamana pula? 

Kita tengok dulu, InsyaAllah ada rezeki lebih mana tahu boleh tukar kepada Ativa. Aku ni, berangan tak sudah-sudah. 

Friday, January 29, 2021

Sepatutnya aku di sana

Sepatutnya hari ini aku berada di Pulau Pinang tapi memandangkan PKP masih diteruskan hingga 4 Februari, terpaksalah aku batal trip aku. Bilalah agaknya dapat ke sana, aku pun tak pasti. Tunggu sahaja pengumuman Kerajaan seterusnya. Nasib baik dapat balik duit tiket kapal terbang walaupun bukan dalam bentuk tunai. 

Aku dah tak tahu nak ke mana sekarang. Alang-alang nak tunggu, adalah lebih baik aku tunggu pintu sempadan dibuka. Betul tak? Lama dah passport aku tak bercop. Kali terakhir adalah setahun yang lalu. 

Good thing, aku boleh simpan duit dulu. Kita kumpul banyak-banyak (macamlah banyak duit aku ni), kita enjoy puas-puas! Wishlist aku tu tak perlu aku cakap, memang semakin panjang senarainya. Hahaha. 

Ok, take care semua. 

Monday, January 4, 2021

Hari pertama bekerja tahun 2021

Hari pertama masuk kerja hari ini untuk tahun 2021. Serba-serbi masih kabur sebab cuti lama sangat bermula daripada cuti Hari Krimas. Cuti tahunan banyak lagi jadi adalah lebih baik kita guna. Betul tak? 

Korang bagaimana pula? Semua ok tak? 

Baru aku perasan tahun 2021 adalah tahun ke-14 aku bekerja di sini. Lamanya aku rasakan dan semakin tua aku ini. Pekerja yang baru masuk nanti, pasti dah pangkat anak-anak. Mungkin mereka akan panggil aku makcik berbanding kakak sebelum ini. Nampak gayanya sampai pencen aku setia di sini. Dah tak tahu nak pergi mana lagi. 

Isu politik kerja itu biasalah di mana-mana. Yang penting, hujung bulan gaji masuk dan bolehlah aku bayar segala perbelanjaan aku. Sambil-sambil tu simpan sikit untuk trip akan datang. 

Cerita pasal trip ini, aku dah tak sabar nak pergi pada hujung bulan Januari. Lama betul aku memendam perasaan. Harapnya semua akan berjalan dengan lancar. Destinasi? Aku bagi hint sikit dulu. Aku nak makan nasi kandar dengan rojak pasembur! Ada sesiapa boleh agak? Siapa dapat jawab, ada hadiah menanti.

Ok, jaga diri baik-baik. Semoga untuk tahun 2021 aku akan rajin update blog. Trip yang sebelum ini, aku tak tahulah bila nak sambung lagi. 

Saturday, January 2, 2021

Aku dan Grab Car

Boleh katakan kerap juga aku ambil perkhidmatan Grab Car. Selalunya aku akan ambil untuk keluar makan tengahari. Alasannya, malas nak memandu, mencari parking, bayar tiket parking dan sebagainya. (banyak betul alasannya) 

Bila naik Grab Car, aku suka sembang dengan pemandunya. Ada yang peramah dan ada yang pendiam. Dalam tempoh yang singkat untuk sampai ke destinasi, rajin juga mereka bercerita pengalaman mereka. Kebanyakkan yang aku jumpa yang bawa Grab Car adalah kesan daripada Covid 19. 

Bayangkan ada yang pernah bekerja sebagai jurutera kapalterbang terpaksa diberhentikan kerja. Untuk menampung dan kelangsungan hidup, mereka mengambil keputusan untuk membawa Grab Car. 

Bila jadi macam ni, aku ingin membantu mereka dan selalunya apa yang dapat aku lakukan dengan memberi lebih daripada tambang yang sepatutnya. Sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan mereka. 

Ini memberi pengajaran kepada aku dan semua. Bersyukurlah kepada mereka yang masih ada lagi pekerjaan dan pendapatan. 

Friday, January 1, 2021

Selamat tahun baru 2021


Semoga pada tahun 2021 akan memberi sinar harapan yang lebih baik daripada sebelum ini. Kepada kaki-kaki jalan, berdoalah semoga pintu keluar akan dapat dibuka segera. Aku pun dah lama tak jalan dan passport dah lama tak bercop!