Pages

Friday, December 30, 2011

Koleksi kalendar 2012

Banyak pula dapat kalendar untuk 2012. Ok..mari kita lihat koleksi kalendar yang aku ada.  


Daripada Fujitsu.

Beli daripada Emila.(RM15)

Daripada Nielsen. (dah siap tanda bila gaji masuk)

Beli daripada groupon. (RM39 untuk 6 keping magnet kalendar)

Daripada kawan opis. Bisnes isteri dia. 

p/s: ada siapa nak bagi aku kalendar lagi? hehehe..

Thursday, December 29, 2011

Duit bonus

Baru-baru ini dapat bonus 1 bulan tapi tak sempat nak foya-foya sebab ayah aku dah sound tayar kereta aku dah sampai masa nak tukar baru. Uwaaa!!! 

Bila dah tolak perbelanjaan tayar kereta, ada tinggal sikit untuk aku dan sempat lagi aku nak beli kain hari tu. Cukuplah buat aku happy. Hehehe.. (senang je nak buat aku suka). Kalau ikutkan hati, nak beli macam-macam tapi kena simpan sikit untuk masa-masa kecemasan. 

Alang-alang tukar tayar, tukar spot rim. Angan-angan tinggi!

Baki bonus tak tahu bila nak dapat. Ikut rekod sebelum ni, dalam bulan Mac. Nampak gayanya kena tunggulah. Tahun ni aku tak mengharap sangat nak dapat banyak sebab aku rasa performance tahun ni tak berapa nak memberansangkan. Banyak ke laut je aku ni. (kantoi!!)

Apa-apa pun, bersyukurlah apa yang ada daripada tak dapat langsung. Betul tak?

p/s: baru tukar tayar dah berpeluh badan. 

Monday, December 26, 2011

Merdeka! Dah habis exam.

Alhamdulillah. Aku bersyukur aku dapat menjawab exam baru-baru ini dan sekarang hanya tunggu keputusan exam. Apa yang aku dapat katakan, semester akhir ini memang banyak dugaan dan cabaran. Kali ini sabjek yang diambil agak susah dan ditambah pula assignment yang banyak. Hmm...sabar je lah jawabnya. Apa-apa pun aku, aku bertuah sebab dapat kawan-kawan yang selalu membantu dan menyokong aku. Kalau korang tak ada, aku tak tahu apa nak jadi dengan aku. 

Bila dah habis belajar, terasa rindu pula dengan classmate terutama sekali kepada Mr. X! Rasanya bila agaknya dapat jumpa lagi dengan mereka. Hari tu ada juga dengar khabar nak buat famili day. Jadi ke tak aaa?? Kalau aku nak organize, penat sikitlah...apa kata kalau aku jadi pembantu? Boleh terima tak idea aku ni? Hehehe..

InsyaAllah bulan Oktober aku akan konvo di UUM, Kedah. Lamanya nak tunggu. Plan nak pakai baju kebaya masa konvo nanti. Oooo lala! Kain dah beli cuma tak hantar lagi untuk dijahit kat nyonya. Perrgghh..semangat gila! 

Ok tak? Nak buat kain kahwin pun boleh. Eiii gatalnya. 

Apa lagi plan aku seterusnya? Tak ada plan apa-apa lagi cuma nak habiskan cuti tahunan sahaja. Esok aku ambil cuti. Ingat nak jalan-jalan sekitar Jalan TAR..cari kain ke. Bukan shopping tapi terapi kain. Ada sesiapa nak ikut? 

p/s: bila cuti lama-lama, malasnya nak masuk kerja balik. 

Friday, December 23, 2011

Sikit je lagi

I'll be back after 24 December. Sekarang sibuk nak siapkan assignment dan siap sedia untuk final exam esok. Tinggal paper akhir, lepas tu aku akan merdeka! 



p/s:berpeluh badan nak menempuh exam

Sunday, December 18, 2011

Demam exam

Semalam jawab paper Managerial Economics..perrgghh berpeluh-peluh dibuatnya walaupun masa tu dalam bilik aircond. Dah lama aku tak belajar ekonomi, banyak teori yang aku tak ingat sangat. Memanglah aku jawab semua soalan tapi tak tahulah betul atau tidak. Rasanya masa 3 jam yang diberi memang tak cukup sampaikan lecturer buat masa tambahan lagi tu. Hehehe..

Yang tak tahan tu bila lecturer beritahu, "kalau repeat paper, tak tahu lagi siapa ajar nanti." Ish lecturer ni macam mengharap kami tak lepas pula. Dahlah semester ni semester akhir. Takkanlah tak boleh beri peluang kami lepas paper ni. 

Aku tak nak mengharap apa-apa. Score atau tak, itu hal kedua. Apa yang penting, paper ni kena lepas dulu. Betul tak? 

Aku tengok Mr. X macam tak yakin jawab paper. Alamak macamana ni? Orang scorer pun macam ni. Apa lagi aku yang ala-ala cukup makan. 


Jangan jadi macam ni pulak. Study sampai pecah kepala. 

Minggu depan ada paper lagi. Habis je jawab paper tu, merdekalah jawabnya! Yeaah! Ingat lagi, masa mula-mula nak ambil MBA rasa tak yakin buat. Boleh ke aku nak bahagikan masa kerja dengan belajar? Insya-Allah, kalau kita berusaha, pasti kita akan berjaya. Sesiapa yang bercadang nak sambung belajar, aku memang sokong. Tak cuba, mana kita nak tahu kan? 


p/s: UUM, here i come!

Wednesday, December 14, 2011

Final exam lagi


Sabtu ini aku ada final exam paper Managerial Economics. Walaupun dulu aku ambil kursus ekonomi, aku bukanlah pandai sangat. Tengok keluk je dah mula pening-pening kepala. Itu belum lagi bab mengira. Arrgghh!! Boleh ke aku jawab nanti?

Next paper pula minggu depan iaitu International Marketing. Yang ini bolehlah main goreng. Jangan goreng sampai hangit sudah. Hehehe..

Lepas exam, InsyaAllah aku akan merdeka. Yeaah!! Tak sabar nak konvo pula. Dahlah kena pergi jauh di UUM, Kedah. Rasa memang lama sangat nak habiskan study sebab ambil 2 sabjek untuk 1 semester. Tak salah aku, aku ambil 7 semester untuk habiskan semua. Itu pun, rasa nak pengsan dibuatnya. 

p/s: ada Mr. X yang buat aku semangat nak study.

Tuesday, December 13, 2011

Jumpa siapa?

Teka siapa aku jumpa semalam?


Aaron Aziz, hero Ombak Rindu. 


Acah mak enon...aku jumpa patung Aaron Aziz je. Hehehe... Tak dapat jumpa orangnya tapi jumpa patung pun jadilah. 

p/s: kalau jumpa betul-betul macamana agaknya. pasti tak boleh tidur malam. 

Thursday, December 8, 2011

Kalendar 2012



Yeaah! Semalam dah dapat kalendar 2012 yang dibuat khas oleh Emila Yusof.  Sampai je opis, terus gantung kalendar kat dinding. Semangat gila beb.  Diharapkan akan memberi semangat untuk terus maju pada tahun 2012. Cewaaah! 

Sesiapa yang ingin memiliki kalendar ini boleh dapatkan di sini dengan harga RM18 termasuk pos. 

Terima kasih sekali lagi kepada Emila. I really love it! 

p/s: kalendar itu penting untuk buat rujukan.

Makan

Semenjak hujan kebelakangan ini, aku asyik lapar sahaja. Mulalah kunyah biskut lepas tu ke pantry buat air milo, makan roti, makan kacang dan macam-macam lagi. Itu belum lagi sampai di rumah. Kat rumah lagi kuat godaannya. Stok makanan memang sentiasa ada sebab ayah aku suka makan. Kalau ikutkan nafsu, rasa nak makan semua! Alamak tiba-tiba nak makan aiskrim. Hmm..sedapnya. Kena cari ini. 

Aku ada tabiat yang tak boleh dipisahkan iaitu suka buka peti sejuk. Dalam 1 hari entah berapa kali aku buka peti sejuk. Bukannya nak makan pun tapi suka tengok apa dalam peti sejuk. Tabiat aku ni terbawa-bawa sampai ke rumah kawan. Nasib baik kawan-kawan aku jenis tak kisah bila nampak aku buka peti sejuk mereka. Kalau 1 hari korang nampak aku buka peti sejuk, jangan marah ya. I can't resist it. 

Sekarang ini, aku dah ada pengikut yang suka buka peti sejuk orang. Nak tahu siapa? Anak saudara aku, Hadi. Nampak je kedai jual peti sejuk, mesti nak buka semuanya. Adik aku cakap, Hadi tu  dah ikut perangai aku. Hehehe... Nak buat macamana, dah sebahagian darah daging keluarga sendiri. 


Hadi sedang mandi di Pulau Sapi. 

p/s: sejuk-sejuk ni, makan maggi kari panas pun sedap juga kan? meleleh air dibuatnya. 

Tuesday, December 6, 2011

3 tahun bersama-sama

Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurniaNya memberi aku peluang untuk melahirkan blog ini. Aku hampir lupa yang blog aku ni dah 3 tahun rupanya. Hehehe. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah ke blog aku ini.  

Post pertama aku bermula dengan cerita kereta Myvi aku. Aku tak tahu nak tulis apa sebenarnya sebab masa tu apa yang terlintas dalam kepala aku ialah kereta Myvi aku dan pada masa yang sama aku memang berangan nak beli kereta Nissan Latio. Bila dah lama-lama baru dapat rentak dan idea nak tulis apa. Siapa sangka dah 455 post (termasuk yang ini) sepanjang aku berkecimpung dalam dunia blog. Boleh tahan banyak juga tu. 

Aku suka update blog sebelah malam sebab baru dapat feel (poyo je kan) dan masa tulah idea datang banyak. Pernah juga idea tak datang sampai aku duduk mengadap laptop berjam-jam. Apa yang selalu aku buat, aku buat kerja lain contohnya baca buku, layan movie dan makan. Kalau tak ada juga, tidurlah jawabnya. Hehehe..

Terima kasih sekali lagi. 

p/s: :)

Saturday, December 3, 2011

If tomorrow never comes

Agak lama aku tak layan lagu dalam blog ni. Kebetulan tadi masa aku pergi kenduri kahwin, dia orang pasang lagu "if tomorrow never comes". Alamak lagu best. Teringat masa jiwang-jiwang karat dulu. Macam aku pula yang jadi pengantin baru. Ahaks! 

Jom kita layan lagu ni.


p/s: syok layan lagu ni terutama masa musim hujan. perrrggh! hehehe..

Friday, December 2, 2011

Musim kenduri kahwin

Ramai betul yang kahwin bulan ni. Sebelah sepupu aku, ada 3 orang nak kahwin, jiran rumah ada dalam 2-3 orang dan ditambah pula dengan anak kawan-kawan ayah. Boleh dikatakan tiap minggu ada jemputan kenduri kahwin. 

Best part kalau ada kenduri ni, aku tak payah nak masak tengahari. Hehehe...dasar pemalas masak betul! Yang tak bestnya, kalau orang dok sibuk tanya pasal aku, bila lagi giliran aku. Eiii malas aku nak jawab. Hari tu  aku ada dengar iklan radio cerita pasal kahwin ni. Best jawapannya bila orang tanya kenapa tak kahwin lagi. Nak tahu apa dia? Lebih kurang macam ni lah, "saya nak kahwin tapi saya tunggu makcik sediakan duit untuk saya." Amik kau!

Aku bercadang kalau nak kahwin nanti, aku rasa aku akan cuba elak buat pada cuti sekolah. Cewaah..berangan pula aku. Haaa..mana calon Abang Long kau? 

Selalunya orang akan mengambil kesempatan nak buat kenduri masa cuti sekolah. Itu yang menyebabkan dalam 1 hari, boleh ada banyak kenduri kahwin. Kalau jarak antara kenduri kahwin tu dekat, bolehlah pergi semua tapi kalau jauh, rasa tak dapat nak pergi semua. Hmm..kecil hati pula orang yang jemput tu nanti. 

Kalau kat kawasan rumah aku ni, dah jadi trend masa kenduri kahwin akan  disediakan corner cendol atau bubur kacang dan teh tarik. Dahlah aku memang suka makan cendol, apa lagi melantaklah. Antara banyak-banyak kenduri kahwin aku pernah pergi, aku tak boleh lupa ada orang buat ala-ala gerai yang banyak. Ada gerai laksa, char kuey tiow, nasi beriani, sate dan banyak lagi. Best!

Apa-apa pun, kepada yang akan melangsungkan perkahwinan, aku ingin ucapkan, "Selamat Pengantin Baru."

p/s: hujung minggu ni ada kenduri kahwin kat Rembau. 

Thursday, December 1, 2011

Semester akhir

Aku tahulah semester akhir, janganlah buat perangai malas nak buat assignment dan ulangkaji. Bulan ni ada final exam, satu benda tak buat apa-apa lagi. Apa nak jadi dengan aku ni? 

Bukannya lama dah pun..tinggal beberapa hari je lagi. Lepas tu, tak perlu nak fikir pergi kelas atau buat discussion. Argghh!!! Ada 4 assignments menunggu aku ni! Ada sesiapa boleh tolong aku? Nanti aku bayar upahnya. Hehehe...

p/s: tak percaya nak habis belajar rupanya aku ni. 

Thursday, November 24, 2011

Angkatlah ganggang telefon!

Aku nak mengadu pasal kawan opis aku. Dia ni bukanlah 1 department dengan aku tapi tiap kali dia terima call, dia akan pasang speaker. Maknanya semua orang yang ada sekeliling dia boleh dengar apa yang dia cakap. So boleh bayangkan tak? 

Geram betul! Bukan sekali dua tapi dah banyak kali! Aku yang duduk jauh dari meja dia, pun boleh dengar. Susah sangat ke nak angkat ganggang telefon tu? Bukannya kena bayar pun. Bukannya berat pun. 

Sebenarnya aku ada plan nak kenakan dia. Bagi dia sedar sikit yang bukan semua orang (terutamanya aku) suka cara dia tu. Nak tahu apa plan aku? Aku akan call dia lepas tu buat suara menggoda "aarrgghh....aargghhh". Biar semua orang dengar kan? Hahaha!!

Kalau kena kat korang, apa korang buat? Sudi-sudilah kongsi idea untuk bagi pengajaran kat kawan opis aku ni. 

p/s: macam berani aku nak buat...takut sebenarnya. 

Thursday, November 17, 2011

Short form

Selalu juga aku lompat-lompat baca blog orang tapi ada 1 perkara yang agak menyakitkan mata aku. Aku tak berapa faham kalau orang menggunakan perkataan ringkas. Bukannya nak kena bayar apa-apa pun kalau tulis panjang-panjang. Selalunya orang yang sezaman dengan aku (X generation) atau yang sebelum ini lebih suka tulis dengan penuh. 

Zaman kami dulu, tak didedahkan dengan perkataan ringkas. Itu belum kira lagi zaman dulu-dulu, penggunaan kesusasteraan melayu lama. Ingat lagi, dulu masa tingkatan 6 kena ambil sastera, kena baca Hikayat Hang Tuah dan banyak lagi. Apa yang cikgu ajar, memang tak faham langsung. Balik dari sekolah rasa nak menangis bila belajar sastera. 

Sebenarnya ada sebabnya penggunaan ayat sastera macam tu. Itu adalah salah 1 cara mereka nak menerangkan keadaan dengan lebih terperinci, menunjukkan betapa halusnya budi bahasa mereka pada masa itu dan tak lupa juga cara untuk menghargai sesuatu. Cewaaah! Kalaulah cikgu sastera aku tau, mesti dia bangga kan? Hehehe...

Sekarang ini, semua main ringkas sahaja. Contoh ayat:

"Kan kt ne? kt lai wah ah. pe je g? te we ah. cun bro. cam bj ak nix ja an."

Siapa tahu apa maksud ayat di atas?

Sila jawab siapa yang pandai. 

Ok, jawapannya adalah:

"Makan kat mana? Kat gulai kawahlah. Siapa saja pergi? Kita berdua sajalah. Cantik baju awak. Macam baju aku ni saja kan." 

Jenuh aku nak fahamkan ayat tu. Silap-silap boleh jadi maksud berbeza yang mungkin akan membawa maksud tak elok. Bahaya tu! 

Aku pernah jumpa lagi ringkas. Contohnya macam ni, BRB maksudnya Be Right Back. 

Kalau yang ini?

BTWITIAILW/U

BTDTGTS

RUMCYMHMD

Apa nak jawab?

BTWITIAILW/U = By The Way I Think I Am In Love With You


BTDTGTS = Been There, Done That, Got The T-Shirt


RUMCYMHMD = Are You On Medication Cause You Must Have Missed A Dose


Banyak lagi contoh dan boleh didapati di sini


p/s: bahasa menunjukkan bangsa.

Sunday, November 13, 2011

Dia untukku..

Waahh!! Ramai betul yang teruja dengan tarikh 11.11.11. Dulu aku pernah berangan nak kahwin pada tarikh 11.11.11 tapi nampak gayanya memang tak kesampaian. Nak buat macamana, tak jumpa lagi Abang Long. Agaknya Abang Long masih bersembunyi lagi kot? Hahaha.. 

Ada juga dok tanya..bila agaknya nak merasa nasi minyak aku ni. Hai...aku tak tahu nak jawab apa lagi. InsyaAllah bila sampai masanya, jodoh akan sampai juga. 

Cerita pasal jodoh ni, kita tak boleh nak rancang sebenarnya. Ini semua kerja Tuhan. Apa yang penting kita berusaha dan terus berusaha. Betul tak? Ada juga kawan aku, bercinta bukan main lama ala-ala loving couple gitu tapi tak jadi. Ada juga yang baru kenal, tup tup tak lama lepas tu dapat undangan perkahwinan. So..apo nak dikato?

Aku ingin berkongsi artikel menarik pasal jodoh. Semoga kita cepat ditemukan jodohnya dan dapat manfaatnya. 

Kita akan tahu dia jodoh kita bila:


1.Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

p/s: jiwang karat pula aku hari ini. 

Wednesday, November 9, 2011

Perbelanjaan di Kota Kinabalu

Ada juga yang bertanya berapa belanja habis melancong ke Kota Kinabalu. Hmmm..nak kata banyak tu taklah  cuma bernasib baik masa beli tiket memang murah. Tak salah aku, perbelanjaan untuk seorang (tiket pergi balik KL-KK, hotel, transportation) lebih kurang RM500 sepanjang 4 hari 3 malam di sana. 


Untuk pengetahuan semua, belanja makan, island hopping dan beli cendermata tak termasuk sebab ia mengikut kemampuan masing-masing. Rasanya aku banyak habis kat makanan...tengok seafood memang boleh bikin hati tak senang. Kat sini mana nak cari seafood yang fresh dan murah!

Perincian perbelanjaan di Kota Kinabalu (nota: bahagikan untuk 6 orang dewasa)

1. Marina Court RM300/malam (2 malam)
-RM600 (RM100/seorang)

2. Transportation-van nissan urvan 11 seater (termasuk driver dan minyak)
-RM1,200 sepanjang berada di Kota Kinabalu (RM200/seorang)

3. Hasah Homestay di Kundasang (1 malam)
-RM70/bilik (RM35/seorang)

4. Tiket pergi balik KL-KK (termasuk cukai dan beg. beli tiket masa harga promosi)
-RM122/seorang

Jumlah perbelanjaan seorang di Kota Kinabalu untuk 4 hari 3 malam ialah RM457. 

Amacam? Siapa cakap bercuti ini memerlukan perbelanjaan yang banyak? Kena rajin survey dan tanya kat kawan-kawan pasal tips pengalaman bercuti mereka. Kalau nak senang, boleh je ambil pakej tourist guide tapi selalunya mereka akan caj mahal sedikit. Untuk maklumat lebih lanjut, aku ada sertakan dalam page post, Mari Bercuti!


p/s: berbelanja secara bijak.

Monday, November 7, 2011

Selamat Hari Raya Aidiladha


Aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilada kepada semua umat Islam. 

p/s: berhati-hati semasa memandu. jangan pula ada yang menjadi korban. 

Tuesday, November 1, 2011

Pemenang teka gambar

Nampaknya kita dah jumpa pemenang teka gambar. Sebelum aku beritahu siapa pemenangnya, biarlah aku beritahu jawapannya terlebih dahulu. 


Pasar Tamu Gaya Street

Pulau Sapi

Pantai Tanjung Aru

Kundasang

Jambatan Gantung Tamparuli

Jesselton Point Waterfront

Poring Hot Spring

Pemenang yang bertuah itu ialah: 

Shazwani Aziz (ada blog? bolehlah kita share link nanti)

InsyaAllah dalam masa terdekat, aku akan pos hadiah khas dari Sabah. Tunggu ya! Tahniah kerana berjaya menjawab teka gambar dengan betul. 

p/s: ok juga nak buat peraduan macam ni. mana tahu, ada rezeki boleh buat lagi. 

Monday, October 31, 2011

Kota Kinabalu trip

Post ini akan kekal di sini sampai 31 Oktober untuk memberi peluang kepada semua untuk menjawab teka gambar. Selamat mencuba!


Alhamdulillah.

Trip ke Kota Kinabalu berjaya walaupun ada beberapa masalah teknikal yang tak dapat nak elak. Insya-Allah aku akan buat ulasan serba sedikit sepanjang kami berada di sana. 

Untuk tahun 2012, belum ada apa-apa perancangan lagi. Kalau ada, aku akan beritahu nanti. 

Sedikit gambar di Kota Kinabalu. 


Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3
  
Gambar 4

Gambar 5

Gambar 6

Gambar 7

Ada sesiapa tahu ke mana aku pergi? Hehehe..cuba teka. Kalau sesiapa berjaya teka 7 gambar dengan tepat, ada hadiah istimewa dari Kota Kinabalu. Sila hantar jawapan kepada mazuriah@gmail.com dengan tajuk emel: Teka Gambar sebelum atau pada 31 Oktober 2011. Jangan lupa sertakan nama dan alamat ya. Ini terbuka kepada semua kecuali ahli Rombongan Cik Kiah. 

p/s: plan punya lama tapi rasa kejap sangat trip ke sana. 

Friday, October 28, 2011

Kota Kinabalu part 4

Bermalam di Kundasang memang sejuk dan kebetulan malam tu hujan lebat. Kalau dapat tidur dibalut dengan selimut, memang terbaik tapi nak buat macamana kena bangun awal untuk bersiap sedia balik ke Bangi. Rasa sekejap sangat dapat jalan-jalan di Kota Kinabalu. 

Pada pagi itu, suasana dan pemandangan di sekitar Kundasang memang cantik. Nasib kami baik dapat lihat puncak gunung Kinabalu daripada tempat tinggal kami. 

Tempat tinggal kami di Kundasang.






Terpaksa keluar seawal pukul 6.30 pagi sebab perjalanan kami masih jauh dan banyak tempat nak singgah. Sempat singgah sekejap di Jambatan Gantung Tamparuli. Sejarah Tamparuli berasal daripada perkataan orang Brunei iaitu "ditampar oleh air". Di mana pada zaman dulu masa pedagang-pedagang Brunei datang ke sini mereka tidak dapat naik ke hulu sebab air sungai yang sangat deras. Jadi dinamakan "ditampar oleh air" yang disingkatkan kepada "Tamparuli."




Dalam perjalanan, berhenti sekejap di gerai yang jual lokan. Kata driver kami, kawasan situ memang terkenal dengan lokan dan kelapa bakar. Alang-alang dah sampai, rugilah kalau tak rasa. Let's dig in! 

Lokan dijual ikut saiz, besar, sederhana dan kecil. 

Kemudian lokan dibakar.

1 dulang lokan saiz sederhana cuma RM10. Memang sedap makan masa panas.

Puding kelapa harga RM4 sebiji. Sedap!

Kelapa bakar rasa macam air nira.

Destinasi seterusnya ke Pasar Filipina dan Pasar Ikan Masin untuk last minit shopping. 

Ada ikan masin, ikan bilis, udang kering, sotong kering, amplang dan macam-macam. 

Siap bungkus untuk dibawa dalam kapal terbang. 

Pelbagai mutiara dijual di Pasar Filipina. 

Mari abang, pilih mana yang suka. 

Shopping sudah, makan pun sudah seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Tamatlah sudah perjalanan Rombongan Cik Kiah  ke Kota Kinabalu. Masa nak check in ada masalah sikit. Entah macamana staf yang jaga tu boleh terlupa nak daftar salah seorang ahli rombongan Cik Kiah. Nasib baik perasan. Kalau tak, kena tinggallah di Kota Kinabalu. Sabar je lah. 

Nanti aku akan kemaskini senarai contact person dalam page aku ni. Sesiapa berhajat ke Kota Kinabalu, boleh hubungi mereka. Semoga bergembira di sana. 

p/s: ada siapa nak ikut trip rombongan Cik Kiah?