Pages

Wednesday, July 31, 2013

Salam dari Hanoi - hari kedua

Selamat pagi semua. Untuk pengetahuan semua, aku makan sahur pukul 3.30 pagi sebab di sini memang cerah awal. Pukul 5.30 pagi dah cerah macam pukul 7 pagi di Malaysia. Seminar mula pukul 9 pagi jadi sempatlah aku ambil gambar pemandangan luar bilik aku. 


Kawasan kuning tu adalah kawasan kubur. 

Nampak stadium.

Lepas seminar pukul 5.30 petang, kami bercadang jalan-jalan sekitar West Lake. Memang cantik pemandangan di sana.


Pemandangan West Lake.

Rasanya tak lama kami jalan-jalan di situ sebab kami nak kejar tengok persembahan water puppet pukul 8 malam. Masa tengok water puppet, boleh katakan semuanya adalah pelancong luar negara. Memang tak nampak muka orang tempatan di sana. 

Apa yang dapat aku katakan, persembahan water puppet memang best. 1 pengalaman yang berbeza sebab dapat tengok puppet tu beraksi atas air. Memang kagumlah bagaimana dia orang boleh kawal pergerakan puppet tu. Kalau aku, agaknya tak gerak langsung! Selama 45 minit persembahan, ditunjukkan kebudayaan orang Vietnam. Jadi sesiapa yang nak ke Hanoi nanti, jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan water puppet ni. 

 
Ini rupa stage water puppet. Skrin TV yang ada di kiri dan kanan tu menunjukkan terjemahan dalam bahasa Inggeris. 

Nampak tak puppet atas air? Orang yang mengawal puppet tu berada di belakang tirai. 

Selesai tengok water puppet, cari tempat makan sebab aku sempat berbuka puasa dengan minum air sahaja. Tak tahu nak makan mana, sekali lagi aku makan di Restoran Namaste. Kali ini aku makan nasi tomato dengan prawn masala, minum air manggo lassi dan aiskrim coklat sebagai pencuci mulut. 

Tengok menu dulu sebelum pilih makanan. 

Manggo lassi yang sedap. 

Acar buah dan kuah pudina.

Inilah makanan berbuka puasa aku. 

Sebelum pulang ke hotel, jalan-jalan lagi di sekitar Old Town. Aku dimaklumkan bahawa kopi Vietnam memang terbaik. Jadi aku sempat singgah kedai kopi untuk membeli kopi untuk dibawa pulang. Yang best tu, kopi dikisar segar masa tu sebelum dibungkus. Memang banyak jenis kopi ada dijual tapi aku beli kopi luwak dengan harga 215,000 Dong 1 paket. 

Macam-macam jenis kopi. 

Tengok, siap kisar kopi masa tu juga. 

Nak jalan lagi, aku tengok kedai dah banyak tutup. Jadi ambil keputusan untuk balik ke hotel. Apa lagi, tahan teksi dan terus ke hotel. 

p/s: sambung lagi hari ketiga. 

Monday, July 29, 2013

Salam dari Hanoi - hari pertama

Selamat pagi semua. Aku selamat sampai Hanoi semalam dan terus ke hotel untuk check in. Untuk pengetahuan semua, aku ke Hanoi untuk menghadiri seminar “New Value Chain in Mobile Application Services” di Crowne Plaza Hotel pada 29-30 Julai. 

Sepanjang perjalanan aku dari airport ke hotel, Hanoi dalam proses pembangunan dan kelihatan banyak jalanraya yang sedang dinaiktaraf. Oleh sebab itu, ia mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke hotel. 



Hujan sepanjang perjalanan ke hotel. 

Mari aku tunjukkan bilik aku. Boleh tahan harganya, untuk bilik deluxe harganya USD90+ untuk semalam. 



Bilik yang agak besar. 

Lepas kemaskan diri dan solat, aku bersama-sama kawan aku, ambil keputusan untuk jalan-jalan sekitar Old Town, Hanoi. Tempat pertama yang kami pergi untuk menyaksikan Water Puppet tapi sayang seluruh tayangan untuk hari semalam dah penuh. Jadi kami mengambil keputusan untuk melihat pada hari ini selepas tamat seminar. Harga tiket Water Puppet adalah 100,000 Dong.

Water Puppet. 

Hari masih awal untuk pulang jadi kami jalan-jalan je. Apa yang aku dapat katakan, Hanoi memang penuh dengan motorsikal. Ke mana-mana sahaja ada sahaja yang memandu motorsikal sampaikan aku tak tahu macamana nak melintas jalan. 

Di Hanoi banyak mengekalkan bangunan lama. Memang cantik kalau ambil gambar. Kawan-kawan aku yang suka fotografi memang mengambil kesempatan sebaik-baiknya. Oleh sebab kamera aku tak canggih mana, gambar aku taklah secantik mereka. Hehehe..

Roti Perancis ada dijual di mana-mana sahaja. 

Bangunan di Hanoi.

Kawasan parking motorsikal. 

Di Tasik Hoan Kiem.

Jam pukul 6 petang dan kami mengambil keputusan untuk mencari tempat untuk berbuka puasa. Ramai yang mencadangkan makan di Restoran Nisa tapi sayang tutup pula masa kami sampai. Alamak macamana aku nak buka puasa ni? 

Ok kita cari lagi dan sampailah kami ke Restoran Namaste, kedai yang mensajikan makanan India. Nasib baik halal. Juadah berbuka puasa pertama aku di Hanoi, aku makan nasi beriani udang dengan air mangga lassi dengan harga 165,000 Dong. Aku makan sampai licin. Aku tak tahu sama ada aku lapar dan penat jalan selama 2 jam atau makanan dia memang sedap. Aku rasa kedua-duanya. 

Lepas makan, ambil teksi dan terus pulang ke hotel. Sampai di bilik, aku terus tidur. Letih. 

Ok. Aku nak siap-siap pergi ke seminar. Jumpa lagi. 

p/s: sambung hari kedua.

Thursday, July 25, 2013

Bekalan makanan


Esok orang Selangor cuti sempena hari Nuzul Quran. Sempatlah aku nak cari barang sikit nak bawa ke Hanoi nanti. Macamlah aku nak pergi lama walhal nak pergi cuma 4 hari sahaja. Dah dapat tiket kapalterbang dan perkara pertama aku tengok berapa kg muatan aku boleh bawa. 30kg beb! Waaah! Macam-macam aku boleh bawa. Akak suka. 

Aku masih lagi cari maklumat berkenaan Hanoi. Dah nama kerja bahagian Market Research, kenalah buat research kan? Adalah lebih baik aku menggunakan skill yang ada untuk mengumpul maklumat. Apa yang aku tahu, kedudukan hotel aku agak jauh dari bandar. Mungkin terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke mana-mana. Harapnya kawan aku nanti sudi berkongsi sama-sama dapatlah aku jimat duit. 

Jangan tak tahu, aku siap beli periuk nasi mini untuk persiapan memasak makanan di Hanoi. Nak tahu rupanya? 


Aku jumpa kat lelong.com.my dengan harga RM55.

Setakat nak masak yang simple buat alas perut tu bolehlah terutamanya waktu sahur. Aku bab makan memang tak cerewet. Dapat makan nasi dengan kicap dan telur goreng pun dah ok. 

Nasib baiklah aku pergi tak lama. Kalau dibuatnya aku pergi lama dalam sebulan, mahu 1 peti sejuk aku nak bawa nanti. 

Di Hanoi nanti, aku nak sangat tengok water puppet. Ayah aku dah tengok masa dia ke Hanoi dulu dan memang dia galakkan pergi tengok. Bila lagi kan? 

Inilah rupanya water puppet tu.

Anyway, aku akan update cerita aku di Hanoi. Doakan semuanya berjalan dengan lancar. 

p/s: nak pergi kerja atau jalan-jalan ni?

Tuesday, July 23, 2013

Ke luar negara demi kerja

Macam ayat skema kan tajuk aku kali ini. Semalam aku terima emel yang permohonan seminar luar negara telah diluluskan. Nak tahu ke mana? InsyaAllah Ahad ni aku akan bertolak ke Hanoi, Vietnam selama 4 hari. Untuk pengetahuan semua, ini adalah kali pertama aku ke sana dan aku tak dapat nak bayangkan bagaimana keadaan dan susana di sana nanti. 

Ada beberapa sebab aku macam malas nak pergi sebenarnya. Mula-mula aku ingatkan tak dapat pergi sebab aku tak terima sebarang berita walaupun aku dah lama hantar permohonan seminar. Lepas tu, aku tak  berapa suka jalan jauh-jauh terutama dalam bulan Ramadhan. Letih dan lapar, takut aku tak larat je nanti. Kalau pergi waktu hari biasa, mungkin aku boleh pertimbangkan lagi.  

Setakat hari ini, persiapan aku ke sana belum ada apa-apa lagi tapi aku sempat baca beberapa maklumat nak cari makanan halal (makan je ingat aku ni), pengangkutan dan hotel yang aku tinggal nanti. Banyak lagi maklumat yang aku kena cari. Sempat lagi ke? Tinggal beberapa hari sahaja ni. Bukan apa, aku dah terbiasa kena siap semua terlebih dahulu nanti bila sampai sana, aku tak termangu-mangu tak tahu nak buat apa. Aku tak suka dalam keadaan macam tu. 

Nasib baik aku tak pergi seorang jadi dapatlah buat teman aku di sana. Kalau nak makan, shopping atau jalan-jalan boleh pergi sama-sama. Aku dapat tahu yang kawan aku pun tak pernah ke Hanoi. Hmm..eloklah tu. Sama-sama kita teroka Hanoi. Kalau sesat, biar sama-sama sesat! Harap-harap janganlah kan. Hehehe..

Ok, ada sesiapa yang pernah ke Hanoi? Ada tips yang boleh kongsi sama? Please I need your help. 

p/s: tak pernah terlintas aku akan ke Hanoi. 

Tuesday, July 16, 2013

Kad raya giveaway

Aku tahu sekarang ini dah tak ramai yang nak hantar kad raya. Rata-rata main sms je. Lagi senang dan cepat. Betul tak? Bagi aku, aku masih lagi nak teruskan tradisi hantar kad raya. Biarlah apa orang nak kata, dah memang aku suka. 

Cerita pasal kad raya, bayangkan tadi hampir satu Cyberjaya aku cari kad raya tapi tak ada satu kedai yang jual kad raya. Sedih sangat. Aku masih tak putus asa, aku sanggup cari lagi kat Bangi. Nasib baik jumpa. Fuuh! 

Untuk pengetahuan semua, seperti beberapa tahun sebelum ini, aku akan berikan kad raya kepada beberapa orang yang bertuah. Cara untuk dapatkannya sangat senang. Hantarkan nama dan alamat kepada mazuriah@gmail.com dan jangan lupa letakkan tajuk: Nak kad raya! Cepat, cuma 5 keping kad raya akan diberikan. Siapa cepat, dia dapat. Senang kan?

Siapalah agaknya yang bakal menjadi pemilik kad raya ini?

Bukannya apa, ini adalah tanda penghargaan kepada semua pembaca blog aku. Sesungguhnya aku ingin berterima kasih kepada semua yang sudi singgah blog aku yang tak seberapa ini. (alamak merendah diri pulak akak) Kalau sambutan menggalakkan, boleh tambah lagi bilangan kad raya masa hadapan. Yeaah!

Ok, apa tunggu lagi. Hantar cepat untuk dapatkan kad raya aku. 

p/s: suka kumpul kad raya. 

Monday, July 15, 2013

Jadual memasak

Selalunya aku masuk kerja pukul 8.30 pagi tapi untuk sepanjang bulan Ramadhan aku masuk kerja pukul 7.30 pagi dan balik pukul 4.30 petang. Aku sengaja pilih waktu ini sebab aku nak kejar balik awal untuk masak juadah berbuka puasa. Kalau lambat sikit, siaplah tersekat dalam kesesakan jalanraya. Seperti yang aku beritahu sebelum ini, aku cuba untuk masak tapi kalau keadaan memaksa (kes tak sempat), barulah aku beli makanan di pasar Ramadhan. 

Jadual memasak di rumah aku adalah senang. Aku masak untuk berbuka puasa dan adik aku masak untuk sahur. Kami saling bekerjasama untuk menyiapkan makanan dari dulu lagi. Bila masuk dapur, dah tahu apa nak buat. Tak payah nak diingatkan berulang kali apa nak buat dan itulah perkara sama yang selalu arwah mak aku tekankan. Oleh sebab itu, aku rasa lebih berdikari dalam urusan di dapur. 

Aku bukan nak buat perbandingan dengan makcik aku tapi bila dia berada di dapur, dia tak boleh nak agak apa nak buat. Mungkin sebab didikan dan asuhan makcik aku yang berbeza dengan aku adik beradik yang memang diajar dari kecil lagi. Aku juga tak nak salahkan sesiapa dalam kes ini tapi aku bengang sebenarnya. Kita dah sama-sama dah lama duduk serumah, pandai-pandailah bawa diri. Takkanlah setiap masa aku nak terangkan semuanya. Penat tau! Alamak teremosional pula akak. Sorry ya. 

Kalau korang macamana? Apa perasaan korang bila tengok ada orang lain senang-lenang di ruang tamu dan kita berhempas pulas terkangkang di dapur siapkan juadah? Panas tak? Marah tak? 

Ok, aku tak nak marah-marah lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini. Aku tak suka nak marah orang sebenarnya sebab kalau aku sekali marah, aku memang susah nak reda. 

Oh ya, lupa pula aku nak beritahu juadah berbuka puasa hari ini ialah ayam bakar (ayah aku beli), sayur lemak kobis, ikan pekasam goreng dan cucur jagung. Tak sempat nak ambil gambar tadi sebab lapar sangat. Hehehe..

p/s: sabar je lah..

Sunday, July 14, 2013

Juadah berbuka puasa

Selamat berpuasa kepada semua. Hari ini hari kelima puasa kan? Aku baru hari ini nak puasa. Biasa kalau pagi-pagi macam ni, aku dah ke dapur cari makan apa yang ada dan sebelah petang aku jadi tukang rasa lauk. Bila sampai waktu buka puasa, aku dah kenyang tapi nak juga join makan sekali. Dasar tak malu betul!   Hehehe...

Setakat ini lauk juadah berbuka puasa memang aku yang masak. Bukannya tak nak beli makanan yang dijual di bazar Ramadhan tapi aku rasa aku tak yakin makanan tu sedap atau tak. Dibuatnya makanan tak sedap, sayang je aku beli. Dahlah makanan tu bukannya murah. Bagi aku, biar makanan tu simple tapi sedap. 

Juadah berbuka puasa hari ketiga. Lauk yang simple iaitu sup ikan, udang sweet sour, ikan pekasam dan carrot kukus. 

Nak masak pun, kena ada tekniknya. Selalunya aku dah plan apa nak masak jadi aku pastikan bahan-bahannya dah siap terlebih dahulu. Maksudnya, ikan tu dah siap dibersihkan dan cili kering dah dikisar sebab kita banyak habiskan masa waktu ini. Bila bahan dah siap, kita nak masak pun main campak sahaja bak kata Chef Wan. Dalam masa sejam, boleh siap 4 lauk. Senang kan?

Petang ni aku rasa nak masak ikan patin masak tempoyak sebab semalam aku nampak ikan patin ada dalam peti sejuk. Lama dah aku tak makan ikan patin ni. Bahagian yang paling aku suka ialah pipi. Lembut dan lemak rasanya, aku siap berebut dengan adik aku. 

Ok, selamat berpuasa sekali lagi. 

p/s: awal-awal lagi dah fikir pasal makanan. 

Wednesday, July 10, 2013

Hari pertama puasa

Hari ini adalah hari pertama umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Ingatkan dapat nak puasa hari ini tapi   memandangkan aku dah nampak anak bulan raya awal, tak dapatlah aku nak puasa. Mungkin Jumaat atau Sabtu, baru aku dapat puasa sama-sama nanti. 

Punyalah semangat nak sambut puasa, aku siap ambil cuti hari ini konon nak siapkan makanan berbuka puasa. Sementara nak tunggu masak juadah berbuka puasa petang ini, terasa lapar pula. Nak makan tahu pula malu, jadi aku makan sorok-sorok di dapur. Teringat masa kecil-kecil dulu, "puasa yang yok, tengahari buka periuk." Memang sebiji apa aku buat hari ini. Hehehe..

Apa juadah buka puasa nanti? Aku belum pasti lagi nak masak apa. Selalunya aku masak tak banyak dalam 2-3 jenis lauk je. Kalau rajin, ingat nak buat pengat jagung. Tengoklah nanti. 

Ok, selamat berbuka puasa kepada semua. 

p/s: berhenti makan sebelum kenyang. 


Tuesday, July 9, 2013

Selamat berpuasa

Sebagai renungan bersama-sama. 

p/s: malam ni mula solat terawih. 

Sunday, July 7, 2013

Hari mantai

Tak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan yang mulia. Sebelum tu nak tanya, dah habis ganti puasa ke? Hehehe..

Sesiapa yang dari Negeri Sembilan mesti tahu ada perayaan yang dipanggil Hari Mantai iaitu hari menyambut Ramadhan, Hari Raya Aidilfitri dan juga Aidiladha. Mantai dalam bahasa Negeri Sembilan yang asalnya perkataan membantai. 

Selalunya akan disediakan daging sembelihan iaitu sehari sebelum ketibaan bulan Ramadhan ataupun Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Kemeriahan majlis ini akan lebih terasa apabila saudara-mara berkumpul sama dan acara bergotong-royong menyediakan makanan. Makanan yang paling best sudah pasti sup tulang. Perrghh! 

Di kampung aku memang meriah sambutan Hari Mantai tapi sejak arwah Wan tak ada, sambutannya semakin berkurangan. Ditambah pula masing-masing sibuk dengan kerja yang tak dapat nak elak. 

Sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua. 

p/s: semoga amalan kita diberkati. 

Wednesday, July 3, 2013

Diari lama

Minggu lepas aku kemas laci almari setelah sekian lama rasanya dan benda pertama aku jumpa ialah diari lama aku. Tak sangka aku masih simpan diari lama aku tu yang aku tulis masa aku di ITM pada tahun 1995. Dulu tak mampu nak beli diari mahal-mahal, jadi aku beli buku nota kulit tebal dan balut dengan kertas hadiah. Nak cantik dan tahan lama, balut lagi dengan plastik buku. 

Bila aku baca balik apa yang aku tulis dulu, aduh...malunya. Tak tahu nak sorok mana muka aku. Itu belum lagi cerita secret admirer aku tu. Auw! Aku perasan ramai betul nama lelaki dalam diari aku tu dan aku tak pasti apa hubungan dengan aku. Ini senarai nama lelaki yang ada antaranya ialah:
  • Mohd Ya Latip
  • Imran Sharif
  • Fadzil
  • Zulfakhri
  • Saiful
  • Meor Zaidee
  • Izmee
  • Lee Seng Kong
  • Ilyas
  • Nadzmee

Sebenarnya aku tak berapa ingat beberapa nama yang ada dalam diari aku tu.  Tahu-tahu je nama dia orang ada dalam diari. Aku cuba nak ingat balik tapi serius aku memang tak ingat. Tak tahulah apa cerita mereka sekarang, ada lagi atau tak, dah kahwin atau belum. 

Jangan fikir yang bukan-bukan pula. Aku rasa ni mesti isu nama aku pernah keluar dalam ruangan berkenalan di majalah Galaxie (majalah ni memang famous masa aku muda dulu) dan ramai juga yang hantar surat kat aku konon nak berkenalan dengan aku. Mungkin juga nama-nama atas tu datang daripada ruangan berkenalan. 

Nak kata banyak tu taklah tapi ada dalam 20 orang nak kawan dengan aku. Siap hantar gambar sekali tu. Mana yang handsome aku ambil tapi mana yang kurang sikit, tolak ke tepi! Hahaha jahatnya aku. Macamlah aku ni lawa sangat. Perasan sangat konon aku macam artis. (itu baru nama je keluar dalam ruangan berkenalan. Belum lagi keluar kat TV. Hohoho)

Rasanya ada lagi tak orang nak berkenalan melalui surat? Kalau ada, beritahu aku. Aku lama dah tak tulis surat. Bunyi macam cara zaman dulu-dulu tapi aku  lagi suka sebenarnya. 

p/s: macamana agaknya kalau 1 hari kalau jumpa balik nama-nama yang atas tu? ingat lagi tak dengan aku? eii takutnya. 

Tuesday, July 2, 2013

Periuk raya


Aku suka lagi hari ini. Periuk yang aku order kat Mysale.my bulan lepas dah selamat sampai pagi tadi. Hari-hari aku dok tunggu bila agaknya periuk aku nak sampai. Janganlah dibuatnya periuk aku hilang ke tempat lain. Menangis akak seminggu! 

Lama dah aku aim periuk macam ni. Asalnya nak beli periuk Le Creuset tapi aku tak mampu nak beli. Harga mahu sampai ribu-ribu. Mana aku nak cekau duit banyak tu? 

Inilah butiran periuk aku tu.

Harga cuma RM211 brand Classica dari Australia. Rata-rata orang komen pasal periuk Classica ni katanya kualiti lebih kurang macam Le Creuset. Bagi aku, oklah tu kan? 

Bila aku beli periuk teringat pula kat arwah mak yang selalu beli periuk. Dulu aku dok tanya, apa faedahnya beli periuk banyak-banyak ni? Bila betul-betul kena kat aku, baru padan muka aku. Amik kau! Hahaha..

p/s: lepas ni boleh cuba masak gulai pakai periuk ni. 

Monday, July 1, 2013

Selimut baru

Aku sangat suka!! Selimut yang aku tempah daripada kawan aku dah siap. 

Sebenarnya dah lama aku tempah tapi tak sangka pula cepat siap. Aku ingatkan lama lagi. Dalam 2-3 hari lagi sampailah selimut aku tu. Ish tak sabar aku. 

Masa mula-mula nak minta kawan aku buat, aku tak tahu nak pilih corak apa. Aku pun survey corak yang ada melalui Google. Nampak yang berkenan, terus aku tunjuk kat  kawan aku. 

Dahlah kami berkomunikasi melalui FB. Memang agak kelam kabut juga nak terangkan corak apa yang aku nak. Ditambah pula dengan pilihan kain yang agak terhad. 

Nak tahu macamana rupa selimut aku? Haa... ini dia. 

Sudah pasti pilihan aku warna merah. 

Lepas ini aku ingat nak tempah sarung bantal dan bantal peluk pula. Nak samakan dengan selimut baru aku ni. Boleh tak?

p/s: berharap dapat mimpi yang indah dengan selimut baru nanti. yeaah!