Pages

Tuesday, December 31, 2013

Selamat Tahun Baru 2014


Ya aku masih bekerja lagi pada hari terakhir 2013. Tak sabarnya nak bercuti esok. Hari ini masuk kerja sekadar nak cukupkan syarat je. Secara zahirnya aku di sini tapi hati aku dah jauh melayang. Hehehe...

Sempat lagi cari maklumat pasal hotel untuk trip ke Bali walaupun aku tahu ada lagi 5 bulan ke sana. Nampak sangat dah tak sabar. 

p/s: semoga tahun 2014 akan lebih baik daripada tahun 2013. 

Saturday, December 28, 2013

Sorotan 2013

Tak lama lagi kita akan meninggalkan tahun 2013 dan menyambut tahun 2014. Memang terdapat banyak kenangan manis, pahit, suka dan duka yang berlaku sepanjang tahun ini. Semoga apa yang berlaku akan menjadi iktibar dan membuatkan kita bertambah bersemangat untuk menghadapi segala dugaan dan cabaran. Cewaah! 

Untuk tahun 2013, telah mencipta rekod paling banyak ke luar negara dengan dimulakan ke Bangkok kemudian Singapura, Shenzhen, Macau, Hong Kong dan Hanoi. Setiap tempat yang dilawati ada keistimewaannya dan satu pengalaman yang tak mungkin dilupakan. 

Bangkok (12-15 Januari 2013)

Singapura (23-26 Mac 2013)


 

Shenzhen-Macau-Hong Kong (11-17 Mei 2013)

Hanoi (28-31 Julai 2013)

Untuk tahun 2014, destinasi seterusnya ke Bali Insya Allah pada Mei 2014 bersama-sama dengan keluarga adik aku. Ini adalah pengalaman kali pertama ke sana dan harapnya semua berjalan dengan lancar. Aku bercadang untuk trip yang akan datang, kalau boleh aku nak teroka ke tempat yang belum pernah aku pergi lagi. Baru mencabar kan? Ada cadangan yang menarik?

p/s: misi untuk kumpul duit lagi untuk pergi melancong!

Thursday, December 26, 2013

Pergilah bercuti

Bila masuk hujung tahun, ramailah yang ambil kesempatan untuk habiskan cuti. Opis pun semakin lama semakin sepi dan parking kereta banyak yang kosong. 

Aku bukannya tak nak ambil cuti tapi gara-gara big boss tahan cuti aku hari tu membantutkan mood nak ambil cuti. Bukannya cuti tahunan aku tak ada, ada lagi baki 16 hari. Sengaja aku nak bawa ke tahun depan. Kalau aku nak ambil cuti, aku plan masa cuti CNY. 

Pergilah bercuti, biarkan aku tenang di sini. 

Kebetulan sekarang ramai boss yang bercuti, bertambahlah aku gembira! Pergi kerja pun dengan hati tenang. Hehehe.. Bukannya selalu dapat peluang macam ni. Betul tak? Lagi lama, lagi bagus. 

p/s: selamat tahun baru 2014 kepada semua. 

Tuesday, December 24, 2013

Puffy Buffy Cafe, Cyberjaya

Macam comel bunyi nama Puffy Buffy Cafe ni. Aku dapat tahu kedai ini baru je beroperasi pada 12 Disember. Kebetulan aku tak tahu nak makan mana, apa kata kita cuba dulu. 

Kedai yang menyediakan makanan melayu dan western. 

Suka suasana dan hiasan dalaman kedai ini yang bertemakan warna putih, biru dan pink. Ala-ala sweet gitu. 

Ini nombor meja aku. Memandangkan sambutan Hari Krismas tak lama lagi, ada diletakkan hiasan pokok krismas mini di setiap meja makan. 

Aku suka ayat ini. That is why I love food so much!

Aku order fish & chips. 

Secara keseluruhan aku tak berpuas hati dengan perkhidmatan diberi. Bayangkan, aku tunggu lebih daripada 20 minit untuk dapatkan makanan aku. Nak kata ramai orang, masa tu taklah ramai sangat. Ini gara-gara pelayan kedai telah hantar makanan aku ke meja sebelah yang kebetulan order makanan sama dengan aku. Dahlah hantar lambat, sikit tak minta maaf kat aku. Geramnya.... 

Ada 1 lagi insiden yang aku anggap kelakar. Kawan aku telah order air teh o ais limau. Boleh pula pelayan tu tanya balik, "akak, nak panas ke sejuk?" Aku dan kawan aku tergamam sekejap. Dah terang dan jelas kawan aku order teh o ais limau, dah tentu sejuk kan. Aku tak tahu pula ada yang panas. Akak keliru dik. 

Masa nak bayar pula, cashier telah silap memberi baki duit kawan aku, kurang RM10. Nasib baik kawan aku perasan dan bila dia sound balik kat cashier, sikit tak minta maaf. Aku tahulah kau masih baru tapi sekurang-kurangnya cakaplah minta maaf sebab salah beri duit baki. Pelanggan pun tak rasa marah. Kenapa? Susah sangat ke nak sebut maaf? 

Aku rasa ini adalah kali pertama dan terakhir aku pergi ke sini. Makanan pun rasa biasa-biasa je. Mungkin nasib aku tak berapa baik kali ini. Sesiapa nak mencuba, bolehlah cuba. Aku tak halang pun nak pergi. 

Maklumat lanjut:
Puffy Buffy Cafe,
New Airport KLIA 2,
4809-G-32, 4809-G-33, CBD Perdana 2,
63000 Cyberjaya, Selangor

Ulasan ringkas
Harga: 3/5
Kesedapan: 3/5
Layanan: 1.5/5
Suasana dan kebersihan: 3/5

p/s: rasa-rasa boleh jadi pengkritik makanan tak? 

Monday, December 23, 2013

Cendol Durian Borhan, Dengkil

Dalam perjalanan aku untuk makan tengahari, aku nampak 1 papan tanda besar cendol durian. Waah, ini sudah bagus. Balik nanti aku boleh cuba. 

Inilah dia papan tanda Cendol Durian Borhan yang terletak di Dengkil. Senang je nak cari sebab memang terletak di tepi jalan dan bertentang dengan kubur cina.  

Katanya dah beroperasi sejak tahun 1997. Dah lama rupanya tapi cawangan Dengkil ini baru je buka. Hehehe... 

Ini rupanya kedai tu. Simple je. 

Mari kita tengok menu pula. Bukan sahaja cendol, ada makanan lain seperti mee kari, laksa, cucur udang dan kerepok lekor. 

Aku pilih cendol durian + jagung. Harga RM3 semangkuk. Aku ingatkan ada durian betul tapi yang ada cuma pes durian. Kecewa sikit. 


Kakak ini yang buatkan cendol. 

Suasana dalam kedai. Masa ini tak ramai orang lagi. 

Ulasan ringkas
Harga: 3/5
Kesedapan: 3/5
Layanan: 4/5
Suasana dan kebersihan: 3/5

p/s: nak rasa kelainan cendol, boleh cuba di sini. 

Friday, December 13, 2013

Restoran Anggerik Kuring

Punyalah lama aku simpan dalam draft. Asyik bertangguh je nak update. Sebenarnya ini cerita minggu lepas, kawan aku ajak makan di Restoran Anggerik Kuring yang terletak di Shaftbury Cyberjaya. Inilah kali pertama aku makan di Anggerik Kuring. Sesiapa yang sukakan makanan Indonesia, boleh cuba di sini. 

Suasana restoran tenang dan bercirikan ala-ala Indonesia. Sambil aku menunggu makanan sampai, aku sempat baca majalah import khas dari Indonesia. Hehehe...

Pilihan makanan banyak. Pilih apa sahaja yang suka. Kali ini aku pilih makanan Nasi Ayam Panggang Set dengan harga RM18.90 (tanpa caj servis).

Inilah rupanya Nasi Ayam Panggang Set. Ada sambal udang, tauhu goreng, begedil, ayam panggang, sambal belacan, salad, udang bakar, keropok udang, sup sayur dan nasi uduk (rasa macam nasi lemak). Aku rasa kalau ada tempe goreng, baru lagi best. 

Ini pula tembikai percuma. Comel je potongannya macam pokok krismas.

So far aku puas hati dengan makanan dan layanan diberi. Harga sedikit mahal. Setakat sekali-sekali nak cuba, oklah tapi tiap-tiap hari makan sini, mahu kopak duit aku rasanya. Kalau nak cuba, boleh singgah di restoran ini. Selamat mencuba!

Maklumat lanjut:
Restoran Anggerik Kuring
P3A-23, Shaftbury Square
Persiaran Multimedia, Cyber 6
Cyberjaya, Selangor
Tel. No: 03-8322 3067

Ulasan ringkas
Harga: 3/5
Kesedapan: 4/5
Layanan: 4/5
Suasana dan kebersihan: 4/5

p/s: lepas ni nak makan mana pula. 

Thursday, December 5, 2013

Lipstik pujaan

Aku dah jumpa lipstik pujaan. Dah lama aku cari warna lipstik ni semenjak aku tengok channel itsjudytime di Youtube. Inilah rupanya lipstik yang cari selama ini. 


Urban Decay Venom Lipstick



Zoom sikit warna lipstik

Bila bibir dioles dengan lipstik.

Aku terus jatuh cinta dengan warna lipstik bila kali pertama aku tengok. Aku bukanlah pakai lipstik sangat tapi bila tengok warna lipstik ni, rasa macam nak cari sampai dapat. 

Rasanya kat Malaysia dah ada warna ni tak? Harganya boleh tahan mahal. Tengok kat website harga dalam USD22 (RM66). Perrghh! Boleh buat belanja makan 1 minggu. Hehehe...

p/s: berangan pakai lipstik ni..

Tuesday, December 3, 2013

Cuti tak lepas

Minggu lepas aku ada mohon cuti pada 12-13 Disember. Memandangkan aku agak lama tak ambil cuti dan kebetulan aku memang plan nak rehatkan diri.  

Semalam aku dapat emel daripada big boss dan maklumkan bahawa permohonan cuti aku ditahan selagi big boss tak dapat report aku. What??!! 

Waaahh!! Ini 1 rekod yang luar biasa sebab sepanjang aku kerja, aku tak pernah dapat cuti yang tak lepas. Ya aku tahu aku ada kerja yang perlu diselesaikan tapi takkanlah sampai itu nak berkira? Nampak sangat big boss tak ngam dengan aku. 

Kalau ikutkan hati, aku nak tukar department dan pernah terlintas juga untuk mencari kerja lain. Dahsyat tak? Bila fikir semula, rasa sayang pula nak tinggalkan sebab dah 6 tahun aku kerja kat opis sekarang. 

Untuk pengetahuan semua, aku tak pernah ada masalah dengan big boss sebelum ini. Semenjak dapat big boss baru pada tahun lepas, aku agak tertekan. Hari-hari masuk kerja, dah tak ada semangat lagi. Hati pun tak senang dan suka. Sampai macam tu sekali aku rasa sekarang. 

Aku tak kisah kerja banyak atau lebih masa tapi kalau hati dah tak senang, tak boleh nak buat apa-apa lagi. Beza sangat masa aku mula-mula masuk opis dulu. Susah senang bersama-sama. 


Kawan-kawan yang pernah 1 department dulu. Abaikan posing aku yang over itu. Hahaha..

p/s: ada kerja kosong tak?

Sunday, December 1, 2013

5 tahun bersama-sama


Hari ini cukuplah 5 tahun kita bersama-sama dalam dunia blog. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah blog yang tak seberapa ini. Terima kasih juga kepada semua follower blog aku yang setia bersama-sama dengan aku. 

Aku akan cuba sedaya upaya untuk update blog aku. Kalau tiba-tiba aku senyap, bukan bermakna aku abaikan blog ini. Mesti ada sesuatu yang berlaku. Jangan risau, aku tak akan lupa punya. Hehehe...

p/s: cepatnya masa berlalu. 

Thursday, November 28, 2013

Hujan malam


Aku paling suka hujan waktu malam. Bunyi hujan turun, macam damai dan tenang je. Untuk lagi best, dapat guling-guling atas katil dan badan diliputi dengan selimut. Indahnya dunia aku rasa. 

Kebetulan malam ni hujan, bertambah semangat aku nak update blog aku. Cewah! Mesti ada yang tunggu bilalah agaknya aku nak update blog aku ni. (perasan je aku) 

Minta maaf, beberapa minggu lepas aku rasa down sangat. Apa yang aku buat selama ini, serba tak kena je. Bila aku fikir semula..kalau aku macam ni lama-lama, apa yang aku dapat? Buang masa, buang tenaga. Silap-silap, boleh buat sakit jiwa dibuatnya. Life must goes on. 

Kebetulan baru-baru ini ada pula tawaran yang menarik untuk melancong, apa kata kita ambil peluang tu. MAS pun nak lawan Air Asia, ini betul-betul mencabar aku. Hajat hati nak teroka tempat baru tapi kedudukan kewangan tak berapa nak mengizinkan. Kena tunggulah.

Nampak gaya kena tunggu bonus masuk dulu. Cerita pasal bonus, aku pun tak tahu berapa aku dapat untuk tahun ini. Big boss dah tanda aku tak best. Jadi aku malas nak mengharap terlalu tinggi takut aku yang kecewa. Insya-Allah rezeki ada di mana-mana. 

Aku ingat nak ambil cuti dalam 2-3 hari dalam masa terdekat tapi tak tahu nak ke mana. Ada sesiapa nak bagi cadangan? Tak perlu nak pergi ke tempat jauh-jauh sehingga ke luar negara. Lagipun pasport aku dah hampir tamat tempoh. Sesiapa rasa nak kongsi idea, bolehlah beritahu aku ya. Boleh kan? 

p/s: biarlah hujan turun lagi...

Saturday, November 23, 2013

Air Asia-free seats


Tawaran hebat daripada Air Asia. Dah boleh rancang nak ke mana lepas ni. Ada siapa nak ikut aku?

p/s: plan punya banyak tapi tak tahu jadi atau tak. 

Thursday, November 21, 2013

Feel so down


I feel so down lately. 
I've tried my best and it seems that my best is not good enough. 

p/s: aku tak suka perasaan ini!!!




Friday, November 15, 2013

Angan-angan itu indah

Berangan tak sudah-sudah aku ni. Ini semua gara-gara layan tengok orang buat smoothie kat YouTube. Macam sedap je aku tengok. Mulalah pasang angan-angan, nak ada blender best. Lepas tu boleh beli buah macam-macam jenis untuk buat smoothie. 

Hari ini nak buat smoothie strawberi, esok buat smoothie mangga, lusa pisang. Konon nak ubah lifestyle yang lebih sihat. Hahaha..

Aku nak blender ini. Best kan?



Tapi secara realitinya..
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.


Duit aku banyak ni je. Mana cukup!

p/s: tunggu bonus masuk je lah. 

Thursday, November 14, 2013

Tak dapat 5A dalam UPSR?

Hari ini keputusan peperiksaan UPSR keluar. Tahniah aku ucapkan kepada adik-adik yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya, jangan bersedih. Ini bukan penghujung jalan, perjalanan hidup adik-adik masih panjang lagi. Kalau adik-adik tak berjaya, tak semestinya gagal buat selama-lamanya. Waah, ada tokoh jadi pakar motivasi tak? 

Masa zaman aku sekolah rendah dulu, aku bukannya pandai sangat. Selalu dapat nombor hujung-hujung je. Kalau dalam kelas, jarang sangat dapat yang top 10. Masa peperiksaan Penilaian Darjah 5 (masa tu belum ada UPSR lagi), aku dapat 2A 3B. Jangan main-main dapat A untuk subjek Sains dan English. 

Aku ingat lagi masa Cikgu Nasir umumkan keputusan peperiksaan Penilaian Darjah 5. Cikgu Nasir cuma umumkan nama-nama yang dapat 5A dan sesiapa nama tak disebut tu, faham-faham sendirilah. 

Aku tak mengharap sangat untuk dapat 5A sebab aku tahu kemampuan aku. Macam mustahil je aku nak dapat 5A tu. Bila aku tengok kawan-kawan aku menangis bagai nak rak sebab tak dapat 5A, aku boleh buat muka selamba je seolah-olah tak ada perasaan langsung. Kenapalah nak menangis teruk sangat? Bukannya ada apa-apa pun. Kompius akak. 

Bila aku masuk sekolah menengah, aku cuba baiki prestasi pelajaran aku. Walaupun keputusan SPM aku tak cemerlang, aku bersyukur aku diterima untuk sambung belajar di ITM Shah Alam. Sedikit-sedikit aku berusaha dan Alhamdulillah pada tahun lepas, aku berjaya dapat MBA. Haaa...tengok tu. Jangan fikir tak dapat 5A dalam UPSR, bukan bermakna semuanya akan gagal. 

Lagi satu, kalau kita tidak berjaya dalam pelajaran siapa tahu kita ada kelebihan kemahiran lain seperti menjahit, bertukang, buat kek dan kuih dan banyak lagi. Jangan perlekeh orang-orang seperti ini, mereka mungkin lebih berjaya daripada kita. 

Aku juga ingin berpesan kepada mak ayah yang mempunyai anak-anak yang tak dapat 5A, jangan kecewa. Mereka dah cuba sedaya upaya. Berilah bantuan dan sokongan kepada mereka. Boleh kan?

p/s: aku tahu perasaan yang tak dapat 5A.

Tuesday, November 12, 2013

Menangis

Agak lama aku tak update blog. Sepanjang aku kerja 6 tahun kat opis sekarang, aku rasa tahap stress telah mencapai tahap maksima pada minggu lepas. Buat kali pertama, aku boleh mengalirkan air mata depan boss aku. Dalam hati aku pesan, "jangan menangis..jangan menangis". Tahu-tahu je, aku menangis, aku tak boleh nak kawal lagi. 

Aku telah diasak dan dipaksa dengan pelbagai perkara sehingga aku tak terkawal dibuatnya. Boss besar nak report siap cetak cepat sedangkan banyak lagi yang perlu diperiksa. Ditambah pula syarikat percetakan belum dipilih lagi dan kalau dah lantik pun perlu masa untuk cetak. Kalau ikutkan hati, aku nak je menjerit, "tak boleh sabar ke?" 

Kalau tengok aku menangis, memang buruk rupanya. Malulah..

Aku nampak je gembira selalu tapi sebenarnya hati aku mudah terasa. Tengok cerita Toy Story 2 pun boleh menangis? Sungguh tak logik kan? Itu belum lagi cerita hindustan, kalau ada part menangis, memang aku menangislah. Sebelum ini, ada kucing mati pun boleh menangis sepanjang memandu pergi kerja. Sampai tempat parking kereta opis, periksa dulu mata merah lagi tak. Hahaha..tahu pula malu, tak nak orang tahu pasal kau menangis tadi. 

Cerita pasal menangis, ada beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi bersama-sama terutamanya yang berkaitan dengan wanita. 

1. Faktor Hormon

Mengikut kajian yang telah dilakukan hormon wanita adalah lebih mudah dalam keadaan tidak stabil terutamanya apabila pada waktu datang bulan. Tekanan yang biasa bagi mereka kadang kala akan berubah menjadi suatu tekanan yang besar di mana ia boleh membuatkan mereka menangis. Kebanyakan wanita bersetuju bahawa mereka lebih kerap untuk menangis pada waktu datang bulan/haid. Dinasihatkan supaya jangan memberi sebarang tekanan kepada mereka kerana pada masa ini lebih sensitif daripada biasa.

2. Tujuan Manipulasi

Adakah anda sedar bahawa kebanyakan daripada wanita percaya dan yakin akan kenyataan bahawa lelaki itu lemah terhadap tangisan air mata mereka. Kepercayaan ini telah lama diketahui sejak dari dahulu lagi dan ada sesetangah wanita menggunakannya untuk memanipulasi keadaan supaya memihak kepada mereka. Mereka juga sangat yakin bahawa seseorang lelaki itu pasti sanggup melakukan apa pun hanya untuk memberhentikan tangisan mereka.

3. Faktor Kemarahan

Wanita adalah sama sekali tidak sama seperti kaum lelaki, wanita itu lebih cenderung meluahkan perasaan marah melalui tangisan. Ini adalah sifat semulajadi bagi setiap wanita. Wanita menangis dan marah biasanya kerana anda melakukan sesuatu yang mereka tidak sukai. Majoriti wanita bersetuju bahawa mereka merasa lebih tenang setelah meluahkan kemarahan melalui tangisan. Tangisan disebabkan kemarahan juga dianggap salah satu cara terbaik baik mengatasi emosi amarah mereka.

4. Faktor Memori

Wanita adalah makhluk ciptaan Allah yang mempunyai pemikiran yang sangat kompleks berbanding lelaki. Sebagai contoh, ketika anda sedang bergelak ketawa dan secara tiba-tiba sahaja mereka akan mengingati akan kenangan lalu sekaligus menyebabkan mereka menangis. Berdasarkan kajian yang telah dibuat, kebanyakan wanita lebih kerap mengingati akan setiap detik hidup yang mereka lalui selama ini berbanding dengan kaum lelaki. Tuhan telah mengurniakan mereka memori yang kuat bagi mengingati setiap kenangan bagi membolehkan mereka muhasabah akan perkara-perkara yang dialami.

5. Faktor Emosi

Pemikiran wanita itu terlalu mudah dipengaruhi oleh emosi berbanding akal fikiran. Mereka selalu secara automatik akan mengekspresikan akan satu tindakan itu berdasarkan emosi yang mereka hadapi, berbanding pula dengan lelaki yang sentiasa berusaha mengawal tindakan supaya tidak terikut dengan emosi mereka sendiri. Ini adalah merupakan perbezaan ketara antara wanita dan lelaki di mana lelaki lebih mementingkan pertimbangan akal fikiran berbanding mengikut nafsu dan emosi.

p/s: menangis, senjata wanita yang merbahaya.

Thursday, November 7, 2013

Tak ada mood


Tak ada mood nak buat kerja. Sesiapa boleh tolong? 

p/s: rasa nak pergi bercuti je. 

Sunday, November 3, 2013

Kelantan vs Pahang



Rasa-rasa siapa akan menang Piala Malaysia malam ini? Rekod kedua-dua kumpulan pernah merangkul kemenangan 2 kali semenjak Piala Malaysia diperkenalkan. Kali terakhir Pahang masuk peringkat akhir ialah 16 tahun yang lalu. Kelantan pula mesti nak mempertahankan takhta kemenangan tahun lalu. 

Mari kita tengok siapa yang menang. Aku sokong Pahang sebab ayah aku orang Pahang weh. 

p/s: mesti sesak kat stadium sekarang ni. 

Friday, October 25, 2013

39 already

Pagi-pagi lagi dah dapat ucapan hari lahir daripada kawan. Alahai baru aku perasan hari ini hari lahir aku yang ke-39. Terasa akak dah tua. Jangan tak tahu aku berkongsi hari lahir dengan artis Katy Perry yang seksi itu. 

Adakah perasaan aku seperti lagu Fireworks, Katy Perry?

Perasaan aku untuk sambut hari lahir macam hari-hari biasa je, macam nak pergi kerja. Semakin umur meningkat, perasaan nak sambut secara istimewa dah tak ada. Lainlah masa kecil dulu, memang selalu buat birthday party. Siap jemput kawan-kawan, masak mee hoon goreng (menu wajib), beli kek dan kuih. Hehehe..

Tak lupa juga, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada yang telah mengucapkan hari lahir aku di Facebook. Terharu pula aku sebab ada yang sudi mengucapkan hari lahir aku hari ini. Auuww..

Cerita pasal giveaway photobook, tak ada siapa pun yang beri jawapan. Soalan aku susah sangat ke? Oklah, aku nak buat cadangan lain. Aku akan beri giveaway photobook kepada orang pertama emel aku dan beritahu yang dia nak giveaway photobook. Amacam senang tak? Emelkan kepada: mazuriah@gmail.com. Apa lagi, cepatlah. Tawaran dibuka untuk hari ini sahaja. 

p/s: hari ini 39, tahun depan masuk 40 pula. ayoooo!!

Sunday, October 20, 2013

Besar

Jumpa ikan tapah besar di Pasar Tani Maeps semalam. Inilah kali pertama aku tengok ikan tapah dan saiznya sangat besar! Kalau masak gulai ikan ni, mahu boleh hidang orang sekampung. Siapa pernah makan ikan tapah? Apa rasanya ya? 

Inilah rupanya ikan tapah. Besar gila. 


Tiba-tiba hari ini aku nak teringin nak makan biskut coklat chip. Nak beli, mesti harga mahal lebih-lebih lagi jenama Famos Amos yang enak itu. Berapa ya harga sekarang? Dah lama aku tak beli. 

Dengan semangat waja, aku cari resepi biskut coklat chip. Kebetulan bahan-bahan yang diperlukan semuanya dah ada. Apa lagi, aku terus buatlah dan ini hasilnya. 

Amik kau, makan sebiji pun dah kenyang. 

Banyak lagi biskut coklat chip ni sebab aku makan 1-2 keping je. Tak larat aku nak habiskan semuanya. Ini namanya nafsu konon nak makan macam-macam. Siapa nak habiskan ni? 

p/s: sesuailah dengan aku yang saiznya besar. hehehe..

Wednesday, October 16, 2013

Juadah Hari Raya Aidiladha

Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua. Sempena hari yang mulia ini, aku dan adik-adik aku telah menyiapkan juadah makan pagi dan ini adalah hasilnya...

Nasi Arab, kambing panggang, ayam panggang dengan kentang, sos salsa dan mint yogurt. 

Ada pula yang tempah kek carrot. Itu dikatakan rezeki. 

Percubaan buat red velvet cupcake. Berjaya akhirnya!

p/s: minggu ini rasanya makan daging je.

Thursday, October 10, 2013

Salah guna kepakaran

Aku tahu masih terlalu awal untuk aku bercerita pasal percutian ke Bali. Memandangkan aku dah biasa buat kerja market research, aku sempatlah juga cari maklumat hotel dan tempat menarik di sana. 

Aku rasa aku dah salah guna kepakaran aku ni. Alangkah bagusnya kalau aku pakai kepakaran market research untuk kerja. Ini tak. Bab nak jalan atau bercuti cepat je aku cari maklumat. Cuba cari untuk buat report atau publication, punyalah liat nak buat. Hahaha

Kalau 1 hari aku kerja, ada agaknya 10-20% aku buat untuk kerja yang baki tu untuk buat benda lain. Hmm..mana nak berkat duit gaji aku ni. Padan muka. Eh aku tak buat macam tu hari-harilah. Ini pun kalau ada masa terluang atau masa tak banyak ada projek nak buat. Masa sibuk tu, sampai nak ke tandas pun tak sempat. Gila tak? 

Kita kena seimbangkan masa kerja dan senggang. Kita tak boleh juga nak serius sepanjang masa. Kalau tak, macamana nak gembira. Jangan tak tahu, itu adalah sebahagian rahsia awet muda aku. Cewaah! 

Cerita pasal awet muda, ramai tak percaya bila aku sebut umur aku sebenar sebab ramai yang teka umur aku dalam lingkungan 20an. Alamak mudanya aku. (jangan ada yang muntah pula) 

Lupa pula aku nak cerita. Pagi tadi aku jumpa lagi kawan sekolah menengah namanya Yati masa nak isi minyak kereta. Lama kita tak jumpa kan? Kalau Yati baca blog aku ni, jangan malu beri komen ya. Jumpa lagi. 

p/s: mari kita bergembira dan senyum selalu

Tuesday, October 8, 2013

Kebetulan atau tak?

Aku tak tahu ini kebetulan atau tak. 

Selalunya kalau aku ke mana-mana mesti akan jumpa kawan. Tak kiralah kawan sekolah, kawan universiti atau kawan kerja lama. Contoh hari ini, aku ada seminar di Kuala Lumpur. Tak sangka aku boleh jumpa kawan sekolah rendah namanya Hazman Nasir. Lama betul tak jumpa dia dan kali terakhir jumpa masa aku sekolah dulu. Hmmm..lama kan? 

Pada mulanya masa aku jumpa kawan aku ni, aku agak keberatan nak tegur sebab aku keliru dengan adik dia. Muka mereka berdua hampir-hampir sama. Ini adik atau abang? Bila dia tegur aku, confirmlah itu kawan aku. Barulah aku berani nak buka bicara. 

Aku dapat tahu yang selama ini dia memang tinggal di Bangi. Nama je tinggal di Bangi, rumah pun bukannya jauh sangat tapi tak pernah jumpa. Pelik betul. Dahlah tu, kawan aku ini memang selalu datang ke opis aku sebab urusan kerja. Aduhai kecilnya dunia. Kenapalah aku tak tahu?

Rasa seronok juga bila dapat jumpa balik kawan lama macam ni. Boleh kita menyatukan kembali silaturrahim. Betul tak? 

p/s: kawan biar ramai, musuh jangan dicari.

Friday, October 4, 2013

Birthday card

Tiba-tiba ada surat untuk aku. Bila buka rupa-rupanya dapat birthday card. 

Belum sampai hari lahir, dah dapat birthday card daripada opis. Agaknya memang dia bagi kad sekali harung kepada semua pekerja yang lahir bulan Oktober.  

Terima kasih beri birthday card.

p/s: tahun depan jangan lupa beri lagi.

Wednesday, October 2, 2013

As life goes by

Masa aku muda-muda dulu bab semangat dan luahan perasaan memang membara-bara. Kalau tak suka seseorang memang aku tak suka betul. Sebut nama pun tak nak apatah lagi nak jumpa. Sekarang, suka hati kau asalkan kau tak kacau aku. Dipendekkan cerita, aku lebih mengambil tindakan ke arah cool down. Cewaah! Lagipun, apa faedah aku dapat kalau aku tak suka orang tu? Buat tambah dosa je. Betul tak?

Baru-baru ini ada berita sedih mengenai opismate aku yang meninggal dunia mengejut. Muda lagi orangnya, tak salah aku umur dia 26 tahun. Walaupun aku tak berapa kenal dia, aku dan seluruh warga kerja opis terkejut dengar berita ini. It is a wake up call for me. Siapa sangka kejadian ini akan berlaku. Apa-apa pun, kita sedekahkan surah Al-Fatihah untuk arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan orang yang beriman. 

Boss pula sekarang ini suka mencurah perasaan kat aku. Bukannya sekejap, lama gila. Silap-silap mahu 1-2 jam. Kenapa ya orang suka mengadu dan mencurah perasaan kat aku? Muka aku ni memang nampak muka kasihan agaknya. Korang nak tahu? Ini jawapan adik aku, "dahi kau tu memang ada cop tempat mengadu." Ok, fine. Full stop. 

Petang tadi aku nampak ada offer pressure cooker. Lama dah aku nak cari pressure cooker. Harga pun boleh tahan juga. Semenjak dua menjak ni, suka sangat tengok periuk, kuali dan pinggan mangkuk. Terasa macam emak-emak je. Itu tandanya aku ini dah tak muda lagi! Nak beli baju, macam ada saiz aku. 


Pressure cooker idaman hati. 

Tangan dah mula gatal ni. Aku rasa kejap lagi, ada aku nak rembat purse dan cepat-cepat ambil kad kredit. Siapa pernah pakai pressure cooker ni? Berilah komen sikit. 

p/s: eh ini post yang ke-700! waah..

Tuesday, October 1, 2013

Hadiah hari lahir

Cepat betul masa berlalu, hari ini dah masuk bulan Oktober. Bila dah masuk bulan Oktober, bertambahlah umur aku (terasa akak dah tua dik). Sempena hari lahir aku yang tak lama lagi ini, aku nak beri sesuatu istimewa kepada pembaca blog aku yang bertuah. 

Nak tahu apa hadiahnya? Kenalah tunjuk dulu hadiah baru best. Kepada yang suka ambil gambar, memang sesuai sangat. Boleh agak tak apa dia? Kamera? iPhone? Ohhh tidak...bajet tak banyaklah. Hehehe..





























Voucher photo book album daripada Pixajoy. 

Voucher description:
Size: Cool Image Wrap Hardcover 11" x 8" Portrait
Pages: 40
Cover : Image Wrap Hardcover with Protective Gloss or Matte Lamination
Content Paper: Art Paper 150gsm
eVoucher Value: RM117
Valid until 5 April 2014


Aku pernah cerita pasal photo book album dalam entry aku sebelum ini. So boleh check kat sini kalau nak tahu lebih lanjut. 

Ada yang berminat? 

Untuk mendapatkan hadiah ini, mudah sahaja. Cuma jawab beberapa soalan. Siapa yang dapat jawab dengan betul dengan cepat, dialah pemenangnya. Apa tunggu lagi, cepat-cepatlah jawab!

Soalannya:

1. Bila tarikh lahir dan berapa umur aku tahun ini.

2. Berikan nama tempat aku dilahirkan. 

3. Namakan warna kesukaan aku. 

Bila dah dapat jawapan, sila emel kepada mazuriah@gmail.com dengan tajuk emel "hadiah hari lahir". Good luck!

p/s: siapa agaknya yang bertuah tu?