Pages

Thursday, April 30, 2015

Pindah lagi

Pindah lagi tapi kali ini pindah ke bangunan baru yang terletak berhadapan dengan bangunan sekarang. Itu sebabnya aku dah lama tak update blog. Bila dah selesai semua, aku akan ceritakan pengalaman trip aku ke Ho Chi Minh nanti. Sabar ya. 



Packing tak sudah-sudah. Bilalah agaknya nak siap ni. 

p/s: penat packing

Sunday, April 19, 2015

Love from Melbourne - part 10

Hari terakhir di Melbourne tak banyak aktiviti yang dapat aku lakukan. Bangun awal untuk siapkan makanan dan bekalan sebab teksi ayah sampai pukul 6 pagi memandangkan flight ayah pukul 9 pagi.  Manakala flight aku dan adik lambat lagi iaitu pukul 3 petang. Jadi tak perlulah nak terburu-buru dulu. 

Kari ikan dengan nasi putih makanan terakhir di Melbourne. 

Selepas hantar ayah, aku dan adik bercadang untuk last minute shopping. Singgah ke Queen Victoria market untuk beli buah ceri. Kebetulan masa aku sampai di Melbourne sedang musim buah. Tak ketinggalan untuk tambah lagi cendermata untuk dibawa pulang. 

Buah epal. 

Buah strawberry, blueberry dan raspberry. 

Buah ceri. 

Tak boleh nak lama-lama di Queen Victoria market sebab aku tak siap kemas lagi. Dahlah waktu check out pada pukul 10 pagi. Nasib baik dapat check out tepat pada masa. Masih terlalu awal untuk ke airport jadi kami bercadang untuk ke Melbourne Central. Tambah lagi barang-barang nak bawa pulang dan pada masa yang sama untuk habiskan baki duit Australia yang ada. Hehehe.. Tak lupa juga untuk pos poskad kepada kawan-kawan. 

Rasanya semua dah dapat poskad aku ni. 

Dalam pukul 12 tengahari, ambil teksi untuk ke airport. Tiap kali aku nak check in dan timbang beg, mesti aku selalu berdebar-debar. Takut beg aku terlebih muatan. Alhamdulillah semuanya masih terkawal, tak lebih muatan. Fuuh! Di sini peraturan bawa hand luggage sedikit ketat. Mereka siap timbang lagi, selalunya di tempat lain tak macam tu. Sebelum masuk ke pintu perlepasan, aku siap makan dulu bekalan yang dimasak pagi tadi. 

Jemput makan ya. 

Selesai sahaja urusan imigresen, entah kenapa aku dan adik ditahan oleh pegawai imigresen. Aku tengok orang lain tak pula kena tahan. Apa hal pula ni? Setahu aku, aku tak buat apa-apa kesalahan pun. Rupa-rupanya pegawai imigresen nak periksa beberapa maklumat daripada kami. Beberapa soalan ditanya contohnya: 

1. Kenapa datang ke Australia?
2. Berapa lama di Australia?
3. Berapa banyak bawa balik duit Australia? 

Aku ingatkan apa tadi. Sudah pasti aku takutlah. Dibuatnya tak lepas balik, apa aku nak jawab dengan ayah nanti? Macamana aku nak balik kerja? Ayoyo!!!

Sepanjang perjalanan lebih kurang 8 jam balik ke KLIA, berjalan dengan lancar. Aku selamat sampai ke KLIA dalam pukul 8 malam. 

Jadi kawan-kawan, apa yang dapat aku simpulkan trip ke Melbourne memang best. Kalau diberi peluang, biarlah lama sikit berada di sana. 5 hari aku di Melbourne terasa singkat sangat. Tak banyak tempat aku dapat pergi. InsyaAllah kalau ada rezeki, aku akan ke Melbourne lagi. Kenalah kumpul duit banyak-banyak nampaknya. 

p/s: lega dah habis cerita trip Melbourne. 

Thursday, April 16, 2015

Not again Bubu

Bubu kesayanganku kena langgar lagi. Kasihan Bubu. Dahlah tahun lepas kena langgar. Kalau nak dibandingkan yang tahun lepas, kali ini lagi teruk. 

Ayah aku siap beritahu yang sebenarnya aku nak tukar kereta baru. Oppss! Bocor rahsia. 

Ceritanya begini. 

Aku sebenarnya baru balik dari kerja dan dalam perjalanan nak ambil kawan aku di stesen ERL Putrajaya. Kebetulan masa tu baru sahaja lepas hujan dan keadaan jalan yang agak licin. Entah macamana masa aku masuk simpang ke Putrajaya, stereng kereta lock dan kereta aku berpusing. Aku boleh rasakan kereta berpusing dalam 3-4 kali dan sedar-sedar sahaja kereta aku langgar penghadang jalan. 

Inilah rupa kereta aku kena langgar penghadang jalan. 




Alhamdulillah aku tak cedera apa-apa dan kebetulan masa tu kereta tak ada. Nasib baik ada 2 orang pemuda tolong aku uruskan hal kereta. Kalau dibuatnya aku cedera, mahu aku menangis. Menangis bukan pasal kereta tapi menangis sebab aku tak dapat pergi ke Ho Chi Minh pada hari esoknya. Apa tak nya aku dan kawan aku dah lama buat booking. 

Lepas urusan laporan polis dan hantar kereta ke bengkel, baru lega hati aku. Bolehlah aku berjalan ke Ho Chi Minh dengan tenang. 

Nanti aku update trip ke Ho Chi Minh ok? Cerita trip di Melbourne ada sikit lagi. Tunggu ya. 

p/s: misi mencari kain raya. 

Thursday, April 9, 2015

Awak kat mana?

Alhamdulillah dah selamat sampai. Rasanya boleh teka tak di mana aku sekarang?

Tuesday, April 7, 2015

Love from Melbourne - part 9

Bangun awal pagi semata-mata nak update blog, Kagum tak? Bukan apa, malam ni tak boleh nak tidur sebab panas sangat. Alang-alang dah bangun, baik aku habiskan cerita Melbourne. 

Sambung balik cerita kita di Melbourne. Selepas jalan-jalan sekitar Woolamai Beach, destinasi seterusnya adalah Nobbies Centre. Kebetulan masa sampai di situ, ada pula rombongan tour daripada agent tupperware dari seluruh Indonesia. Perrghh ramai gila ok! Aku tak tahu berapa banyak bas mereka datang. 

Nobbies Centre. 

Di Nobbies Centre ada disediakan kawasan pejalan kaki dan sambil itu kita boleh melihat pemandangan pantai yang cantik. Jangan lupa pakai jaket sebab tiupan angin kuat dari pantai sangat sejuk. Kalau bernasib baik, boleh nampak penguin. 



Cantik tempat ni. 

Memandangkan masih terlalu awal untuk melihat Penguin Parade, Simon bawa kami untuk makan malam. Ikutkan boleh sahaja makan di Nobbies Centre tapi ruang makan dah ditempah oleh rombongan agent tupperware dari Indonesia. Tak boleh nak buat apa. 

Sebelum sampai ke tempat makan malam, Simon tunjukkan tempat kawasan Penguin Parade. Tak jauh pun dari Nobbies Centre. Lagipun semasa penguin tu keluar dari pantai malam nanti, tak dibenarkan ambil gambar. Takut mengganggu penguin tu nanti. Sekurang-kurangnya kita tahu dan apa nak dijangkakan nanti. 

Kawasan Penguin Parade. Penguin tu akan berjalan keluar dari pantai. 

Aku tak pasti Simon bawa ke mana untuk makan malam tapi jangan risau ada kedai makanan halal. Untuk makan malam adalah tanggungan sendiri sebab Autopia Tours tidak menyediakan makanan. 

Kedai yang menyediakan makanan halal. 


Order fish and chips dengan nasi butter dan kuah dal. 

Perut dah kenyang dan makan pun sudah. Seterusnya ke acara kemuncak untuk menyaksikan Penguin Parade. Sebelum masuk, Simon telah menyediakan alas duduk dan tiket masuk untuk setiap orang. Bila aku sampai ke pintu masuk, tiket aku tiba-tiba hilang. Aku perasan aku simpan tiket dalam poket jaket. 

Alamak..aku tengok semua ahli kumpulan aku termasuk ayah dan adik dah selamat masuk. Tinggal aku seorang di luar. Aku beritahu penjaga tiket yang aku dah hilang tiket. Lebih kurang merayu berilah aku masuk tapi mereka tak lepas aku masuk. 

Tak lama lepas tu, adik aku call tanya aku di mana. Aku beritahu yang aku tak dapat masuk sebab tiket hilang. Dalam kes ini, kalau dalam keadaan terpaksa, kena beli tiket barulah nampaknya. Tiket masuk kena bayar AUD25 tu. Uwaaa!!!!

Sambil aku memikirkan nasib aku ni, aku nampak Simon keluar. Lega hati aku. Masa ini aku dah nak menangis tapi control beb. Aku ceritalah macamana tiket aku hilang. Simon terus bawa aku balik ke bas semula dan sama-sama cari tiket. Puas aku cari tapi  masih tak jumpa lagi. 

Di sini ada 2 pilihan:

1. kalau aku bernasib baik, aku dapat tiket tu semula dengan percuma. 

2. kalau aku tak bernasib baik, terpaksalah aku beli tiket baru. 

Pada masa yang sama, Simon pergi berbincang dengan pengurus untuk dapatkan tiket masuk. Sementara menunggu apa yang akan terjadi, aku sempat berborak dengan Simon. Simon beritahu aku dia dah biasa dengan situasi macam ini sebab itulah dia boleh bertenang sahaja. Jangan tak tahu, rupa-rupanya Simon pernah sampai ke Malaysia. Kagum akak tau. 

Kalaulah aku dapat gambarkan masa ini, aku terasa aku sangat terhutang budi dengan Simon. You are my savior..you are my hero. Aaaaah sudah cukup, jangan nak berangan pula. Jiwang pula aku kali ini. 

Aku bernasib baik sebab aku dapat tiket masuk percuma. Fuuh! Alhamdulillah. Simon beritahu yang Autopia Tours selalu datang ke sini. Lebih kurang ada hubungan yang baik antara mereka dan sebab itu aku dapat tiket percuma. 

Dapat sahaja tiket masuk, aku tengok ayah dan adik dah tunggu di ruang legar. Kami bergegas masuk sebab acara Penguin Parade dah nak bermula. Dinasihatkan untuk membawa selimut atau pakai jaket sebab di sini sangat sejuk. 

Sebelum acara bermula, sedikit penerangan daripada pegawai bertugas berkenaan penguin. Tak lama lepas itu, kelihatan sekumpulan penguin keluar dari pantai. Alahai comel dan kecil sahaja penguin sambil berjalan terkedek-kedek. 

Selepas acara Penguin Parade, kami dibawa pulang semula ke Melbourne. Sampai di hotel dalam pukul 11 lebih. Mengantuk sangat tapi esok dah nak balik Malaysia. Kenalah siap sedia untuk mengemas. 

p/s: last minute shopping di Melbourne pula. 

Sunday, April 5, 2015

Love from Melbourne - part 8

Dah menghampiri penghujung cerita trip ke Melbourne. Punyalah gigih aku cuba nak habiskan cerita ini. Dalam beberapa hari lagi ada satu trip menanti dan kalau boleh aku nak habiskan secepat yang mungkin. Mari kita teruskan. Yeaah!

Pada hari keempat di Melbourne, diteruskan dengan mengambil tour ke Phillip Island. Pick up tour adalah sama seperti tour GOR tempohari tapi kali ini bermula pada pukul 11.35 pagi. Tak perlu nak tergesa-gesa nak siap dan pada waktu ini aku mengambil kesempatan untuk menyediakan bekalan makanan supaya tak lapar nanti. 

Tepat pukul 11.35 pagi, Autopia Tours datang ke Ibis Hotel dan mengambil kami untuk ke Phillips Island. Kali ini pemandu dan tour guide adalah Simon. Kalau nak dibandingkan Simon dengan Rod, aku lebih suka Rod lagi. Bukan sahaja peramah dan mesra orangnya tapi lagi handsome. Dasar gatal aku ni. Sayang aku tak sempat nak ambil gambar Simon sebab tak sempat. Hehehe..

Seperti biasa, Simon akan mengambil penumpang-penumpang lain yang bersama-sama ke Phillips Island. Apabila selesai mengambil semua penumpang, barulah Simon meneruskan perjalanannya. 


Aku tak ingat nama destinasi pertama tapi kami berhenti untuk makan tengahari. Memang Autopia Tours ada menyediakan makanan tapi aku tak makanan yang disediakan sebab kebetulan kami dah sediakan makanan sendiri. 



Ada disediakan kawasan berkelah. 

Makan bekalan sendiri. 

Banyak betul burung yang singgah. 

Tak boleh lama-lama di sini sebab masih banyak tempat lain yang dilawati selepas ini. Destinasi seterusnya adalah The Maru Koala and Animal Park. Di sini kita boleh melihat sendiri dan berinteraksi dengan binatang-binatang  seperti kangaroo, wombats, emu dan banyak lagi. 

Amacam ada rupa abang sado tak? 

Koala baru bangun tidur. 

Wallaby yang pemalu. 

Kangaroo yang sangat manja. 

Tak nak makan pula makan kangaroo albino ni. 

Di sini boleh sahaja nak ambil gambar dengan koala tapi kena bayarlah. Aku tak pasti berapa bayaran yang dikenakan tapi boleh tahan mahalnya. Makanan nak bagi binatang pun kena bayar sebanyak AUD2 sebekas. Sambil beri makan, kita menderma juga untuk kebajikan binatang yang ada di situ. Betul tak? 

Aku juga mengambil kesempatan bermesra dengan kangaroo. Bukan senang nak jumpa kangaroo dekat macam ni. Dahlah kangaroo di sini semuanya manja-manja belaka. Geram aku dibuatnya! 

Destinasi seterusnya adalah Woolamai Beach. Di sini bukan sahaja menikmati pemandangan pantai yang indah, boleh juga melakukan aktiviti meluncur air sebab keadaan ombak pantai yang agak besar. 

Woolamai Beach. 

Bas Autopia Tours. 

Menikmati pemandangan pantai atau melihat abang-abang sado?

Ke mana destinasi seterusnya? Kita sambung lagi ya. Mata dah mengantuk sangat ni. Aku cuba habiskan cerita secepat mungkin. Boleh kan? 

p/s: ada drama lagi lepas ini.

Friday, April 3, 2015

Love from Melbourne - part 7

Punyalah seksa nak habiskan cerita trip ke Melbourne. Minta maaf banyak-banyak sebab mengambil masa yang agak lama nak sambung balik cerita. Jangan marah ya. Nanti kena jual tau. 

Selepas pulang dari Queen Victoria Market, kami bersiap-siap nak jumpa seseorang yang sangat istimewa. Nak tahu siapa? Kalau korang nak tahu kenapa kami memilih untuk ke Melbourne selain daripada untuk makan angin, sebab nak jumpa saudara ayah yang dah lama tak jumpa. Rasa-rasanya dalam berapa tahun tak berjumpa? 

10?

20?

30?

Salah tekaan tu. Nak tahu berapa? 50 tahun tak jumpa. Berjejak kasih ayah aku dengan saudaranya itu. Aku panggil saudara ayah tu Uncle Kam tapi nama penuh beliau ialah Kamarul Zaman. 

Uncle Kam dah lama menetap di Melbourne. Tak salah aku, habis sahaja zaman sekolah menengah terus sambung belajar di Melbourne. Selepas itu terus bekerja, menetap dan berkeluarga di sana. Ada juga sekali-sekala dia balik ke Malaysia menjenguk adik beradik dan saudara mara di sini. Tak tahu pula kenapa dia tak nak terus menetap di sini. 

Sesi jejak kasih bermula apabila Uncle Kam datang ke hotel kami. Nasib baik mereka masih ingat lagi. Apa taknya, 50 tahun tak jumpa! Walaupun tak berapa nak ingat muka, ayah cakap muka Uncle Kam masih boleh dikenali lagi. 

Uncle Kam terus bawa kami makan di Restoran Little Ipoh. Katanya tuan punya kedai tu adalah daripada kerabat Di Raja Perak. Ramai orang kenamaan Malaysia makan di situ. 

 Aku makan Char Kuew Tiow. Rasanya biasa-biasa sahaja. 

Bersama-sama Uncle Kam dan isteri. 


Selesai makan, Uncle Kam bawa jalan-jalan sekitar Melbourne. Uncle Kam siap cerita di Melbourne ada kawasan terletaknya perumahan orang kaya, sederhana, pendatang dan sebagainya. Tak lupa juga Uncle Kam bawa kami ke Toorak iaitu kawasan perumahan orang kaya-kaya di Melbourne. Di antara rumah yang ada di Toorak, terdapat sebuah rumah yang paling mahal yang dimiliki oleh orang Indonesia yang merupakan tuan punya kedai 7 Eleven di seluruh Australia. Hebat kan? Sayang, aku tak sempat nak ambil gambar rumah tu. Bila aku tengok kawasan Toorak ni, aku teringat macam berada di kawasan Damansara Height pula. Rumah banglo besar-besar dan agak lama rupanya. 

Singgah sebentar di Rickett Point untuk makan scones. Inilah scones yang paling sedap aku pernah makan. Tambah sedap lagi bila ada orang belanja makan. Hehehe...

Scones dengan cream dan jem strawberi. Yummy!!

Bersama-sama Uncle Kam.

Lepas makan scones, Uncle Kam meneruskan membawa kami jalan-jalan sekitar Melbourne. Kali ini Uncle Kam tunjukkan kawasan perumahan yang didiami oleh masyarakat Islam. Kawasannya agak jauh sedikit dari pusat bandar. Kebanyakan masyarakat Islam yang ada di sana adalah dari Negara Arab. Di sini aku nampak beberapa keluarga Arab yang berjalan-jalan dan terdapat banyak kedai makanan halal. Jadi untuk mencari makanan halal di Melbourne bukan lagi masalahnya. 

Lebih kurang pukul 5 petang, Uncle Kam bawa kami pulang ke hotel. Sepanjang berjumpa dengan Uncle Kam, macam-macam cerita yang dikongsi bersama. Dah 50 tahun tak jumpa pasti banyak cerita nak tahu. Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak kepada Uncle Kam yang sudi melayan kami sekeluarga. Jasamu sentiasa diingati. 

Lepas maghrib, pergi ke Coles lagi untuk beli makanan untuk bekalan trip seterusnya. Yang pasti tak nak peristiwa menahan lapar semasa trip GOR tempoh hari berulang kembali. Ke mana kita? Tunggu ya. 

p/s: dapat jumpa kangaroo dengan dekat lepas ini.