Thursday, December 29, 2016

Johor Bahru - short trip

Lamanya tak update blog. Cuti hujung tahun ni tak ada siapa ke yang ambil cuti? Kebetulan ada cuti panjang, pergilah jalan-jalan. Tak semestinya pergi jauh, dekat rumah pun ok. Tak pun, kita layan tengok wayang. 

Banyak pula aku bebel. Yang aku ni? Suruh orang cuti, kau ada nak pergi mana-mana ke? 

Haaaa..ini yang akak nak cerita. Nak tahu aku ke mana? Ke Johor Bahru la. Kali ini trip pandu sendiri sahaja. Dari Bangi ke Johor Bahru mengambil masa lebih kurang 4 jam. Nasib baik sepanjang perjalanan berjalan dengan lancar dan cuaca memang menyebelahi kami. Alhamdulillah selamat juga ke destinasi yang dituju. 

Kebetulan aku pun dah lama ke Johor Bahru dan kali terakhir kalau tak salah aku dalam tahun 2010. Perrghh 6 tahun tu. Trip kali ini nak cari tempat makan yang best, jumpa kawan lama dan masuk Legoland! 

Pada masa yang sama konon nak jadi makcik yang terbaik. Itulah siapa suruh janji nak bawa anak saudara ke Legoland. Bila dah janji, mereka apa lagi asyik tuntut janji dengan aku. Padan muka. Dengan budak-budak ni jangan suka hati buat janji. Mereka akan tuntut sampai dapat.

Aku dah senaraikan banyak tempat nak pergi. Macam biasalah impian terlalu tinggi tapi realitinya sempat singgah beberapa tempat sahaja. 

Sepanjang berada di Johor Bahru, kami menginap di Hotel Hallmark Regency. 

Ada 1 katil queen dan 1 katil single. 

Check in pun sudah, tempat pertama yang kami pergi ialah Plaza Angsana dan apa lagi kalau bukan nak cari Mee Rebus Hj Wahid yang masyhur itu. Memang ramai yang beratur untuk dapatkan mee rebus ni. 

Bagi aku, oklah. Mungkin aku bukan peminat tegar mee rebus. Kalau nak rasa, boleh je cuba. 

Kedai Mee Rebus Hj Wahid di Plaza Angsana. 

Seterusnya mencari pisang goreng mawar yang terletak sebelah Hotel Thistle. Katanya memang masyhur sangat di Johor Bahru sampaikan orang sanggup beratur untuk dapatkan pisang goreng. 

Masa aku sampai dah pukul 5 petang, masih kelihatan orang beratur panjang. Aku pun nak cuba rasa walaupun baru je lepas makan. Walaupun orang beratur panjang, servisnya cepat. Pisang goreng memang sentiasa ada. Sekejap je dah ada pisang yang baru goreng. 

Harga pisang goreng agak mahal, sekeping dalam 50sen tapi kalau nak beli memang dia letak 1 pinggan harga RM5. Lebih kurang ada 10 keping pisang goreng dalam piring. 

Sambal kicap? Sudah pasti ada tapi aku rasa sambal kicap kurang pedas. Kalau pedas, baru best! 

Inilah rupanya pisang goreng mawar. 1 piring pisang goreng harga RM5. 

Pisang goreng mawar ni memang rangup tepung dan pisangnya pun lembut dan manis. Patutlah ramai orang ramai beli pisang di sini. Makan pula dengan teh tarik, memang gandingan terbaiklah. 

Pada hari esoknya, kami ke Legoland. Tempat yang dinanti-nanti oleh anak saudara aku. Tiket ke Legoland aku dah beli online. Nak beli di kaunter pun boleh tapi aku nasihatkan belilah awal-awal. Bukan apa, orang beratur panjang beli tiket. Ingat tu. 

Sebelum masuk, terdapat beberapa orang petugas akan periksa tiket dan beg. Makanan memang tak diberi masuk tapi kalau bernasib baik, lepas juga. 

Legoland Malaysia. 


Legoland dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Legoland Water Park dengan Legoland Theme Park. Aku pergi yang Legoland Theme Park sahaja manakala adik aku dengan anak-anak dia kedua-duanya. Harga tiket untuk 1 hari combo (water & theme park) dalam RM196 dan tiket untuk 1 hari theme park dalam RM156 tapi masa aku beli kebetulan ada offer. Beli 2 tiket, harga untuk tiket kedua dapat 50% diskaun. Banyak tu beza! 

Antara banyak tempat dalam Legoland Theme Park, aku suka sangat Miniland. Di situ ada miniature version bangunan dan kawasan yang masyhur di dunia. 

Masjid Putrajaya.  


KLCC. 

Taj Mahal. Teringat aku kenangan di India. Bila agaknya aku nak update ya. Hehehe..

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Brunei. 

1 hari jugalah aku explore Legoland. Dah bayar mahal-mahal kan. Takkanlah nak masuk sekejap. Hehehe.. Banyak juga permainan yang ada tapi kebanyakannya sesuai untuk kanak-kanak. 

Ada insiden yang  berlaku masa aku naik 1 permainan. Masa tu, aku naik bot yang lalu atas air. Boleh pula, bot tu sangkut di atas lebih kurang 10-15 minit. 

Takut weh. Adakah aku yang terlalu berat yang menyebabkan bot tak dapat nak turun? 

Lama juga tunggu juruteknik untuk tengok dan baiki apa yang patut. Bila semua dah baiki, barulah dapat turun. Habis basah baju aku kena percikan air. 

Inilah permainan yang aku maksudkan. Bot yang aku naik, sangkut di pintu nak keluar. 

Pada hari terakhir adalah hari menjejak kasih. Apa taknya, ayah aku bercadang nak jumpa kawan semasa belajar di ITM yang dah lama tak jumpa. Lepas jumpa kawan ayah aku, aku pun berjejak kasih dengan kawan belajar di ITM. 

Dari Johor Bahru ke Taman Johor Jaya untuk berjumpa kawan aku. Kali terakhir kami jumpa pada tahun 1996, 20 tahun tak jumpa. Rindu sangat. Kebetulan pula hari masa aku sampai tu, adalah harijadi anak kawan aku. Minta maaf aku tak sempat nak beli hadiah. Lain kali ya. 


Inilah kawan aku yang dah lama tak jumpa. Nampak aku ni macam besar bagak.

Sempat juga kawan aku sediakan lontong dan pulut kuning dengan rendang ayam. Terasa sambutan hari raya pula. Sedap!  Aku siap bertambah makan. Bukan selalu dapat peluang macam ni. 

Dari rumah kawan aku, sempat singgah ke JPO. Nak tengok apa yang istimewa di sana. Dah alang-alang sampai Johor, takkan tak singgah sekejap. Memang banyak kedai yang menjual barang berjenama. Aku sekadar tengok je. Nak beli pun, tak ada yang menarik dan ditambah dengan kedudukan kewangan yang tak mengizinkan. 

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan kami selamat sampai di rumah. Katanya nak buat lagi trip pandu sendiri lepas ni. Destinasinya belum tahu lagi. Ada cadangan tak? 

Untuk cerita trip India dan Perth, aku akan cuba untuk mulakan. Dah buat draf tapi bersabarlah ya. 

p/s: azam untuk tahun 2016 ada yang dah tercapai? 

Monday, November 7, 2016

Shanghai Fridge Magnet Giveaway By Jari Manis & Scdha Sein Travel




Assalamualaikum semua. 

Aku jarang masuk GA sebab sepanjang hidup aku, aku memang tak pernah dapat punyalah. Kali ini aku nak cuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki boleh dapat kan? (Wink wink kat JM dengan SS.) 

Senang sahaja syaratnya. Klik kat banner dan gambar atas ni. Nanti akan diterangkan secara jelas syarat-syaratnya. 

Kali ini aku nak tag my dear friend Shirven. Harap-harap dia tak marahlah kalau aku tag dia. Kasihan kau makcik. Selalu kau jadi mangsa aku. 

Ok, good luck semua. Gambatte! 

p/s: boleh tambah koleksi FM ni kalau dapat. 

Monday, October 17, 2016

Cuti untuk tahun 2017


Dah boleh plan cuti-cuti untuk tahun 2017. 

p/s: nak ke mana lagi ya? 

Monday, October 10, 2016

Perth & Western Australia - preview

Cuti panjang baru-baru sempena Hari Malaysia dengan Raya Haji, aku berdua dengan kawan aku telah memanjangkan kaki ke Perth. Jangan tak tahu, ramainya orang Malaysia di sana. Kebetulan masa tu cuti sekolah ke mana aku pergi mesti jumpa. Aku siap jumpa cikgu yang pernah mengajar Bahasa Malaysia masa aku darjah 3. Aduhai! 

Alhamdulillah sepanjang berada di sana, semuanya berjalan dengan lancar. Orang di Perth sangat peramah dan banyak membantu. Berbeza sangat suasana di Melbourne. Ikutkan hati, aku nak pergi lagi ke Perth kalau ada peluang. 


Kami juga telah sewa kereta dan tak sangka kami telah memandu lebih daripada 1,200km. Perrggh macam tak percaya je. Dahlah aku ni jarang sangat bawa kereta jarak jauh.


Tak perlu aku nak cerita panjang, biarlah aku kongsi gambar-gambar di sana. 



Hari Pertama


E Shed Market. 
Tempat orang Malaysia shopping cenderamata. 

Hari Kedua

Carversham Wildlife Park. 
Di sinilah aku jumpa cikgu aku. 

Hari Ketiga 

Bandar Albany. 


Albany Wind Farm. 


The Gap & Natural Bridge 

Hari Keempat 

Cape Leeuwin Lighthouse
Kecewa tak dapat naik rumah api sebab sedang ubahsuai. 


Busselton Jetty. 

Hari Kelima

Araluen Botanic Park. 
Seronok tengok bunga tulips. 


The Margaret River Chocolate Company. 

Hari Keenam

The Pinnacles. 

Lancelin Sand Dunes. 

Hari Ketujuh (aktiviti shopping di Perth)

Fremantle Market

Hari Kelapan

Stirling Garden. 

Belakang tu nampak Bell Tower. 

Keseluruhan trip? Aku puas hati walaupun banyak juga tempat yang tak dapat pergi. Masa aku di sana adalah musim bunga, pukul 6 petang dah gelap jadi aku perlu gerak cepat dan sampai ke destinasi. Masa memang mencemburui aku. Cewaah!  

Ada ketika masa kawan aku memandu, tiba-tiba ada kangaroo berhenti tengah-tengah jalan. Kami berhentikan kereta sampai kangaroo pergi. Bila ingat balik seram juga sebab masa tu waktu gelap dan berada di highway yang mana kiri kanan penuh dengan hutan. 

Bila aku nak mula cerita trip kali ni, aku tak berani nak jamin. Trip ke India belum mula lagi. Dahlah dua-dua trip ni ambil masa panjang. Apa yang mampu aku katakan, sabarlah ya. 

p/s: biar lambat asalkan ada. 

Sunday, October 9, 2016

Boracay - part 4

Assalamaualaikum semua. 


Rasa tak sabar nak habiskan cerita trip di Boracay. Asyik tangguh..tangguh sahaja. Bila nak sambung balik tak tahulah. 

Hari terakhir di Boracay, tiada apa-apa aktiviti menarik nak buat. Sementara tunggu van datang ambil pukul 9.30 pagi, sempat lagi jalan-jalan depan hotel. Ayah pula nak cari baju mandi dan kebetulan ada duit sikit, bolehlah belanja untuk ayah. 

Masa nak bayar, aku dengan yakin duit memang cukup tapi bila tengok balik alamak duit tak cukup. Uish malunya!! Siap cakap nak bayar duit RM tapi taukeh kedai tu tak nak terima. Bayangkan harga baju dalam PHP500, aku cuma dapat bayar PHP450. Nasib baik dia terima. 

Masa nak check out, dapat balik duit deposit PHP2,000 yang dibayar masa mula-mula sampai. Fuuh dapatlah aku bernafas balik. Jangan lupa, masa di airport sila sediakan duit untuk bayar cukai airport. Jangan nak belanja kesemuanya, kena simpan tau. 

Masa van ambil kami, kebetulan dapat naik sekali dengan pasangan dari Malaysia yang sama-sama sampai dulu. Sempatlah sembang apa yang mereka buat sepanjang berada di Boracay. 

Sampai di jeti, aku sempat lagi beli kuih tempatan Boracay. Sekali pandang macam biskut azan je. Rasanya lemak manis dan sedap dimakan dengan air kopi. 

Jangan lupa sediakan tips sedikit kepada yang tolong angkat beg. Nampak je beg aku merah besar tu, cepat-cepat mereka tolong angkat. Memanglah memudahkan kerja kita tapi mana yang ada percuma. 

Masa nak bayar tips tu, boleh pula aku tak ada wang kecil. Aduhai apalah nasib aku ini. Nasib baik, pasangan dari Malaysia tu sudi membantu. Sempatlah mereka bagi PHP20 untuk duit tips. Terima kasih ya adik. 

Sampai di airport sebelum ke kaunter imigresen, aku perasan bayaran cukai aiport adalah sebanyak PHP700 seorang. Alamak aku salah percaturan. Aku ingat dalam PHP500 seorang. Periksa balik duit yang ada memang tak cukup. tak salah aku, aku ada dalam PHP1,600.

Ayah dah mula bising-bising. 

Aku stress tiba-tiba. 

Aku bincang dengan adik aku, macamana nak bayar duit cukai airport ni. Duit tak cukup. Aku pandang belakang, aku nampak pasangan tadi. 

Alamak kena minta lagi duitlah nampaknya. Aduh malunya. 

Aku dengan adik aku, pergi cari pasangan tadi. Muka dah merah padam sebab malu nak minta duit lagi. 

"Minta maaf banyak-banyak ya adik. Akak tak cukup duit nak bayar cukai airport. Akak bayar balik dengan RM. Boleh ya?" 

Nasib baik mereka sudi membantu. Terharu aku dibuatnya. Rasa nak menangis pun ada. Terima kasih banyak-banyak. 

Kalau mereka tak ada, memang aku mati kutu dibuatnya. Kalau ada kedai pajak gadai, rasa nak gadai apa yang ada. Macamlah aku banyak harta nak bawa. Setakat kasut buruk dan beg penuh baju kotor, memanglah ada. Sanggup ke mereka terima? Hahaha!!! 

Alhamdulillah sepanjang perjalanan ke KLIA2, berjalan dengan lancar. Inilah pengalaman trip yang tak akan lupa sampai bila-bila dan jadikan ia sebagai iktibar. Jangan salah percaturan lagi. 

Kepada pasangan tersebut yang telah membantu kami di Boracay, terima kasih banyak-banyak aku ucapkan. 

p/s: kadang-kadang ada manis, kadang-kadang ada pahit. 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails