Alamak lamanya aku nak sambung balik cerita trip Surabaya-Yogyakarta kali ini. Ini pun aku cuba nak ingat kembali sebab dah berbulan-bulan rasanya baru nak update. Jangan marah ya sebab tunggu lama sangat untuk tahu sambungannya.
Destinasi berikutnya kami singgah sebentar ke Kedai Ole-ole Harum Manis untuk beli sedikit buah tangan. Aku tak tahu nak beli apa, aku cuma beli beberapa bungkus kerepek pisang salai dan kerepek epal. Nak beli lagi tapi tengok barang yang ada tak berapa menarik. Selesai membeli buah tangan, teruskan perjalanan ke Gunung Bromo.
Jauh juga nak ke sana jadi kami berhenti dan berehat di R&R. Di sini kami mengambil kesempatan untuk solat, makan malam dan rehat sekejap. Rasanya aku tak dapat nak tidur sangat mungkin sebab rasa tidak selesa. Ditambah pula ada sahaja topik nak disembang dengan JM sampaikan Pakji tegur kami "Ingatkan dah tidur rupanya belum lagi"
Aku tak ingat pukul berapa, Pakji terus bawa kami ke Gunung Bromo. Rupa-rupanya Pakji tidak bawa kami terus ke puncak Gunung Bromo sebab keadaan kereta yang tak mengizinkan. Ia memerlukan kereta yang berkuasa tinggi seperti 4 wheel drive untuk teruskan perjalanan.
Kami dimaklumkan bahawa untuk meneruskan perjalanan, nanti ada pemandu lain akan bawa kami. Jadi kami tunggu dalam kereta sampai mereka datang. Katanya dalam pukul 3 pagi baru bergerak ke puncak Gunung Bromo. Sementara menunggu dalam kereta dan ditambah pula keadaan pada masa itu sangat sejuk, tak dapat nak bayangkan bagaimana pula bila sampai ke puncak nanti.
Lebih kurang pukul 3 pagi, tingkap kereta kami diketuk. Rupa-rupanya pemandu lain sudah siap sedia nak bawa aku dan JM untuk ke puncak. Oleh sebab pada masa itu sangat gelap, aku tak tahu apa yang berlaku di luar dan tahu-tahu pemandu tersebut berhenti dan beritahu kena jalan sedikit ke kawasan untuk melihat matahari terbit. Dia juga beritahu yang dia akan tunggu kami di kenderaan bila selesai tengok matahari terbit.
Nak jalan ke kawasan melihat matahari terbit, penat juga rasanya. JM suruh aku naik motorsikal yang memang tersedia menunggu untuk bawa penumpang. Aku pun naiklah motorsikal tapi bila sampai boleh pula duit aku tak cukup nak bayar tambang. Aduh malunya. Duit aku sebenarnya ada pada JM. Aku pesan kat pemandu motorsikal tu, duit aku kat kawan aku. Apa lagi, pemandu motorsikal patah balik terus cari JM dan bawa dia sekali. Asalnya cuma aku je yang naik motorsikal tapi nampak gaya JM pun kena naik juga. Dah nak buat macamana, duit tak cukup. Aduh kena bayar tambang untuk 2 orang. Hahaha...
Sampai di kawasan melihat matahari terbit, orang dah ramai. Aku yang tak berapa tinggi dapatlah duduk di belakang. Bila matahari terbit, aku memang tak dapat nak tengok apa-apa. Nampak kepala orang sahaja. Frust juga sebenarnya. Datang jauh-jauh tapi tak nampak apa-apa. Dahlah sejuk sangat masa tu. Kalau cakap, memang berasap mulut dibuatnya. Jakun kejap.
Dalam pukul 6 pagi, kami beransur balik. Singgah sekejap beli pisang goreng panas dan Fidge Magnet. Perrghh best layan makan pisang goreng waktu sejuk-sejuk macam ni. Lepas tu kami jalan kaki menuju ke kenderaan.
Bila turun dari puncak Gunung Bromo barulah aku tahu keadaan sebenarnya. Rupa-rupanya kami telah dibawa untuk mendaki gunung dan nasib baik aku tak tahu dan tak nampak. Kalau aku tahu dari awal, memang takut!!!! Betul-betul aku tak sangka begitu tinggi dan curam keadaan masa itu.
Sempat singgah beberapa kawasan di bawah Gunung Bromo tapi apa yang dapat aku katakan, memang cantik kawasannya.
Lebih kurang pukul 10 pagi, kami dibawa ke tempat kereta Pakji di bawah. Masa tu aku memang lapar dan dahaga terus dibawa ke kedai makan untuk sarapan pagi. Selesai makan pagi, Pakji terus bawa ke R&R untuk bersihkan diri dan solat. Apa taknya dari malam semalam belum mandi lagi. Memang tak selesa badan dibuatnya.
Seterusnya Pakji terus bawa ke Surabaya sebabnya pada sebelah petang pula kami akan naik keretapi ke Yogyakarta. Di Surabaya, Mr. Wong bawa kami jalan-jalan sekitar Surabaya sebelum ke stesen keretapi. Sempat lagi makan tengahari dulu takut-takut nanti lapar pula dalam keretapi.
Patung Sura & Buaya. Lokasi wajib dilawati bila sampai di Surabaya.
Keretapi ke Yogyakarta bergerak pukul 5.30 petang dan mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai. Ingatkan bolehlah tidur sepanjang perjalanan tapi entah macamana rasa panas sangat. Agaknya pendingin hawa tak berfungsi pada masa itu dan kebetulan pula pakai baju agak tebal. Aduh berpeluh 1 badan dibuatnya. Alhamdulillah sampai juga ke Yogyakarta lebih kurang pukul 10.30 malam.
Kami menginap di Hotel Neo Malioboro yang terletak berdekatan dengan stesen keretapi Yogyakarta. Cuma jalan kaki sedikit dan seberang jalan dari stesen keretapi dah sampai pun ke destinasinya. Bila nak check in, aku terkejut apabila kami disambut oleh penyambut tetamu yang berambut putih.
Penyambut tetamu yang berambut putih.
Masuk bilik, katil dengan tilam yang empuk sedia menanti. Tak sabar rasanya nak tidur. Terasa penat sangat bila dah sampai. Apa kata cerita di Yogyakarta akan bersambung jadi tunggu ya.
p/s: kisah lebih menarik di Yogyakarta akan menunggu.