Sambung lagi cerita di Bangkok. Seawal 6.20 pagi dah di lobi hotel sebab nak ke Damnoen Saduak Floating Market. Urusan pakej ini aku dah lama uruskan sebelum aku bertolak ke Bangkok lagi dan harga untuk seorang ialah RM40.
Perjalanan mengambil masa 2 jam dari Bangkok untuk sampai ke sana. Sebelum sampai ke sana, van yang membawa kami kena ambil juga orang lain. Ramai juga yang bersama-sama naik 1 van dengan kami. Ada yang dari Singapura, India dan Switzerland.
Untuk pengetahuan semua, floating market ni buka hanya waktu pagi sampai pukul 11 pagi dan sebab itulah kami terpaksa keluar awal. Untuk sampai ke kawasan floating market pula, kita kena naik bot dulu. Sepanjang perjalanan ke kawasan floating market, bot yang membawa kami melalui kawasan perumahan dan sempat juga aku nampak ada orang sedang cuci pinggan masa tu.
Siap sedia naik bot. Takut sebenarnya.
Melalui kawasan perumahan.
Ok, dah sampai kawasan floating market. Sila turun ya.
Di kawasan floating market ni dah ada bangunan tetap tempat jual beli barang. Kita boleh membeli barang-barang di sini tapi kalau nak rasa jual beli atas sampan, kena naik sampan lain pula. Yang itu kena bayar 150 baht dan bolehlah kita merasai sendiri pengalaman jual beli atas sampan. Baru mencabar namanya. Aku tak ambil pun sebab takut, manalah tahu dibuatnya aku jatuh masuk sungai. Hehehe..
Nampak tak ada orang dayungkan sampan tu?
Di sini aku tak ada apa-apa yang menarik. Barang yang dijual pun lebih kurang sama macam di Chatuchak Weekend Market tapi kan..aku terbeli jam dinding besar dengan harga 1,500 baht. Padan muka aku. Aku pun tak tahu kenapa aku beli. Geram kot dengan jam dapur di rumah asyik tukar bateri sahaja. Bila ada di sana, jangan lupa beli gula-gula kacang untuk dijadikan ole-ole dibawa pulang. Sedap sangat. Menyesal aku tak beli banyak.
Pakcik ini lah yang jual gula-gula kacang sedap tu. Harganya 100 baht untuk 3 bungkus.
Pukul 11 pagi kumpul balik dan menuju ke Perkampungan Gajah. Ini adalah sebahagian pakej perjalanan ke sana. Tak ada sesiapa pun dalam kumpulan kami yang berminat nak naik gajah tu. Kalau nak naik, bayarlah 150 baht tapi aku ambil gambar gajah pun jadilah. Buat syarat dah sampai.
Siapa nak naik gajah?
Selamat datang ke Perkampungan Gajah.
Seterusnya kami dibawa ke pusat kraftangan. Di sini ditunjukkan cara-cara mereka mengukir kraftangan. Memang halus kerja mereka.
Hasil kerja mereka. Sangat terperinci. Kagum aku.
Gajah ni pun. Macam betul-betul kan?
Di sini jangan lupa untuk mencuba roti canai Thailand. Kalau di sini roti canainya dimakan bersama-sama kuah kari atau kuah dal tapi di sana, dijadikan sebagai pencuci mulut. Apa taknya roti canai mereka dimakan dengan pisang, coklat, gula atau susu pekat manis.
Roti canai dengan pisang dan coklat. Harga 50 baht.
Sama sahaja cara buat roti canai sini, tebar dulu.
Pukul 12 tengahari, van bawa kami balik ke hotel dan lebih kurang pukul 2 petang sampailah kami di hotel.
Inilah tour guide kami, namanya Po yang fasih berbahasa Inggeris. Handsome pula tu.
Next trip ke Siam Ocean World dan 4D Theatre yang terletak di Siam Paragon. Tiket ke sana aku dah beli melalui Streatdeal.my dengan harga RM55. Untuk ke sana, senang sahaja. Dari BTS Asok terus ke BTS Siam tapi aku nak makan dulu. Lapar ok. Jadi aku mengambil keputusan untuk makan di MBK Centre dan untuk ke sana kena turun di BTS National Stadium.
Konsep MBK ini sekali pandang macam BB Plaza tapi lagi besar! Banyak kedai jual macam-macam tapi tak beli apa-apa pun. Di MBK juga, aku dapat tahu ada kedai makan halal yang terletak di tingkat 5. Nama kedai tu ialah Yana Restaurant.
Tomyam seafood yang sedap.
Nasi goreng udang pun sedap.
Memang aku berpuas hati makan di sini. Harganya agak mahal. Bayangkan makan untuk 2 orang, harga dalam 630 baht. Yang penting sedap! Recommended untuk makan di sini dan jangan lupa untuk mencuba tomyam seafood.
Perut dah kenyang, kena jalan lagi untuk ke Siam Ocean World di Siam Paragon. Tak jauh pun dari MBK, jalan sekitar 10-20 minit dah sampai. Siam Ocean World ini lebih kurang macam Aquaria di KLCC (aku sebenarnya belum sampai ke sana lagi). Dikatakan akuarium bawah tanah paling besar di Asia Tenggara dengan memiliki lebih daripada 30,000 spesis binatang. Memang besar pun dan paling aku kagum bila masuk terowong akuarium. Perrghh dasyat!
Besarnya ikan dia.
Lepas tu, ke 4D theater tengok cerita kartun selama 20 minit dan pada masa sama dapat merasai aksi-aksi dalam cerita tu. Sesuai untuk bawa anak-anak tengok sekali. Hadi dan Sara mesti suka tengok nanti.
Dah tak ada apa-apa aktiviti lagi, terus balik ke hotel. Esok dah nak balik Malaysia. Rasa kejap je ada di Bangkok.
p/s: sambung hari terakhir di Bangkok.