Thursday, December 31, 2015

Selamat tinggal tahun 2015

Pada hari terakhir tahun 2015 ada sesiapa yang masih bekerja? Sila angkat tangan. Ya..aku sebenarnya kerja hari ini. Badan je kat sini tapi hati dah melayang ke tempat lain. Dahlah kat opis aku ni ramai yang bercuti, masuk kerja tadi nampak kosong je. 


Untuk tahun 2016 yang bakal menjelma tak lama lagi ini, aku harap semuanya berjalan dengan lancar dan diberi kesihatan yang baik. Semoga untuk tahun 2016 adalah tahun lebih baik daripada sebelum ini. 


Sorotan tahun 2015.

Melbourne, Australia. 

USS, Singapore. 

Ho Chi Minh, Vietnam. 

Yogyakarta, Indonesia. 

Bangkok, Thailand. 

p/s: untuk tahun 2016, sama-sama kita tunggu destinasi seterusnya.

Sunday, December 13, 2015

Piala Malaysia 2015



Piala Malaysia 2015 menjadi milik Selangor dan ini adalah kemenangan kali ke-33. Good job! Hari esok diisytiharkan cuti umum untuk warga Selangor. Yeaaahh!!!

p/s: bestnya dapat cuti. 

Saturday, December 12, 2015

Surabaya-Yogyakarta (part 1)

Assalamualaikum semua. 

Agak lama juga aku peram cerita trip Surabaya-Yogyakarta pada bulan Oktober lalu. Trip ni dah 2 bulan berlalu baru sekarang aku nak kemaskini. Nak karang cerita kali ini kena ada mood dan feel. Bukan itu sahaja, nak kena ingat balik sepanjang perjalanan di sana. Faham-fahamlah umur dah tak muda lagi. Banyak benda yang dah tak berapa nak ingat. Hehehe..

Sebelum aku nak mula cerita, aku ingin berterima kasih banyak-banyak kepada Jari Manis (JM) yang sudi menjadi travel partner kali ini. Ini adalah kali pertama aku jalan bersama-sama dengan JM. Siapalah aku ni nak dibandingkan dengan JM yang glamour itu. 

Untuk pengetahuan semua, urusan beli tiket punyalah lama, tak salah aku lebih dari setahun aku membelinya. Beberapa hari sebelum nak bertolak, aku kena demam dan batuk yang agak teruk dan ditambah pula bebanan kerja yang semakin banyak. 

Aku hampir-hampir nak batalkan trip aku ke Surabaya-Yogyakarta. Aku terus tak sampai hati bila mengenangkan JM hubungi dan ingatkan aku pasal trip itu. Bersungguh-sungguh JM aturkan itinerary lagilah buatkan aku terus terharu sangat. I'm so touched.

Pada hari bertolak, itulah kali pertama aku bertemu JM di KLIA 2. Alahai comel kecil manis sahaja si JM. Memang jauh berbeza dengan aku yang besar gedabak. Kali pertama jumpa JM, memanglah malu-malu kucing. Apa taknya masa tu ayah ada. Takkanlah aku nak beritahu ayah yang aku kali pertama jumpa JM. Kalau dia tahu, mesti tak lepaskan aku pergi. 


Inilah Jari Manis merangkap travel partner. 


Alamak panjangnya mukadimah. Ok back to our trip. 

Urusan check in dan bagasi berjalan dengan lancar walaupun masa tu orang agak ramai. Dalam pukul 6.45 pagi penerbangan bertolak ke Surabaya dan sampai di sana sekitar pukul 8.30 pagi. Sampai di lapangan terbang Surabaya, kami disambut oleh Mr. Wong. Mr. Wong adalah warganegara Malaysia yang telah lama menetap di Surabaya. Sekali dengar Mr. Wong cakap, masih kedengaran slang Penang, Sarawak bercampur Bahasa Indonesia. 

Mr. Wong terus bawa kami berjumpa dengan Pakji yang menjadi tour guide sepanjang berada di Surabaya. Tanpa berlengah masa lagi, Pakji terus bawa kami ke Kota Malang. Destinasi pertama kami adalah di Lumpur Lapindo. Sedikit maklumat berkenaan Lumpur Lapindo, peristiwa berlakunya bencana penyemburan lumpur panas ke seluruh kawasan pada tahun 2006 yang mengakibatkan ramai yang terkorban. 


Kesan lumpur. Nampak bahagian atap sahaja yang tinggal. 

Yang tinggal hanyalah padang lumpur. 

Kami tak lama berada di sini sebab masih banyak tempat nak pergi dan ditambah pula dengan keadaan yang sangat panas. Tak tahan akak wooi. Kemudian berhenti sebentar untuk makan tengahari. Dah sampai waktu makan tengahari patutlah perut meragam minta diisi. 


Air limau suam dengan pai susu. 

Set nasi dengan ayam goreng. 

Alang-alang dah berhenti makan, terus solat sahaja di surau yang disediakan. Perjalanan diteruskan lagi dan berhenti di Masjid Ajaib di Tuben. Mengikut sejarah yang disampaikan, masjid ini dibina secara tiba-tiba tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Pelik kan? 




Masjid Ajaib.

Di Masjid Ajaib pun tak singgah lama. Seterusnya kami ke Pantai Goa Cina. Nak sampai ke sini, punyalah mencabar betul dengan jalan yang bersimpang-siur. Bila sampai sahaja, aku rasa cabaran yang dilalui memang berbaloi. Memang cantik dan pemandangan pantai yang belum dicemar lagi. 



Pantai Goa Cina. 

Sangat sesuai nak layan jiwang di sini. Sambil menikmati pemandangan pantai dengan tiupan angin menderu. Best wooo!! Sempat lagi menikmati juadah makan malam ikan bakar yang simple tapi segar dan enak. Sampai ke hari ini, aku tak boleh lupa ikan bakar di Pantai Goa Cina. 

Ikan bakar cicah dengan sambal kicap. Perggh! 

Waah perut sudah kenyang, mata pula dah mengantuk dan badan minta untuk tidur. Terus ke Hotel De Daunan Boutique untuk bermalam di sana. Seharian berjalan jauh, memang penat rasanya. 

Kita sambung lagi pada hari kedua pula. 

p/s: jauh lagi nak habis cerita ini. sabar ya. 

Friday, December 11, 2015

Big Bad Wolf 2015

Selamat tengahari semua!

Sempena hari ini cuti awam untuk pekerja di Selangor (sengaja nak kasi Jari Manis cemburu sebab tak kerja di Selangor), aku berkesempatan ke Big Bad Wolf yang sudah menjadi acara tahunan semenjak tahun 2012 lagi.

Untuk tahun ini, aku perasan pilihan buku lebih banyak berbanding tahun sebelum ini terutamanya buku kanak-kanak. Aku siap borong buku kanak-kanak untuk anak saudara aku. Kalau ikutkan hati nak borong semua tapi macamlah aku banyak duit kan? Hehehe...Aku boleh berada di sana berjam-jam sambil menelek buku. Semakin lama aku di sana, semakin banyaklah buku yang nak dibeli. Satu lagi yang aku perasan, harga buku pun naik sedikit dari sebelum ini. Nak buat macamana, semua benda naik harga. 

Mari aku nak kongsi satu perkara menarik tentang aku. Di antara perkara yang paling aku suka selain daripada melancong, aku suka buku. Masa aku kecil dulu, mak ayah selalu hantar aku ke perpustakaan untuk galakkan membaca. I have to admit that I'm totally nerd. Sampaikan buku manual pun aku baca tau! 

Kepada yang belum berkesempatan lagi ke Big Bad Wolf, ia dibuka sehingga 14 Disember 2015 di MIECC sebelah dengan Mines Shopping Mall. Disediakan juga bakul beroda untuk membawa buku yang dipilih. Bagi aku, alang-alang sampai di sana, bawa sahaja beg beroda sendiri. Senang nak bawa terus balik ke rumah. Kalau beli buku sedikit boleh bawa sahaja dalam beg plastik. Kalau beli buku banyak mesti berat nak bawa tu. Betul tak? 

Jangan lupa simpan resit bukti pembelian untuk tuntut pelepasan cukai pendapatan tahun hadapan. Penting tu! Nak tahu hasil tangkapan aku kali ini? Jeng jeng.....


p/s: selamat membaca!

Thursday, December 3, 2015

Airbnb

Untuk trip akan datang, aku bercadang nak pakai perkhidmatan Airbnb. Tengok harga dan perkhidmatan ditawarkan adalah lebih murah berbanding kalau kita menginap di hotel. Aku belum pernah pakai perkhidmatan Airbnb. Ada sesiapa pernah pakai perkhidmatan Airbnb? Kalau ada, mungkin boleh kongsi bersama-sama dengan aku pasal pengalaman korang. 

Apa yang dapat aku simpulkan di sini, kita akan tinggal bersama-sama dengan tuan rumah dan pada masa yang sama boleh menggunakan peralatan yang ada seperti mesin basuh, dapur dan sebagainya. Tak lupa juga segala arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh tuan rumah kena ikut sepanjang kita menetap di rumah mereka. 

Kalau nak tahu lebih lanjut berkenaan Airbnb, boleh rujuk website mereka dengan klik di sini. Lebih kurang 190 buah negara terlibat dalam perkhidmatan ini. Jadi tak salah kalau nak cuba. 

p/s: alternatif lain untuk menginap. 









Saturday, November 28, 2015

Singapura- short trip (part 2)

Sambung lagi cerita trip ke Singapura. Pada hari kedua kami bercadang nak ke Mustafa Centre dan untuk pengetahuan semua Mustafa Centre dibuka 24 jam. Istimewa di Mustafa Centre ini macam-macam barang ada dijual sini dari barang dapur, cenderamata, barang elektrik, minyak wangi dan banyak lagi. Dari segi harga, memang murah. Apa lagi, memboronglah aku di sana. Untuk ke sana, aku naik bas dari hotel. Sekali lagi aku memang lupa nak ambil bas nombor berapa. 

Study dulu nak ambil bas mana. 

Kebetulan pada pagi tu hujan turun dengan lebat dan sempat lagi aku feeling-feeling syahdu nak tinggalkan Singapura dalam bas. Punyalah aku layan syahdu, aku boleh terlepas nak turun kat mana. Nasib baik terlepas 1 perhentian. Kalau tak, jenuh juga aku nak menapak ke Mustafa Centre. Hahaha..


Dah sampai Mustafa Centre. 

Punyalah besar Mustafa Centre sampai ada 5 tingkat semuanya. Setiap tingkat tu ada dijual barang tertentu. Contohnya, tingkat 1 adalah bahagian barang elektrik, minyak wangi dan kosmetik. Kalau tak salah aku, untuk beli barang cenderamata ada di tingkat 2. Pilih sahaja mana yang berkenan dan jangan lupa sediakan duitnya. 

Ada cenderamata dari London? 

Tak boleh lama-lama sangat di Mustafa Centre sebab nak jumpa kawan lama dalam pukul 11.30 pagi. Jam dah pukul 10 pagi dan barang belum kemas lagi. Kalau balik ke hotel naik bas memang tak sempatlah jawabnya. Apa lagi terus tahan teksi. Dapat pula pemandu teksi yang peramah. Macam-macam dia cerita antaranya pengalaman dia naik teksi di Kuala Lumpur selalu kena tipu. Malu  aku dengar, apa taknya naik teksi di Singapura dengan Kuala Lumpur memang jauh beza. Sampai di hotel, terus kemas barang dan check out. 

Lebih kurang pukul 11.30 pagi orang yang dinanti telah tiba. Kawan yang aku kenal melalui MIRC sekitar tahun 1999-2000. Jangan tak tahu, aku pernah jatuh cinta dengan seseorang melalui MIRC. Punyalah hebat penangan cinta MIRC dulu ni tapi sayang cinta aku tak kesampaian. Teringat lagu Azie, pelamin anganku musnah. Uwwaaa!! 

Kalau dulu nak berkenalan mesti tanya, ASL (Age, Sex, Location). Dulu aku pakai nick "airkosongjer". Aku pun tak tahu kenapa aku pakai nick tu. Agaknya aku suka minum air kosong terus ambil nick tu. Sampai sekarang rasanya tak ramai kawan yang masih keep in touch kalau ada pun dalam 5-10 orang. 

Berbalik kepada kawan aku tadi, aku panggil dia Kak Mon dan kali terakhir jumpa di KLCC pada tahun 2000. Kiranya perjumpaan kali ini adalah perjumpaan jejak kasih. Lama tu, ada dalam 15 tahun tak jumpa. 

Aku dengan Kak Mon. Comel kan? 

Kak Mon terus bawa kami ke area Bedok untuk makan masakan Cina Muslim. Waah my favourite. Kak Mon macam tahu sahaja aku suka makan masakan cina. Kak Mon beritahu lagi sekarang dah senang nak cari makanan halal banding dulu. Baguslah sebab kalau ada kedai makanan halal, pasti ada yang datang. Pasaran untuk makanan halal memang ada. 


I love food!!

Makan memang sampai nak pecah perut rasanya. Apa taknya makan dim sum pelbagai jenis, nasi ayam dan wantan mee. Memang sedap. Aku tak boleh lupa makan dim sum telur masin. Perrghh terangkat aku dibuatnya. 

Lepas makan, sempat lagi beli churros. Katanya di situlah nak dapatkan churros terbaik di Singapura. Orang siap beratur nak dapatkan churros. Bayangkan masa sampai tu, kedai tu baru sahaja buka dah ramai orang beratur panjang. Hebat kan? 

Nak pilih churros mana satu ni Kak Mon? 

Seterusnya singgah ke Changi City Point Mall untuk minum kopi dan makan churros yang dbeli tadi. Ini kali pertama aku makan dan terus jatuh cinta. Fall in love at the first bite. Patutlah kat sini dah jadi viral, banyak cerita pasal churros. 

Inilah rupanya churros yang sohor itu. 

Sedap tak terkata. Makan sampai mulut muncung ke depan. 

Makan pun sudah, minum pun sudah. Apa lagi aku nak cakap? Rasa terharu sangat layanan yang diberi oleh Kak Mon. Kalau Kak Mon ke Malaysia, jangan lupa beritahu ya. Boleh aku bawa jalan-jalan kat sini. 

Lepas tu Kak Mon terus bawa kami ke Changi Airport sebab nak kejar flight pukul 5.15 petang. Tak tahu bila lagi dapat jumpa balik. Apa-apa pun, terima kasih banyak-banyak Kak Mon. Jasamu sentiasa dikenang. Muaah sikt! 

Alhamdulillah aku selamat sampai ke KLIA 2. Aku rasa ini adalah trip pendek dan terakhir untuk tahun 2015. Next trip insyaAllah pada tahun 2016. 

p/s: menghitung hari untuk next trip. 

Friday, November 27, 2015

Projek tahun 2016

Ada sesiapa dah sambar tiket promosi Air Asia baru-baru ini? Aku setakat tengok je lah sambil-sambil tu pasang angan-angan nak pergi tempat idaman kalbu. 

Tapi sebenarnya
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.


Dalam diam-diam sebenarnya dah ada 4 tempat nak dilawati tahun hadapan. Amik kau! Tamak sangat. 

Ke mana destinasinya? Cuba teka dulu. Ada siapa nak jawab? Nak bagi hint dulu ke? 

Tak sampai hati pula rasanya nak buat korang tertanya-tanya kan. Hintnya adalah:

1. Dalam Malaysia. Makcik-makcik sukalah ke sini sebab nak beli pyrex, corelle dan seangkatan dengannya. 

2. Siapa yang tahu kisah beca aku, mesti dah tahu jawapannya. 

3. Lokasi ini memang menjadi idaman dan pujaan hati aku dari dulu lagi. Di sinilah kisah cinta unggul Shah Jahan bersemadi. 

4. Aku nak letak gambar je. Cuba teka. Ihsan gambar dari Google. 



Rasa-rasanya boleh teka tak? Untuk buat lebih menarik dan tertarik, apa kata kalau aku beri hadiah istimewa kepada sesiapa yang berjaya jawab dengan tepat dan pantas. 

Aku akan ambil seorang pemenang istimewa. Pat patnya, siapa cepa dia punya! 

Ada berani?

p/s: nak kena cari tabung besar untuk kumpul duit ni. hehehe...

Sunday, November 22, 2015

Singapura- short trip (part 1)

Baru sekarang aku nak buka cerita trip ke Singapura pada bulan Oktober. Kebetulan ke Singapura nak sambut hari lahir, jumpa kawan lama dan sudah pasti makan-makan. Trip ke Singapura tak lama cuma 2 hari sahaja. Bukan apa, memikirkan duit tukaran RM dengan SGD sangat tinggi, terpaksalah potong bajet. 

Alamak cerita trip Surabaya-Yogyakarta belum mula lagi. Yang itu kena ambil masa lebih skit sebab trip agak panjang. Banyak nak kena ingat balik. Lepas tu pula ada sedikit insiden yang tak diduga berlaku menyebabkan cerita trip tu ditangguh dulu. So semua harap bersabar ya. Jangan risau sabar anda adalah berbaloi. Cewaah! 

Waah panjangnya pengenalan kali ini. 

Berbalik kepada trip ke Singapura, aku dapat tiket penerbangan ke Singapura dengan harga RM285.84 return untuk 2 orang. Aku rasa dah murah dan kebetulan Tigerair ada promosi, apa lagi cepat-cepat aku sambar. Yeaah! 

Sampai je di Changi Airport, terus ambil MRT dan terus ke Hotel 81 Tristar yang terletak dekat dengan Joo Chiat Kompleks. Siapa yang tahu area situ, memang fahamlah. Situ ramai orang Malaysia yang tinggal hotel di situ sebab situ ramai kawasan orang Melayu. Nak cari makanan halal pun senang. Yang best tu, bawah hotel aku tu, ada kedai makan yang buka 24 jam. Indahnya dunia!!! Perut dah lapar, kita makan dulu. Inilah makanan pertama kami di Singapura. 

Nasi ayam penyet (SGD6).


Nasi campur (SGD4.50).

Tak perlulah nak convert kepada RM. Kalau convert, memang mahal tak terkata. Bila dah sampai di tempat orang, tutup mata dan terus bayar. Jangan nak banyak cakap. Makan pun sudah, destinasi seterusnya ke USS. Dari hotel ke USS, cara yang paling senang dan murah adalah menaiki bas. Bas di Singapura memang sangat efisyen. Gerek seh. (alamak dah cakap macam orang Singapura pula) Sayang, aku tak ingat naik bas nombor berapa tapi bas itu akan bawa terus ke Vivo City. 

Lupa aku nak beritahu, sepanjang aku berada di Singapura aku telah membeli kad travel 2 hari di airport. Jadi kalau nak naik bas atau MRT, swipe je kad tu. Lepas kita pulangkan balik kad tu, kita akan dapat balik duit deposit. 

Dah sampai USS. Yahoo!! 

Sempat lagi jumpa kawan lama. Akak rindu tau!  

Oscar.

Cookie Monster.

Kebetulan hari itu USS ditutup awal untuk beri laluan kepada Halloween Night. Selalunya tutup pukul 8 malam tapi hari tu dalam pukul 6 petang dah minta keluar. Pekerja USS pula ramai dah bertukar menjadi zombie. 

Jururawat zombie. Takutnya. 

Keluar dari USS, azab pula nak beratur naik monorel balik ke Vivo City. Punyalah panjang orang beratur mahu 1 jam lebih aku beratur sampai naik lenguh lutut aku dibuatnya. Bila sampai Vivo City, ambil bas dan balik ke hotel. Ingat nak makan lagi tapi dah letih sangat. Nampak katil terus tidur. Hahaha...

Sambung lagi part 2 ok. 

p/s: jumpa kawan zaman Mirc lepas ni. klasik betul! 

Friday, November 13, 2015

Plan bercuti 2016


Kepada yang nak bercuti tapi cuti tahunan terhad, boleh pakai cadangan ini. Siapa kata kita tak boleh bercuti? Apa yang penting, kena pandai merancang dengan baik dan gunakan peluang yang ada sebaik-baiknya. 

Selamat bercuti!

p/s: tunggu cuti tahun depan pula. 

Sunday, October 25, 2015

Happy birthday to me

Tahun ni sambut hari lahir di Singapura. Ini plan last minit sebab itu cuti tak lama. Cuma ambil 2 hari (Sabtu dan Ahad) berada di sana. Sempat juga jumpa kawan lama di sana. Rasa-rasa siapa agaknya kawan lama tu?














Cookie Monster!

Tuesday, October 20, 2015

Bangkok - Day 3

Pada hari ketiga di Bangkok diteruskan ke Damnoen Saduak Floating Market. Urusan booking aku dah buat awal-awal dan bayaran dikenakan adalah sebanyak THB800 seorang. Perjalanan ke sana mengambil masa dalam 2 jam. Macam biasa, bila aku dah masuk kereta, mata terus mengantuk dan apa lagi tidurlah jawabnya. Sedar-sedar sahaja dah sampai. Bertuah betul aku ni. 

Bila dah sampai, jangan lupa untuk mencuba menaiki sampan yang akan mengelilingi seluruh floating market. Takut juga sebenarnya, manalah tahu tiba-tiba sampan terbalik. Dahlah aku ni tak pandai berenang. Fuuh..nasib baik semuanya ok. 

Sini pun sesak juga. Alamak. 

Tour guide aku tengah makan. Hehehe..

Mari pilih topi yang mana suka.  

Durian pun ada.

Sepanjang berada di sana, tiada bau yang kurang menyenangkan. Kagum betul aku dibuatnya. Pendek kata, memang elok terjaga tempatnya. Cuma yang tak bestnya, barang-barang yang dijual sini agak mahal. Aku cuma beli gula-gula kelapa sebagai cenderamata untuk dibawa pulang. 

Memang ada beberapa floating market di Bangkok tapi di Damnoen Saduak adalah yang paling besar. Lagi satu, floating market ini buka sampai tengahari sahaja. Jadi dinasihatkan untuk datang pagi. 

Lebih kurang beberapa jam jalan-jalan sekitar Damnoen Saduak Floating Market, terus kami dibawa ke satu kawasan temple. Aku boleh lupa pula nama dia. Nampak sangat aku dah tua kan? 

Ikutkan plan asal, kami akan dibawa ke Maeklong Train Market tapi masa sampai, tempat tu sedang dalam proses ubahsuai. Sayang betul. Istimewa pasar ini ialah kawasan pasar yang terletak di atas landasan keretapi. Bila keretapi lalu, pasar akan ditutup sekejap. Bila keretapi dah melepasi, cepat je pasar dibuka semula dan aktiviti diteruskan seperti biasa. 

Maeklong Train Market - ehsan google. 

Aku pun bawa hati yang sedikit kecewa dan jalan-jalan sekitar kawasan sambil-sambil tu tengok temple dan patung-patung yang ada di situ. Katanya di situ ada tempat belajar tomoi dan sebab itulah ada banyak patung tomoi. 

Amik kau!

Patung tomoi. 

Seterusnya balik ke hotel tapi aku, adik dan kawan aku berhajat untuk shopping lagi. Apa lagi, terus ke Platinum Mall jawabnya. Sempat lagi keluarkan duit lagi di ATM CIMB Bank. Takut tak cukup duit nak belanja. 

Aku rasa kalau kita keluarkan duit di ATM, boleh dapat Baht lebih lagi berbanding kalau kita tukar Baht di Malaysia. Bayangkan masa aku tukar Baht di Malaysia, aku dapat THB100=RM12.10 tapi bila aku keluar duit di ATM Bangkok, aku boleh dapat THB100=RM11.97. Beza kan?

Sebelah malam, ke MBK untuk makan malam. Kiranya pada malam terakhir di Bangkok nak merasa makan sedap sikit. Kebetulan pula kawan aku tu nak jumpa kawan dia yang bekerja di Bangkok. Mana lagi kalau bukan di Restoran Yana. Aku tak akan lupa tomyam yang dihidangkan di situ. Sampai hari ini, aku masih terasa-rasa kesedapannya. Perrggh!! 

Selepas makan, terus balik ke hotel. Sebelum tidur, kemas beg dulu sebab esok pagi-pagi check out dan balik ke Malaysia. Flight balik pukul 8.40 pagi dan sampai ke KLIA 2 pukul 12.00 tengahari. 

Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar. Kerisauan yang melanda gara-gara bom meletus di Bangkok tidak berlaku lagi sepanjang kami ada di sana. Oh ya, Air Asia ada promosi tiket murah sekarang. Ada sesiapa dah cuba membeli? Aku belum lagi tapi hajat hati ada nak cuba. Hahaha...tangan dah gatal ni. 

p/s: simpan plan untuk tahun depan pula. 

Saturday, October 17, 2015

Bangkok - Day 2

Untuk trip ke Bangkok kali ini, aku telah memilih untuk mencuba naik Malindo Air. Pertama kali aku naik Malindo Air, aku rasa seat dia lebih selesa dan yang best tu boleh layan movie sepanjang berada dalam flight. Bukan itu sahaja disediakan snek dan minuman serta diberi sekali luggage 20kg setiap seorang secara percuma. Aku cerita macam nak promote Malindo Air pula kan? Bukan apa..kalau ada diberi peluang naik Malindo Air, tak salah untuk mencuba. Betul tak?

Pada hari kedua di Bangkok yang kebetulan hari itu adalah hari Ahad, aku mengambil kesempatan untuk ke Chatuchak Market yang hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad. Alang-alang dah sampai, rugilah kalau tak singgah. Dari hotel ke Chatuchak Market, kami mengambil teksi sahaja.

Masa sampai di Chatuchak Market, kedai baru nak buka. Aku jalan-jalan dulu sekitar Chatuchak Market sebelum membuat keputusan untuk membeli. Sebut apa sahaja, pasti ada di Chatuchak Market. Nak cari makanan halal? Tak jadi masalah. Aku tengok dah semakin banyak kedai makanan halal dibuka berbanding kali terakhir aku ke sana dulu. 

Waktu panas memang best bila dapat minum air kelapa yang nyaman. 

Lebih kurang 2 jam berada di Chatuchak Market, terus balik ke hotel. Sempat lagi aku bungkus makanan untuk makanan tengahari siap-siap. Tak banyak tempat yang aku teroka memandangkan keadaan pada masa itu sangat panas dan ditambah pula dengan orang yang semakin ramai. Fuuhh!! Menitik peluh 1 badan dibuatnya, mana boleh tahan woo. Apa lagi, tahan teksi terus balik ke hotel. 

Sebelah petang pula, jalan-jalan sekitar Platinum Mall dan lokasinya tak jauh pun dari hotel. Memandangkan masa nak ke Platinum Mall macam nak hujan, tahan tuk tuk dulu. Saja nak cuba nak naik tuk tuk di Bangkok. 

Platinum Mall ini lebih kurang macam Kenanga Wholesale City tapi lagi besar. Barang murah terutamanya kalau kita beli dengan kuantiti yang banyak. Masa aku ke sana memang aku nak cari baju baby, perrghh aku boleh jadi gila. Rasa nak borong semuanya tapi nak buat macamana bajet tak cukup. Hehehe.. 

Lebih kurang pukul 8 lebih, balik ke hotel. Boleh tahan juga aku berbelanja untuk 1 hari. Adakah cukup aku berbelanja untuk kali ini? Mungkin tidak, mungkin ya. Apa kata, kita sambung dulu ya. 

p/s: shop till you drop!

Saturday, October 10, 2015

Surabaya-Yogyakarta - teaser

Baru balik dari trip Surabaya-Yogyakarta. Hari esoknya masuk kerja, terus pening kepala sebab tak hilang penat lagi. Hehehe.. 

Aku kongsi sedikit gambar dulu sepanjang berada di sana sebelum aku cerita lebih panjang lagi. Ok?






p/s: best trip so far. 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails