Sunday, April 27, 2014

Day 2 - Brunei (part 2)

Mari kita sambung cerita mengenai trip ke Brunei baru-baru ini. Hari tu kita berhenti di mana ya? Minta maaf akak ni dah tua, banyak benda dah tak ingat. Hehehe..

Oh ya, kita berhenti di Empire Hotel & Country Club. Setelah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Belait. Sepanjang perjalanan, aku memang sentiasa perhatikan tanda had laju di jalan. Kalau di lebuhraya memang 100km/j tapi bila masuk kawasan kampung boleh bawa 65km/j. Aduhai susah juga aku nak biasakan diri bawa selaju itu sebab aku selalu bawa kereta 100km/j ke pejabat. Sekejap-sekejap aku tekan brek takut terlajak laju. Manalah tahu silap-silap kena saman. Katanya kalau sekali kena saman, bayar saman masa tu juga. Dahlah aku bawa duit Brunei sikit je, nanti aku nak bayar apa pula? 

Sebelum sampai ke Kuala Belait, aku singgah ke Seria untuk melihat Oil & Gas Discovery Centre dan Billionth Barrel Monument. Entah macamana aku boleh tak jumpa, sedar-sedar je aku rasa lain macam je. Tiba-tiba aku nampak Supa Save shopping mall. Aku cadang untuk masuk mall dan sambil tu boleh tanya lokasi Oil & Gas Discovery Centre dan Billionth Barrel Monument. 

Alang-alang dah sampai, aku sempat beli makanan sedikit buat bekalan. Supa Save ni lebih kurang macam Jaya Grocer. Ikutkan hati aku nak stay lama tengok barang-barang yang dijual. Alamak ada jual biskut Tim Tam idaman hati dengan pelbagai rasa. Bestnya. Harga pun boleh tahan juga, tak salah aku dalam $3-4 sebungkus. Sudahnya aku cuma beli donut dengan cheese bun. Perrghh!! Besar dan gebu rotinya. Harga pun dalam 60 sen ke 80 sen sahaja. Murah sangat. Kalau aku tahu roti ni sedap, aku beli banyak-banyak. Tamak haloba betul. 

Masa nak bayar, aku nampak pejabat travel agent dan terus aku tanya lokasi Oil & Gas Discovery Centre dan Billionth Barrel Monument. Dengan bantuan dan panduan mereka, tahulah lebih kurang lokasinya. Entah macamana bila aku sampai ke Oil & Gas Discovery Centre, tutup pula sebab sedang ubahsuai sehingga 17 April (masa aku sampai 10 April). Sayangnya, datang jauh-jauh tapi tak dapat masuk. Lepas tu nak cari Billionth Barrel Monument, boleh pula tak jumpa. Apalah malang nasib aku kali ini. Apa-apa pun, masa aku di Seria aku jumpa beberapa buah alat proses minyak atau dikenali juga sebagai nodding donkeys. Sekali pandang, bandar Seria lebih kurang macam di Kemaman, Terengganu sebab terdapat kawasan proses minyak. 

Nodding donkeys. 

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Kuala Belait. Masa aku sampai di Kuala Belait, aku dah lapar. Berhenti sekejap di Pasarneka Kuala Belait untuk makan tengahari. Aku perasan, nama kedai dan papan tanda di Brunei memang ditulis dengan tulisan jawi dan rumi. Bagus kan?

Kedai sayur-sayuran dan buah-buahan.

Makanan tengahari aku, Nasi Goreng Salad Udang. 

Pasarneka Kuala Belait. 

Bangunan di Kuala Belait.

Aku sempat juga beli fridge magnet dan keychain di kedai Happy Star. Sedikit tips, nak beli cenderamata murah boleh sahaja beli di kedai Happy Star. Senang je nak tahu kedai tu, kalau nampak ada logo bintang warna kuning, itulah kedai Happy Star. Aku ingat nak beli tshirt tapi kualiti tak berapa bagus. Harga boleh tahan juga dalam $10 sehelai tapi aku rasa macam tak berbaloi untuk beli. Bila rasa dah cukup beli cenderamata,  kami meneruskan perjalanan pulang ke Bandar Seri Begawan. Masa balik, aku minta kawan aku yang bawa kereta sebab aku mengantuk. Sempatlah juga aku tidur sekejap dalam kereta. 

Kawan aku exit di Jerudong dan sempatlah aku nampak Jerudong Park yang dulunya memang masyhur dengan taman temanya tapi sayang masa aku lalu Jerudong Park ditutup untuk diubahsuai sejak tahun lepas. Sempatlah juga aku ambil gambar buat kenangan walaupun tak dapat masuk. 

Jerudong Park. 

Sampai sahaja di Bandar Seri Begawan pukul 4 lebih. Rasanya sempat lagi nak singgah ke Royal Regalia yang mempamerkan alat-alat kebesaran Sultan. Masa aku sampai di bangunan Royal Regalia, pintu masuk dah tutup. Sayangnya, aku lambat sikit je kalau tak dah boleh masuk. Tak ada rezeki nampaknya. Akhirnya ambil keputusan balik ke hotel untuk rehat dan solat. 

Sebelah malam, aku plan nak makan sushi di Excapade di Gadong. Aku memang dah lama plan nak makan sushi di Excapade malah ada orang beritahu sushi di Excapade jauh lebih sedap dari Sushi King. Waah, ini sudah bagus. Dahlah seharian aku sedikit kecewa tak dapat nak melawat Oil & Gas Discovery Centre dan Billionth Barrel Monument. Sekurang-kurangnya bila dapat makan sushi, terubat hati aku ini. Untuk ke Excapade di Gadong aku cuma berpandukan waze. Nasib baik jumpa! Aku ambil gambar pakai handphone sebab malu nak keluarkan kamera. 

Macam aku handal pakai choptick.

Suasana di dalam Excapade.

Sebahagian menu sushi. 

Memang tidak dinafikan makanan di Excapade sangat sedap! Aku tak menyesal bersusah payah untuk mencari tempat ini. Makan macam-macam sampai nak pecah perut aku dibuatnya. Harga keseluruhan makanan cuma $31.90. Amik kau. Sebelum pulang ke hotel, aku sempat singgah beli kain untuk aku. Aku dah macam terbiasa pula kalau aku ke mana-mana mesti nak beli kain sepasang dua. Untuk menceriakan diri sendiri, aku sempat sambar sepasang kain warna merah (aku kan suka warna merah)

Perut dah kenyang dan kain pun dah dapat, aku tidur dengan lenanya malam itu. Esok hari terakhir di Brunei dan perjalanan aku diteruskan ke Miri. 

Bersambung ya. 

p/s: aku tak jumpa pengiran di Brunei. 

Majlis persandingan menjadi tragedi

Semalam aku dikejutkan dengan berita sedih. 

Adik kepada kawan aku meninggal dunia pada hari persandingannya. Itu pun aku dapat tahu apabila kawan aku postkan status dalam facebook yang mengatakan adiknya telah meninggal dunia. 

Bayangkan hari sebelum itu, baru sahaja urusan akad nikah dan semalam sepatutnya diadakan majlis persandingan untuk meraikan pengantin baru. Pada malam sebelum itu, aku sempat melihat gambar arwah adik kawan melalui facebook kawan aku, nampak gembira sangat. 

Aku tak tahu bagaimana perasaan keluarga kawan aku dan terutamanya suami adik kawan aku tu. Aku cuma kawan dan merangkap jiran lama memang terkejut dan sedih. Sampai sekarang aku masih merasa sedih sangat walaupun aku taklah berapa kenal sangat dengan arwah. 

Aku sempat tanya kawan aku bagaimana adik boleh meninggal dunia. Dia pun tak tahu apa puncanya. Dia sedar adik dia meninggal dunia pada pagi semalam bila mendapat tahu adik dia tak bangun-bangun lagi memandangkan semua orang bersiap sedia untuk upacara raptai di dewan. Setahu kawan aku, adik dia memang tak ada sakit kritikal. 

Cerita sepenuhnya boleh dibaca melalui suratkhabar hari ini di Kosmo dan Mingguan Malaysia

Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Junaida Jamaludin dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan orang yang beriman. Amin. 

p/s: teringat novel tangisan bulan madu, sedihnya. 

Sunday, April 20, 2014

Day 2- Brunei (part 1)

Hari kedua di Brunei, aku merancang untuk meneruskan perjalanan aku ke Kuala Belait. Jarak dari Bandar Seri Begawan ke Kuala Belait  sejauh 106km yang mengambil masa selama lebih kurang 1 jam setengah.


Bangun pagi pukul 5 pagi sebab masuk subuh di Brunei awal. Boleh pula masa aku bangun, kaki cramp. Bukan sekali tapi dua kali cramp. Aduhai sakitnya. Bila kena kaki cramp, tak boleh nak panik nanti bertambah teruk. Nasib baik aku bawa yoko yoko untuk kurangkan sakit kaki cramp. 

Sebelum memulakan perjalanan, kita makan dulu. Nasib baik di Hotel Jubilee ada menyediakan sarapan pagi. Untuk sarapan pagi, ada disediakan menu dan boleh pilih 1 je. Aku tak ingat ada berapa jenis tapi untuk hari itu aku pilih bubur ayam. 

Ini menu sarapan pagi. 

Bubur ayam.

Lebih kurang pukul 8.30 pagi kami memulakan perjalanan ke Kuala Belait. Aku sebenarnya nak tengok Oil & Gas Discovery Centre dan Billionth Barrel Monument dengan berpandukan peta yang diberi oleh hotel. Dahlah peta yang diberi tak jelas, aku main ikut papan tanda ke Kuala Belait je. Entah macamana aku boleh pergi ke Muara, jalan yang bertentangan ke Kuala Belait. 

Nampak tak Muara terletak di atas? 

Bayangkan aku telah membazirkan masa memandu lebih kurang 1 jam gara-gara salah jalan. Terpaksalah aku patah balik semula ke Bandar Seri Begawan untuk kembali jalan asal ke Kuala Belait. Sabar je lah nak marah pun tak boleh sebab sama-sama tak pernah memandu di Brunei. Oklah, jadikan ini sebagai panduan supaya tak buat silap lagi. 

Jangan tak tahu harga kereta di Brunei memang murah. Untuk sebuah kereta Vios, harganya dalam $20-30 ribu sahaja sebab itu tak banyak motor ada di jalanraya. Sepanjang aku memandu di Brunei, aku pernah nampak sekali je orang bawa motorsikal. 

Bukan itu sahaja, pemandu di Brunei sangat bersopan santun. Mereka akan memberi keutamaan kepada orang yang melintas jalan dan kalau nampak lampu isyarat nak tukar warna kuning, awal-awal lagi dah tekan brek untuk berhenti. 

Dalam perjalanan ke Kuala Belait, aku singgah sekejap di Empire Hotel & Country Club, hotel yang memang cantik. Aku rasa mahu dalam RM1,000+ sebilik untuk semalam. Perrgh! 

Masuk je hotel, aku terus cari bilik air. Bilik air memang bersih kalah bilik air rumah aku. Apa taknya siap ada orang jaga dan bersihkan bilik air. Sambil aku basuh tangan, tiba-tiba kakak yang jaga bilik air tegur aku. "Dari Kuala Lumpur ya?" Aku mengiyakan je lah walaupun bukan. Kalau aku sebut Bangi, macam kakak tu tahu kat mana. Kakak siap cakap lagi, "Aku mahu ke Kuala Lumpur tak lama lagi. Aku ambil cuti ke sana." Aku senyum je lah, dalam hati "Ye lah kak. Suka hati kau lah." Aku siap tanya, "Boleh ambil gambar hotel tak?" Kakak tu siap beritahu, ambil lah. Sebelum aku keluar dari bilik air, aku sempat ambil gambar kakak tu. Sekali pandang, comel je aku tengok kakak tu. 

Kakak yang nak pergi bercuti ke Kuala Lumpur. 

Pemandangan di hotel memang cantik cumanya hotel ini terletak jauh sedikit dari bandar. Kalau sesiapa yang datang ke Brunei memang nak menikmati pemandangan, tinggal sahaja di Empire Hotel & Country Club. Aku sempat ambil gambar sekejap sebab panas sangat masa tu. Ok, cuci mata dulu ya. 




Kawasan kolam renang.



Kawasan lobi. 

Sebelum ke parking kereta, sempat jumpa dengan kawan lama. 

Kenapalah minah ni ambil gambar aku?

Aku nak makan apa hari ini?

Ok, kita sambung lagi perjalanan ke Kuala Belait. 

p/s: macam lama lagi je nak habiskan cerita aku kali ni. 

Saturday, April 19, 2014

Day 1 - Brunei

Hampir seminggu berlalu trip aku ke Brunei dan Miri. Dari hari ke hari aku selalu ingatkan diri untuk update tapi aku asyik bertangguh sahaja dan ditambah pula sekarang aku agak sibuk. Maaf ya. 

Asalnya plan ke Brunei dan Miri adalah secara kebetulan sebab aku nampak Air Asia ada buat promosi. Alang-alang ada promosi, aku cuba tengok flight ke Brunei. Boleh tahan harganya. Apa lagi, aku tanyakan kawan aku sama ada dia berminat nak ikut aku ke Brunei. Dia setuju dan terus aku beli tiket ke Brunei dan balik ke sini melalui Miri. Kebetulan dah sampai ke Brunei, aku ambil kesempatan untuk jumpa kawan aku di Miri. Nak tahu? Ini adalah partner trip aku kali pertama dan sama-sama kali pertama ke Brunei. Berani kan? 

Aku pun tak tahu kenapa aku nak sangat melawat ke Brunei. Ramai juga yang bertanya kenapa nak ke Brunei? Apa yang istimewa dengan Brunei? Selagi aku tak sampai ke Brunei, bagaimana aku nak tahu apa yang ada di Brunei. Ternyata Brunei mempunyai tarikan tersendiri. Bukan sahaja mempunyai masjid dan pemandangan yang cantik, makanan yang dihidangkan juga sedap. 

Perjalanan dari LCCT ke Brunei mengambil masa selama 2 jam 20 minit. Alhamdulillah sepanjang perjalanan aku ke Brunei berjalan dengan lancar. Dalam diam-diam, aku sebenarnya takut juga naik kapal terbang sekarang lebih-lebih lagi dengan kes MH 370. 

Sampai di Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan, tiba-tiba pegawai imigresen panggil "hajjah, mari sini" sambil menunjukkan kaunter imigresen yang kosong. Aku keliru dan tertanya-tanya bila masa pula aku naik haji? Baru aku tahu, rupa-rupanya itulah panggilan untuk wanita di Brunei. Kalau di sini sama ada panggil puan atau cik. Hahaha..malu aku. 

Urusan imigresen berjalan dengan lancar dan terus aku keluar untuk mencari pemandu untuk bawa aku ke hotel. Di Brunei, aku menginap di Hotel Jubilee dan sebab aku pilih hotel ini ialah hotel ini menyediakan perkhidmatan ambil dan hantar ke lapangan terbang. Seminggu sebelum aku ke Brunei, aku dah maklumkan kepada Hotel Jubilee untuk ambil aku di lapangan terbang. Tak salah aku, kalau ambil teksi kena bayar dalam $20-30. Mahal tu. 

Dari lapangan terbang ke hotel mengambil masa dalam 20 minit. Sepanjang perjalanan, aku melihat Bandar Seri Begawan sangat bersih dan tenang. 




Sampai di hotel, bilik sudah tersedia dan aku terus rehatkan diri sekejap. 

Hotel Jubilee

Pukul 1 tengahari kereta sewa sampai. Sepanjang aku di Brunei aku mengambil kereta sewa dengan bayaran $55 sehari. Asalnya harga $50 sehari tapi kereta yang aku nak kebetulan tak ada. Bengang juga sebenarnya sebab janji lain tapi dapat lain. Lagipun buat apa nak ambil kereta besar-besar sebab yang nak pakai cuma berdua sahaja. Aku malas nak bertekak lagi. Jadi ambil sahaja apa yang ada. Untuk memandu di Brunei, lesen memandu Malaysia memang sah dipakai. Tak perlu nak memohon lesen antarabangsa. 

Yang bestnya, kereta yang disewa sudah diisi minyak penuh jadi masa nak pulangkan kereta nanti, kena isi penuh balik. Adil kan? Jangan risau, harga minyak di sana murah. Cuma 53 sen setiap liter untuk RON 97. 

Kereta sewa, Vios harga $55 sehari. 

Oleh sebab dah waktu tengahari, perut aku dah memanggil untuk diisi. Hidangan pertama di Brunei adalah makan tengahari di Gadong. Aku dan kawan aku makan nasi campur yang berlaukkan ayam dengan sayur. Nak tahu berapa harga untuk 2 orang? Cuma $3 sahaja. Aku siap tanya balik berapa harga sebab aku macam tak percaya dengan harga tu. Bila dah sebut 2 kali dengan harga $3, memang betullah. 

Selesai makan tengahari, aku memandu sekitar Bandar Seri Begawan. Sempat singgah ke Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Jangan tak tahu, kubah masjid dibuat daripada emas. Perrghh!! Boleh sahaja masuk masjid tapi tak dibenarkan ambil gambar. Apa-apa pun, kita layan dulu gambar masjid ya. 





Selepas itu, sambung lagi pusing-pusing sekitar Bandar Seri Begawan. Pandai tak, masa memandu aku tak ingat langsung nak bawa peta. Jadinya selama 3 jam aku memandu, asyik pusing tempat yang sama sahaja. Buang masa je kan? Tak salah aku, aku sempat ke Kampung Ayer, area Gadong dan tak pasti ke mana lagi. 

Akhirnya ambil keputusan balik ke hotel dan dapatkan peta. Masa aku balik ke hotel pun dah petang, jadi masuk bilik rehat dulu sebab sebelah malam ada kawan nak bawa kami makan-makan. Waah rezeki!

Pukul 8 malam, kawan datang ambil kami dan bawa ke Kampung Ayer. Di Brunei, pukul 8 malam dah banyak kedai yang dah tutup. No nightlife here. Apa lagi disko, confirm tak ada ok. 

Lepas makan malam, kawan aku bawa ke Mall di Gadong untuk beli sedikit cenderamata. Tak lupa singgah sekejap di pasar malam Gadong. Oleh sebab masih kenyang lagi, sekadar melihat sahaja apa yang dijual. Kalau lapar lagi, aku rasa macam-macam juga aku nak beli. Nampak sangat aku ni suka pergi pasar malam. 

Apam balik yang besar! 

Kuih celorot. 

Lebih kurang pukul 10.30 malam, balik ke hotel. Masuk bilik, aku mandi dan terus tidur. Sambung lagi trip Brunei. 

p/s: bangga dapat memandu di Brunei. 

Friday, April 18, 2014

Sinar Harian

Rasanya aku pernah cerita yang nak jadi penulis kan? Siapa sangka artikel yang aku tulis mengenai Hong Kong tersiar dalam Sinar Harian pada 16 April. Perasaan aku? Sudah pasti sangat gembira. Pagi-pagi lagi wartawan Sinar Harian sms aku pasal artikel aku dah tersiar. 

Apa lagi, aku cepat-cepat cari Sinar Harian dan beli 5 salinan terus untuk dijadikan kenangan. Ada 1 salinan aku simpankan untuk kawan aku. Nanti aku pos untuk kau ya makcik. Sorry lambat. 

Mari aku tunjukkan artikel yang tersiar dalam Sinar Harian. 



Terasa glamer akak dibuatnya. Hehehe..Aku tak tahu entah berapa kali aku baca artikel aku tu. Poyo je kan? 

p/s: aku rasa nak frame artikel ni. 

Sunday, April 13, 2014

Brunei-Miri (snapshot)

Alhamdulillah trip ke Brunei-Miri berjalan dengan lancar. Aku baru je sampai rumah beberapa jam yang lalu. Mari aku kongsi snapshot trip aku kali ini. 

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin 

The Empire Hotel and Country Club

Bandar Miri

The Grand Old Lady

Nanti bila ada kelapangan, aku akan cerita lebih lanjut. Ok? 


p/s: letih tak hilang lagi ni. esok dah masuk kerja. 

Wednesday, April 2, 2014

Catuan air bermula

Aku ingatkan kawasan rumah aku tak kena catu tapi semalam aku tengok website Syabas, kena juga akhirnya. InsyaAllah akan bermula pada hari Ahad ni dan tak salah aku kawasan rumah aku dalam zon 3. 

Aku siap boleh bagi tong air lama yang pernah pakai pada tahun 1998 kepada adik aku yang tinggal di Kelana Jaya. Rasa-rasa boleh ambil semula tak? Dasar buruk siku betul! Hahaha..

Siapa tak boleh lupa catuan air pada tahun 1998. Aduhai seksa betul. Dahlah masa tu aku baru masuk belajar di UKM. Faham-faham je lah kalau dah duduk hostel ramai-ramai nak pula pakai bilik air yang terhad. Dibuatnya masa tu lah nak buang air, masa tu pula air tak ada. Mana boleh tahan! Usaha juga cari tempat yang ada air. Tak kiralah jauh atau dekat. Itu belum lagi cerita pasal bau, boleh sesak nafas dibuatnya. 

Aku rasa, bila tak ada air nanti bolehlah aku tumpang rumah adik aku di Putrajaya. Boleh kan? Lepas tu kalau nak pergi kerja ke Cyberjaya pun dah tak jauh. 

Rasanya bila air kena catu ni, barulah terasa berharganya air. Kalau tak, main biar je air membazir dan melimpah-limpah. Sayang kan? 

p/s: musim panas, memang berpeluh-peluh. 




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails