Saturday, November 24, 2018

Western Australia Exploration - part 4

Pemberton - Augusta

Memandangkan sampai di Pemberton dah malam, tak dapat bayangkan macamana rupa keadaannya. Esok pagi tengok, cantiknya tempat ni. Nak tengok? Jom! 

Aku menginap di Karri Forest Motel, Pemberton. 

Di hadapan bilik. Siap ada kerusi untuk lepak-lepak. 

Di sekitar kawasan motel. Ada kolam renang di belakang tu. 

Laluan masuk. 

Kami tak teroka lebih lanjut bandar Pemberton sebab destinasi seterusnya agak jauh. Walau bagaimanapun untuk membuktikan kami dah sampai di Pemberton sempat lagi berhenti sekejap di papan tanda Pemberton. 

Aku rasa orang yang tengok gelagat kami mesti dah tahu yang kami ni bukan orang sana. Ada siap lambai-lambai lagi tu. Agaknya apalah yang mereka fikir bila tengok kami ya? Hehehe..



Dah sampai Pemberton!

Destinasi yang kami tujui adalah Cape Leeuwin Lighthouse, Augusta dan untuk sampai ke sana mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Aku tak tahu kenapa, aku suka singgah tengok rumah api kalau ke mana-mana. 

Masa sampai di sana, aku dapat tahu rumah api tersebut dalam proses ubahsuai. Jadi tak dapat nak naik rumah api sampai atas. Sedih sebenarnya dan silap aku juga sebab tak periksa terlebih dahulu. 




Di sini juga dapat menyaksikan pertembungan dua lautan iaitu Lautan Hindi dan Lautan Selatan. Kalau dapat naik ke rumah api, mesti dapat tengok pertembungan kedua-kedua lautan tersebut. 

Sebenarnya ada cerita lucu masa sampai sini. Aku dengan kawan aku selamba je masuk tanpa bayar apa-apa. Aku nampak pengunjung yang datang masing-masing bawa audio mobile. Aku ingatkan kalau ambil audio mobile, kena bayar. Aku tak nak ambil audio mobile jadi aku rasa aku tak perlu bayar. Rupa-rupanya ada bayaran masuk dan bayaran tersebut termasuk dengan audio mobile. 

Suka hati je kan? Bila aku nak keluar, aku sedar yang aku melakukan kesilapan  besar. Orang yang menjaga kaunter masuk minta bayaran kepada pengunjung yang baru tiba. Kebetulan masa aku masuk, orang yang menjaga kaunter tengah sibuk layan pengunjung. Itu sebabnya aku dapat masuk tanpa sebarang bayaran. Apa lagi, kami cepat-cepat keluar sebelum mereka minta bayaran. 

Tanpa berlengah masa lagi, kami ke destinasi seterusnya. Apa kata aku berhenti sini dulu. Nanti aku sambung lagi. Jangan marah ya. 

p/s: jumpa kawan baru pula lepas ni. 

Thursday, November 22, 2018

Western Australia Exploration - part 3

Albany - Pemberton 

Bangun pagi gigih berbaju kurung untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha di perantauan. Rasanya kalau hantar gambar dengan ucapan hari raya ke surat khabar, boleh terima tak? 

Plan asal nak cari masjid terdekat untuk solat raya tapi masing-masing dah keletihan dan bangun pula agak lewat. Terpaksa batalkan niat murni itu. 

Di hadapan bilik. 

Inilah kereta sewa kami. 

Selamat Hari Raya Aidil Adha daripada kami. 

Selepas sesi bergambar, kami terus check out dan selepas itu jalan-jalan sekitar pekan Albany. Apa-apa pun, kita makan dulu di kedai makanan halal yang jumpa sebelum ini.


Breakfast at Albany. 




Albany adalah sebuah pekan kecil yang santai. Sayang aku tak dapat tinggal lama di situ sebab tak sempat. Sebenarnya banyak tempat menarik yang boleh diterokai di Albany. Mari aku kongsikan beberapa tempat menarik yang sempat aku singgah sepanjang berada di Albany. 


Ellen Cove.


Albany Wind Farm. 


The Gap & Natural Bridge

Sempat juga berjumpa beberapa orang pelancong dari Malaysia. Apa lagi, masing-masing mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Jauh betul kita sambut raya kan? 

Ikutkan banyak lagi tempat nak singgah tapi tak cukup masa. Kebetulan masa di sana, dalam pukul 6 petang dah mulai gelap. Lagipun aku tak nak memandu dalam keadaan gelap. Takut!!

Destinasi seterusnya ke Pemberton dan sampai di  Pemberton dah malam jadi tak dapat nak pergi mana-mana. Kita sambung lagi perjalanan kita selepas ini. 

p/s: dapat melihat sempadan dua lautan. cantik betul. 

Wednesday, November 21, 2018

Western Australia Exploration - part 2

Perth - Albany

Pagi-pagi lagi merancang untuk mengambil kereta sewa sebab kami akan meneruskan perjalanan yang jauh iaitu ke Albany. Perjalanan dari Perth ke Albany adalah sejauh 415km yang mengambil masa lebih kurang 4 jam memandu. Memang cipta rekod sebab aku tak pernah bawa kereta sejauh ini terutama sekali di Malaysia. Yang aku tahu, dari rumah ke pejabat setiap hari. Hahaha...

Untuk mengambil kereta sewa di Bayswater, kami jalan kaki dari hotel. Bas memang ada tapi kekerapan tak selalu terutamanya pada hari Ahad. Mahu berpeluh walaupun dalam Google Map menunjukkan sekitar 10-15 minit jalan kaki. Hakikatnya ia mengambil masa lebih daripada itu kalau ikut kelajuan langkah aku berjalan. 


Urusan kereta sewa mengambil masa yang singkat sahaja. Selepas selesai urusan pembayaran, terus dapat kunci kereta dan GPS. Agak kekok juga nak memandu kereta sebab belum biasa lagi dan ditambah pula kali pertama ke Perth. Dapat sahaja kereta, balik semula ke hotel untuk dapatkan beg dan barang-barang. 

Destinasi pertama adalah Caversham Widlife Park dan merupakan destinasi wajib sekiranya berada di Perth. Bayaran masuk adalah AUSD26 seorang. 


Pintu masuk Caversham Wildlife Park. 

Geram je tengok koala ni. 

Tengoklah kangaru yang melepak bergelimpangan. 

Geli pula kangaru jilat tangan aku. 

Boleh pula masa aku beratur nak ambil gambar dengan koala, aku boleh jumpa dengan cikgu aku masa darjah 3 dengan keluarga. Aduhai..punyalah jauh jalan tak sangka jumpa. Sempatlah juga sesi jejak kasih. Siap tanya berapa lama di Perth, pergi berapa orang, datang sini macamana dan banyak lagi. Terasa macam celebrity kena jawab banyak soalan daripada wartawan. Perasan tak sudah-sudah aku ni. 

Tak boleh lama-lama di sini sebab perjalanan kami masih jauh. Aku tak nak sampai ke Albany lewat sangat. Dalam perjalanan, tiba-tiba kangaru liar berhenti depan kereta. Nasib baik kawan aku sempat berhenti kalau tak, aku tak tahu nak cakap apa. Kami biarkan kangaru berlalu pergi, barulah teruskan perjalanan. Fuuh mahu gugur jantung aku dibuatnya sebab terkejut. 

Lebih kurang dalam 8.30 malam sampailah kami ke Albany dan kami menginap di Ace Motor Inn. Kami disambut oleh pekerja yang bersopan santun dan lembut suaranya. 

Lepas check in, terus cari kedai makan sebab sepanjang perjalanan ke Albany kami tak makan apa-apa. Hanya makan makanan ringan dan kawan aku pula masa tu berpuasa. Hati membuak kegembiraan apabila jumpa kedai makanan kebab halal. Apa lagi, terus order makanan banyak. 

Makan pun sudah, tidurlah jawabnya. 

p/s: sambut hari raya haji di perantauan kali pertama. 

Monday, November 5, 2018

Birthday Giveaway - senarai pemenang

Rasanya ada yang tak sabar nak tunggu senarai pemenang giveaway aku kali ini. Maaflah ya sebab mengambil masa sedikit untuk update. Jangan marah ya. 

Apa-apa pun tahniah aku ucapkan kepada 10 pemenang bertuah. Pemenang dipilih melalui random.org. Tiada unsur pilih kasih atau berat sebelah, semuanya dilakukan secara adil dan saksama. 

Mari kita tengok siapa pemenangnya!











Ada juga disediakan kepada hadiah istimewa kepada ShirVen sebab dia adalah orang pertama yang join giveaway aku dan Zircon Mono yang telah berjaya menjawab soalan aku pada entri blog sebelum ini. 

Harapnya kepada semua pemenang dapat memberi nama dan alamat melalui emel: mazuriah@gmail.com sebelum 11 November 2018. Kalau tak, hadiah tersebut akan diberikan kepada orang lain. 

Tahniah dan terima kasih kepada semua.

p/s: rasanya kalau nak buat lagi giveaway, ada nak join? 

Wednesday, October 31, 2018

Corica Pastries

Kalau ada sesiapa ke Perth, silalah pergi ke Corica Pastries dan jangan lupa untuk beli apple strudel. Sekali makan, memang nak makan lagi. 

Kali pertama aku makan pada tahun 2016, sampai sekarang aku tak boleh nak lupa. Aku beli masa dalam perjalanan nak balik Malaysia. Nasib baik sempat sebab masa aku beli kedai tu buka separuh hari. Fuuh! 

Betapa sedapnya apple strudel, aku tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata. Korang tahu tak mana nak cari apple strudel yang sedap kat sini? 

Ok inilah tempat nak beli apple strudel di Corica Pasties yang terletak di 106 Aberdeen St, Northbridge WA. 

p/s: bila aku nak dapat makan lagi apple strudel ni? 

Saturday, October 27, 2018

Birthday Giveaway - update

Alhamdulillah.

Nampaknya sambutan untuk birthday giveaway menggalakkan. Setakat hari ini terdapat 50 orang yang join. Terima kasih banyak-banyak. 

Untuk menaikkan semangat, aku nak bagi extra kepada sesiapa yang dapat meneka tarikh hari lahir dan umur aku. Siapa yang cepat dapat meneka dengan betul bagi kedua-dua soalan, itulah pemenangnya! 

Ok, ini adalah senarai yang join birthday giveaway aku kali ini. Apa-apa pun, good luck! Masih ada masa lagi nak join kepada yang belum join. Cepat, tinggal beberapa hari je ni. 

3. ejulz
26. Ika.S
28. Hana
30. Nufaa
33. dee
41. Asyiqin
p/s: good luck semua. 

Thursday, October 4, 2018

Koleksi gambar kad pengenalan


Sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2018, Bahagian Kad Pengenalan ada menjual gambar kad pengenalan. Harga untuk mendapatkan gambar kad pengenalan berharga RM50. 

Kepada yang ingin melihat dan menyimpan koleksi gambar kad pengenalan boleh ambil peluang ini. Boleh juga ambilkan untuk orang lain tapi hendaklah mempunyai tali persaudaraan keluarga seperti adik beradik, suami, isteri, emak, ayah, datuk dan nenek. 

Inilah hasil gambar kad pengenalan dari umur 12 tahun sampai sekarang. Bila tengok balik gambar lama, alahai selekehnya. Aku rasa muka tak banyak berubah, yang berubah adalah saiz muka yang makin lebar. Hahaha! 

Aku ada juga ambil gambar kad pengenalan arwah mak. Bila tengok balik, rindu rasanya. 

p/s: masih ingat lagi nombor kad pengenalan lama. 

Wednesday, October 3, 2018

Birthday giveaway






Sempena bulan kelahiran aku, aku nak bagi giveaway kepada semua pembaca blog aku. Ada yang berminat? Caranya mudah sahaja dengan beberapa langkah sahaja.  

1. Follow blog mazuriah.blogspot.com

2. Buat entry bertajuk 'Birthday giveaway by Mazuriah Mohamed'. Ceritakan serba sikit bagaimana boleh jumpa blog ini.  

3. Tampal banner penyertaan dan backlink kepada entri ini sahaja

4. Tinggalkan link di ruang komen. 

Tempoh penyertaan sehingga 31 Oktober 2018. 10 hadiah istimewa akan diberikan kepada insan yang bertuah. 

Good luck! 

p/s: hadiah terdiri daripada cenderamata dari negara yang pernah dilawati. 

Tuesday, October 2, 2018

Western Australia Exploration - part 1

Kuala Lumpur - Perth 

Untuk pengetahuan semua, ini adalah trip ke Perth pada tahun 2016. Baru sekarang aku nak kongsi trip ke Perth dan aku cuba untuk ingat kembali walaupun dah 2 tahun berlaku. Biar lambat asalkan selamat ya. Hehehe..

Hari pertama menjejak ke bandar Perth lebih kurang pukul 12.05am, lepak dulu di airport sambil tunggu masuk solat subuh. Jangan risau, di airport ada disediakan bilik mandi jadi boleh mandi dulu sebelum memulakan perjalanan. Selesai sahaja solat subuh, ambil teksi dan terus ke hotel untuk letakkan beg. Waktu check in belum lagi jadi aku ambil keputusan untuk jalan-jalan ke Fremantle. 

Simpan dulu beg di hotel baru boleh jalan. 

Menginap di Criterion Hotel. 

Cara mudah untuk ke Fremantle adalah menaiki keretapi. Naik sahaja keretapi dari Perth dan turun ke stesen yang terakhir. Untuk sampai ke stesen Fremantle mengambil masa lebih kurang setengah jam.  

Sampai je ke stesen Fremantle, terus cari E-Shed iaitu tempat yang selalu menjadi tumpuan untuk membeli cenderamata. Belum apa-apa lagi, dah shopping dulu. Pantang betul! 

Di E-Shed ada 2 kedai besar yang menjual cendermata. Kedudukan kedai pun sebelah menyebelah. Tak salah aku, 1 kedai tu pemiliknya asal dari Singapura dan dan 1 lagi pemiliknya dari Indonesia. Bila sampai sana, pilihlah mana yang suka. Kalau nak ikutkan jenis barang dan harga antara 2 kedai adalah lebih kurang sama je. 



Puas shopping, kita makan dulu. Kalau dah sampai Perth, rasanya tak sah kalau tak cuba makan fish & chipsnya. Jauh juga nak jalan kaki ke Kailis Fish Market Cafe dan aku hampir sesat dibuatnya. 



Terus terang bagi aku fish & chips rasa biasa sahaja. Untuk makanan untuk 2 orang makan, harganya dalam $50. Bayar dah mahal, sayang pula kalau tak habis. Kalau nak sos cili, ada tambahan bayaran pula. Kalau aku tahu dari awal, aku bawa sos cili siap-siap. Berani kau? Dahlah nak bawa barang ke Australia ini bukannya mudah. 

Bila nak balik semula ke hotel, boleh pula hujan lebat. Kenalah tunggu sampai hujan reda baru dapat naik keretapi. Asalnya aku dah letih nak jalan kaki ke stesen keretapi tapi nasib baik ada bas free. Apa lagi, kita naiklah. Kebetulan masa dalam bas, boleh jumpa pelancong dari Malaysia. Kalau ke Perth, memang akan jumpa pelancong dari Malaysia. 

Sampai di hotel, check in dulu. Dah dapat bilik, terus rehat sebab hari esoknya akan bermula perjalanan untuk meneroka Western Australia. 

p/s: hampir-hampir langgar kangaru.

Monday, October 1, 2018

Yogyakarta - teaser

Baru aku perasan dalam bulan September aku tak update blog. Nampak sangat aku sibuk sangat kan? Baru-baru ini aku bertukar jabatan dan tugas aku kali ini memang 100% berbeza jadi aku ambil masa untuk sesuaikan diri. Umur semakin bertambah, lambat sikit nak faham. Hehehe..

Cerita pasal umur bertambah, bulan Oktober adalah bulan istimewa sebab ia adalah bulan kelahiran aku yang ke-44. Ya aku sedar aku dah tua. Jadi aku berazam untuk update blog aku lebih kerap kalau boleh setiap hari. Rasa-rasa boleh buat tak? Aku cuba dulu ya. 

Aku tahu banyak cerita pengalaman trip yang perlu aku kongsi. Minggu lepas baru balik dari Yogyakarta dengan membawa kawan-kawan belajar dulu. Lebih kurang macam reunion. Aku dah kali ketiga ke Yogyakarta dan trip kali ini aku mendapati lebih banyak kawasan baru yang menjadi tumpuan pelancong yang perlu diterokai. 

Kali terakhir aku ke sana pada tahun 2015, banyak tempat tumpuan pelancong belum dibuka lagi. Kalau ada sesiapa merancang ke Yogyakarta, aku nasihatkan  untuk pergi. 

Apa yang istimewa? Makanannya sedap dan murah. Bayangkan jumlah belanja setiap kali makan tengahari atau malam untuk 6 orang tak sampai RM100. Ada yang tergoda? Ditambah pula tempat tumpuan pelancong yang bertambah. Siapa yang kaki selfie, memang sesuai! Cuma 1 je, hati kena kental dan badan kena sihat sebab banyak naik tangga dan mendaki bukit. 

Kita  bagi teaser dulu. Kasi bakar...

Jurang Tembelan. 

Timang Beach.

Gereja Ayam.

Hutan Pinus. 

Ada yang berminat? Kalau ada, boleh hubungi Mas Akbar (+6281391193543). Servisnya tip top. 

p/s: ada sesuatu istimewa aku nak beritahu nanti. tunggu! 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails