Saturday, December 16, 2017

Namaste India - part 4

Setelah puas bermain dengan salji, kami singgah di sebuah restoran untuk makan tengahari dan solat di sebuah masjid berhampiran. Rasa tak puas lagi sebenarnya sebab sekejap sangat main salji. Lagipun bukannya selalu dapat peluang macam ni. 

Yang istimewa tu, restoran yang kami singgah tu menyediakan masakan Thailand. Cuba bayangkan setiap hari makan kari tiba-tiba dapat makan lain daripada biasa. Apa lagi, makin berselera aku makan. 

Sebenarnya restoran yang didirikan adalah sebahagian daripada hotel. Hotelnya belum lagi siap sepenuhnya. Memandangkan restoran dah siap dulu, memang rezeki kami untuk menjamu selera di sana.

Nampak tak? Masing-masing muka kekenyangan. 

Selesai solat, sempat lagi berbual mesra dengan penduduk tempatan dan beri jajan. Anak-anak kecil yang ada di situ memang comel dengan mata hijau dan muka merah-kemerahan. Geram je tengok. 

Ada yang berkenan tak? Pilihlah yang mana yang berkenan di hati. 

Dalam perjalanan pulang, singgah di kedai sari lagi. Sudah pasti ahli rombongan tak puas lagi memborong kain sari. Aku tengok je lah, saka nak beli kain belum datang lagi. Tunggulah nanti. Hehehe.. 

p/s: lepas ni ada lagi satu destinasi yang tak kurang menarik. kita main salji lagi. 

Thursday, December 14, 2017

9 tahun sudah?


Eh dah 9 tahun rupanya umur blog aku ni. Cepatnya masa berlalu. Aku ingat lagi masa mula-mula berkecimpung dengan dunia blog ni, bukan main rajin update. Beza betul dengan sekarang, dah jarang sangat aku update. Kadang-kadang sampai 1 bulan tak update. 

Sempat juga tadi aku baca entry lama terutama sekali bila cerita pasal boss lama aku, Mr X, Junaidah Ali Bashah dan banyak lagi. Siapa yang ikut cerita aku, mesti kenal watak-watak aku sebut tadi. Rasanya semua benda aku nak kongsi  dalam blog. 

As time goes by, cerita peribadi aku dah jarang kongsi dalam blog. Kalau aku sambung cerita  macam dulu-dulu, ada ke nak baca? Malu laaahhh!!! 

Sekarang aku lebih banyak cerita pengalaman destinasi dan tempat aku pergi. Manalah tahu boleh jadi rujukan untuk teroka nanti. 

Semenjak ada IG, aku lebih senang kongsi pengalaman di sana. Lagi senang sebab tak perlu nak cerita panjang-panjang. Letak gambar lepas tu tambah ayat sikit. (dasar pemalas betul!) 

Untuk tahun 2017, apa yang capai setakat ini? Yang penting aku dah sampai ke New Zealand. Negara yang aku impikan dari dulu lagi. Yang lain-lain tu aku rasa dah jarang nak sentap-sentap ni. Tak kuasa aku nak sentap. Umur makin meningkat, aku lebih cool down. Cewaah!  Lebih-lebih lagi umur dah masuk 4 series kan...uhuk uhuk. (jangan nak perasan muda)

Ok mari kita ceriakan diri, jangan nak sedih-sedih. Tak perlu nak kejar bilangan tempat nak pergi tapi kejar bilangan pengalaman yang kita perolehi. Pengalaman yang tak akan hilang sampai bila-bila. 

p/s: terasa skema ayat aku ni. hahaha!! 

Wednesday, December 13, 2017

Namaste India- part 3

Sebelum aku teruskan cerita, mari aku cerita sedikit pasal houseboat yang aku duduk. Dalam houseboat ni, ada 3 bilik yang boleh memuatkan seramai 6 orang yang terdiri daripada Kak Zu (my roomate), Kak Nani dengan anak Bella, Ibu Indra dan Emma. 

Sepanjang sama-sama tinggal dalam houseboat, dapatlah kami berkenalan dan beramah mesra. Bila waktu makan sama-sama, ada sahaja cerita yang dikongsi. Mula-mula je nampak malu-malu tapi bila dah lama-lama jadi rapat pula. Tak kenal maka tak cinta. Betul tak? 

Bella, aku, Kak Zu, Kak Nani dan Ibu Indra. Emma tak ada sebab dia yang ambil gambar masa ni. 

Aktiviti seterusnya adalah ke Sonamarg iaitu sebuah kawasan pelancongan yang dikenali juga sebagai Golden Meadow dengan ketinggian 2,730 meter. Perjalanan ke Sonamarg mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah dengan mengharuni kawasan perkampungan orang Kashmir. 

Selepas makan pagi di houseboat, kami menaiki shikara untuk ke jeti. Di jeti nanti, van telah tersedia menunggu untuk membawa kami ke Sonamarg. Terdapat ramai penjual yang mengambil kesempatan untuk menjual pelbagai barang. Aku tak beli pun sebab tak sempat. Katanya harga yang dijual amat murah daripada di houseboat. 

Naik shikara (sampan) ke jeti. 

Dalam perjalanan ke Sonamarg, kami berhenti sekejap ke tandas untuk buang air. Aku tak pergi ke tandas pun jadi aku telah mengambil kesempatan untuk ambil gambar. Belum sampai ke Sonamarg lagi tapi aku dapat melihat pemandangan yang ada dah sangat cantik. Kalau sampai di Sonamarg, macamanalah agaknya. 




Kami tidak berhenti lama sebab perjalanan kami masih jauh. Walaupun jarak ke Sonamarg sekitar 80km, untuk sampai ke sana mengambil masa yang agak lama. Ditambah pula keadaan dan struktur jalanraya yang tidak memuaskan. Sayang, kalaulah jalan ke Sonamarg dibaiki, mesti bertambah ramai orang ke sana. Sepanjang jalan, kami menikmati pemandangan yang cantik. Tak rasa pun masa berjalan dengan pantas.




Bila sampai di Sonamarg, hati berbunga-bunga gembira. Ya Allah cantiknya pemandangan. Inilah kali pertama aku dapat melihat sendiri salji. Rasa sejuk tak terasa sebab gembira sangat. 



Nampak salji di puncak. 

Sebelum meneruskan perjalanan seterusnya, kami dibawa untuk sewa kasut but. Aku cuba pakai tapi nampak gaya tak ada yang muat. Terpaksalah aku pakai kasut sendiri. Bukan apa, sampai di atas nanti, salji yang ada agak tebal. Bila kita pakai kasut biasa, nanti salji akan tembus kasut dan habislah basah kasut. Tak selesa bila berjalan nanti. 

Ada 2 pilihan untuk sampai ke peringkat seterusnya iaitu sama ada naik jip atau naik kuda. Kami mengambil keputusan untuk menaiki jip. Lagipun aku memang takut nak naik kuda. Hehehe..Nak ikutkan bila naik jip, lagi senang perjalanannya. 

Sampai sahaja, aku memang tak terkata-kata. Cantik betul!!!! Ramai yang menerpa dan mendaki bukit untuk main salji. Aku tak dapat nak ikut sebab keadaan kasut aku tak kalis salji. Nasib baik ada beberapa orang yang tak naik, sempatlah layan ambil gambar. 



Tengok semua diselaputi salji. Nampak putih sahaja. Yang best tu, cuma kami sahaja yang ada di situ. Jadi boleh ambil gambar sepuas-puas hati tanpa sebarang gangguan. 

Alamak, kita sambung lagi cerita trip India ni dulu. Lepas ni ada cerita dapat makan masakan Thai di India. (alasan je nak sambung cerita)  

p/s: kalau dapat guling-guling atas salji, mesti best. 😄

Thursday, December 7, 2017

Kuala Lumpur - short break

Kali pertama menginap hotel di Kuala Lumpur rasa seronok pula. Nak ikutkan dari rumah aku ke Kuala Lumpur bukanlah jauh mana pun, dalam 30 minit memandu dah sampai. 

Aku memilih untuk menginap di Traders Hotel. Urusan check in memang cepat, siap dapat makan-makan lagi bila sampai. Boleh pula aku lupa nak ambil gambar bilik sebab aku menginap pun bukannya lama, cuma 1 malam je. 

View KLCC depan mata. 

Siapa nak epal? Ambil je siapa yang nak. 

Sebenarnya tujuan aku ke Kuala Lumpur nak tengok Konsert Ella di Dewan Filharmonik Petronas. Dah akak ni die hard fan dia. Kenalah tengok kan. 

Sepanjang Ella buat persembahan, aku hampir tahu semua lagu yang dia nyanyi. Mengimbas kembali zaman muda-muda dulu, zaman rock kapak. Chewaah! 

2 jam persembahan tak terasa lama pun. Siap minta Ella nyanyi lagi. Semua yang datang tak boleh nak move on! Kalau boleh nak stay lama-lama. Apa kan daya, bukan kuasa aku nak suruh Ella sambung nyanyi. Dapat tengok Konsert Ella, dah puas hati. 


Konsert Ella. Dah 30 tahun dia dalam industri. Kagum betul. 

Sebelum check out, sempat lagi aku melantak makan pagi di hotel. Pilihan makanan memang banyak sampai tak tahu nak makan apa. Rasa semua nak makan.

Suka konsep kad merah tu. Sangat praktikal terutamanya orang macam aku ni  yang memang lapar. 

Lepas check out, jalan-jalan sekejap di KLCC sebab dah lama aku tak ke KLCC. Kagum tengok banyak betul perubahan. Tak lama pun ada di situ, ramai sangat orang. Pening pula aku. Apa lagi, balik rumah lah. 

p/s: boleh buat lagi trip ke Kuala Lumpur lepas ni.

Friday, November 10, 2017

Mana nak mula dulu?

Banyak cerita nak kongsi tapi asyik bertangguh sahaja. Aku pula tak tahu mana nak mula dulu. 

1. India - dah separuh jalan

2. Perth, Australia - belum mula lagi 

3. New Zealand - belum mula lagi

Aku cuba sedaya upaya untuk siapkan semuanya. 

p/s: berikan aku kekuatan. yakin boleh! 


Tuesday, November 7, 2017

Kia Ora New Zealand - teaser

Baru 1 minggu balik bercuti ke New Zealand. Masih dalam mood holiday walaupun dah masuk kerja. Hari pertama masuk kerja, blur lagi dan ditambah pula dengan jet lag. Hahaha. 

Apa yang aku dapat simpulkan, New Zealand memang cantik! Kalau ada peluang, memang aku nak pergi lagi. 12 hari berada di sana sempatlah aku teroka pulau utara dan selatan New Zealand. Itu pun tak semua tempat dapat pergi. 

Bukti keindahan New Zealand, di sini aku akan kongsi sedikit gambarnya. Lain kali aku cerita panjang-panjang dengan gambar yang lebih banyak. Ok? 











Kenangan tak akan lupa sepanjang berada di New Zealand:

1. Sesat tak jumpa tempat. Dah ikut GPS tapi masih tak jumpa. Pusing banyak kali baru jumpa. 

2. Hampir-hampir terlepas tour gara-gara tak jumpa parking kereta. 

3. Cermin tingkap kereta retak kena batu. Melayang $310 kena bayar gantirugi. 

4. Senyum sampai ke telinga bila dapat jumpa kedai daging halal. Yang best pula tu, tuan punya kedai orang Malaysia. Siap bagi diskaun lagi. Terima kasih ya. 

5. Terasa diri aku ni kecil sangat bila berada di sana. Orang Maori badan tinggi dan besar. 

6. Bumper jatuh dan pintu bonet kereta tak boleh tutup di tengah-tengah kawasan yang tak ada orang. Banyak takut wooo. 

7. Minyak kereta hampir-hampir kering dan stesen minyak pula jauh lagi nak jumpa. 

Dapat pula travelmate yang sporting dan baik. Pendek kata semua memang bestlah! Mana-mana yang terkurang, itu perkara biasa. Tak payah nak berkira sangat. 

p/s: jadikan New Zealand destinasi wajib korang. 

Monday, October 9, 2017

Kad Octopus

Bulan lepas ada trip ke Hong Kong tapi tak sempat nak pulangkan kad Octopus. Siapa yang pernah ke Hong Kong mesti tahu kegunaan kad ini. Kad ini boleh dipakai apabila kita menaiki MTR, bas dan lain-lain. Ia juga boleh dipakai untuk membayar barang di 7Eleven. 

Inilah rupa kad Octopus. 

Ok, di sini aku nak buat tawaran yang menarik kalau ada sesiapa yang ada perancangan ke Hong Kong nanti. Aku akan berikan kad Octopus dengan harga istimewa. Dalam kad ini ada deposit $50 dan baki sedikit. 

Jadi bila sampai di Hong Kong, tak payah lagi nak cari kad Octopus. Masa balik nanti jangan lupa pulangkan balik untuk dapatkan balik deposit kad dan baki yang ada. Jangan jadi macam aku, tak sempat dan terlupa nak pulangkan balik kad Octopus. 

Sila emel kepada aku sekiranya betul-betul berminat. 

Jumpa lagi.

p/s: dapat juga merasa dimsum paling sedap. 

Tuesday, September 5, 2017

Cuti panjang!


Hari ini dah mula masuk kerja selepas 5 hari bercuti. Cuti panjang woo. Apa taknya cuti Hari Merdeka, Hari Raya Aidiladha dan yang paling istimewa cuti keraian sempena Malaysia menjadi juara dalam Sukan SEA baru-baru ini.

Kalau korang perasan, kalau cuti 5 hari rasa cepat je masa berlalu. Kalau kerja 5 hari rasa lama masa berlalu. Betul tak? Atau aku seorang je yang ada perasaan macam ni? 

Ikutkan hati malas nak masuk kerja tapi tak boleh sebab banyak nak buat hari ini. Sepanjang cuti panjang, kerja aku duduk rumah je. Kalau tak pun, pergi menyakat anak saudara aku di Putrajaya. Hahaha!!! 

So korang buat apa? Ada plan istimewa jalan-jalan ke? Aku tengah tunggu dan mengira hari untuk trip yang tak lama lagi. Rasa-rasa boleh teka tak? Ok, aku bagi tips sikit je. Cuba tengok side bar yang ada di sebelah kanan. Masih tak dapat teka lagi? Kalau sesiapa berjaya teka, ada hadiah menanti khas daripada aku. Aku beli istimewa dari sana. 

p/s: cergas weh. jangan malas-malas buat kerja! 

Wednesday, August 2, 2017

Long john untuk dijual

Aku ada longjohn untuk dijual yang belum dipakai lagi. Siap ada tag tu. Plan asal nak pakai masa nak ke India tahun lepas tapi bila cuba pakai tak muat pula. Sesiapa yang ada plan nak ke negara yang beriklim sejuk atau musim salji, bolehlah pertimbangkan untuk membelinya. 

Aku tak jual mahal. Untuk sepasang (baju dan seluar), aku jual dalam harga RM150 termasuk kos penghantaran. Boleh runding lagi kalau yang serius nak. 



Material longjohn ni bukan yang jenis licin. Lembut sahaja rasanya. Memang kalau pakai, akan terasa kehangatannya. Cewaah!

Kalau ada yang berminat, boleh emel kepada mazuriah@gmail.com.

p/s: teringin nak main salji lagi. tiba-tiba terasa sejuk. 

Tuesday, June 13, 2017

Namaste India - part 2

Pada hari kedua di India, pagi-pagi lagi dah bersiap untuk ke domestic airport. Destinasi seterusnya adalah ke Srinagar Kashmir dan perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Tak sabar ke sana sebenarnya sebab selalu tengok dalam TV, tempatnya memang cantik.

Bila sampai di domestic airport, banyak betul pemeriksaan dijalankan sampaikan setiap orang akan diperiksa badan. Untuk ke Srinagar, kami menaiki Indigo Flight dan Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar. 

Keluar sahaja dari Srinagar Airport, punyalah sejuk sebab hari hujan. Aku memang tak tahan sejuk, cepat-cepat aku keluarkan jaket. Mahu menggigil badan kalau aku tak pakai jaket. 

Sepanjang berada di Srinagar, Mr. Farooq telah menjadi tour guide kami. Oh ya, kami juga dibahagikan kepada 3 kumpulan yang terdiri daripada A, B dan C. Untuk pengetahuan semua, aku telah diletakkan dalam kumpulan B. 

Ahli kumpulan B yang ceria selalu. 

Yang best lagi, dapat pula driver van yang handsome. Handsome macam Hugh Jackman yang berlakon dalam cerita Wolverine. Dahlah tu suka pasang lagu hindustan dan sudah pasti aku memang suka sangat. Baru feel Hindustan. Hehehe..

Inilah driver van B. Suka sangat bawa laju-laju. 

Kami menetap di Houseboat yang terletak di Dal Lake. Ada banyak Houseboat yang ada situ dan setiap Houseboat ada nama masing-masing. Nama Houseboat aku adalah The Pamposh. Katanya maksud Pamposh ialah sejenis bunga yang ada di India. 







Inilah rupanya Houseboat kami. 

Setiap houseboat ada penjaga yang memastikan keadaan Houseboat sentiasa kemas dan bersih. Perabot dan hiasan di dalam Houseboat kelihatan dah lama. Terasa macam zaman Kolonial Bristish sahaja. 

Mari aku kenalkan penjaga Houseboat aku iaitu Bashir dan Irfan. Tugas mereka bukan sahaja memastikan keadaan Houseboat dalam keadaan baik, malah mereka juga melayan dan menghidang makanan kami waktu makan. Tak pernah aku dilayan seperti anak raja sepanjang hayat aku. 

Bashir dan Irfan, penjaga Houseboat. 

Aktiviti kami diteruskan dengan melawat Tulip Garden. Pada asalnya kami diberitahu yang kami tak dapat masuk. Atas usaha ketua rombongan yang bersungguh-sungguh, akhirnya dapat juga masuk. Bila masuk, yang tinggal 1 baris bunga tulip sahaja daripada 70 jenis tulip. Bukan rezeki kami nampaknya. 


Yang tinggal warna kuning sahaja. 

Seteusnya kami dibawa ke kilang pembuatan permaidani. Di sini kami diberi penerangan bagaimana proses permaidani dibuat. Masih lagi dilakukan secara manual dan sebab itulah hasilnya sangat cantik dan halus. Harganya sudah pasti boleh tahan mahalnya. Aku tak ada plan nak beli pun cuma sekadar tengok-tengok sahaja. Ikutkan hati nak juga sambar 1 tapi bajet tak cukup. 


Tempat proses permaidani. 


Uncle ni bersemangat nak tunjuk permaidani yang ada. 

Tunjuk 1 dulu. 

Tempat pameran permaidani. Tengok tu, mahu cair dibuatnya. 

Singgah sebentar pekan Srinagar sebentar sebab ada yang nak cari barang. Kebetulan pula ada gerai yang menjual makanan tempatan. Nampak menarik dan ditambah pula baru lepas waktu hujan. Memang sesuai sangat kalau dimakan panas-panas.  

Besarnya roti. Makan seorang ni memang tak larat nak habis. 


Nampak macam keledek goreng. 


Seterusnya ke Mughal Garden. Cantik taman ni dengan lokasi menarik yang berhadapan pantai. Kalau dalam cerita hindustan, memang sah dah guling-guling badan. 





Sebelum pulang ke Houseboat, sempat lagi singgah ke kedai kain saree. Aku tak beli apa-apa pun. Mungkin angin untuk shopping belum sampai lagi. Aku tengok yang lain shopping sakan. Orang yang jual saree pasti gembira bila dapat pelanggan macam kami. 

Jalan pun sudah, shopping pun sudah. Masing-masing kelihatan penat. Apa lagi, naik shikara terus ke Houseboat. Di Houseboat makan malam dah disediakan. Makanlah jawabnya. Sedap betul kari di sana walaupun aku ni bukanlah peminat kari. Sedap tak terkata. 

Lepas makan malam, ada pula peniaga yang datang ke Houseboat yang menjual pelbagai barang. Barang-barang daripada hasil kulit, barang kemas, alat perhiasan dan banyak lagi. Aku tak larat nak layan penjual yang datang ni. Kalau dilayan sangat, tak tahulah pukul berapa baru mereka keluar. 

Pada hari esok, lokasi seterusnya yang pernah menjadi penggambaran cerita Bajrangi Baijaan. Cantik sangat tempat tu. 

p/s: kali pertama main salji. 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails