Thursday, August 19, 2021

Peach Strudel

Baru-baru ini aku ada buat peach strudel untuk birthday adik aku. Alang-alang dah buat, buatlah lebih. Alhamdulillah dapatlah aku buat 4 kotak peach strudel. 

Selepas siap peach strudel, aku nak hantar kepada adik-adik aku dengan pakai perkhidmatan Grab. Dah sekarang masih belum boleh lagi merentas daerah apa lagi merentas negeri. Aku tinggal di Bangi, nak hantar peach strudel ke Putrajaya dengan Kelana Jaya memang tak lepaslah kalau tak ada kebenaran. 

Masa aku nak panggil perkhidmatan Grab, baru sahaja lepas hujan. Sudah pasti jalan licin yang boleh membahayakan kepada penunggang motorsikal dan kereta. 

Dipendekkan cerita, macam-macam rupa peach strudel sampai ke tangan adik-adik aku. 

Ini hasil peach strudel yang baru siap.

Peach strudel di Putrajaya. Buah peach dah senget-senget. Boleh makan lagi. 

Peach strudel di Kelana Jaya. Peach strudel dah hancur.

Rupa-rupanya masa adik Grab nak hantar ke Kelana Jaya, kena langgar. Habis luka dan berdarah kaki dia. Banyak kali dia minta maaf sebab rosakkan peach strudel. Bila aku dapat tahu, aku tak marah pun kepada adik Grab tu. Bagi aku, peach strudel tu boleh ganti dan boleh buat lain. Yang penting keselamatan diri masa membawa motorsikal. Aku selalu pesan, bawa motor elok-elok sebelum bertolak daripada rumah aku. Doakan mereka selamat sampai ke destinasi. 

Nak bagi duit untuk beli ubat, adik Grab tu tak nak ambil. Agaknya rasa bersalah sebab rosakkan peach strudel. Aku pun bagilah tips sikit dan tak lupa bagi rating bagus. Moga adik Grab tu, selamat dan sihat hendaknya. Terima kasih sebab hantar peach strudel. 

Wednesday, August 18, 2021

Work Station

Semenjak aku bekerja dari rumah, aku ada beli beberapa keperluan untuk memudahkan aku bekerja. Setakat ini masih lagi tambahan peralatan terutamannya kerusi. Kerusi yang ada sekarang tak boleh nak duduk lama-lama. Memang lenguh dibuatnya. 

Asalnya bilik ini dah lama tak pakai semenjak wan meninggal dunia pada tahun 2019 dan baru-baru ini ingatkan nak digunakan untuk mak saudara tapi dia pun baru meninggal dunia bulan lepas. Daripada terbiar sahaja, adalah lebih baik aku pakai kan? Lagipun selama ini aku buat kerja tak ada yang tetap. Sekejap di meja makan, sekejap di bilik tidur dan mana-mana sahaja yang aku rasa sesuai. 

Sempoi je work station aku ni. 

Nak kumpul duit dulu, baru boleh beli kerusi baru. Alang-alang nak beli, beli kerusi gamers terus. Hahaha! Nampak gaya pun, lama lagi aku boleh balik semula ke pejabat. 

Wednesday, July 7, 2021

Saya sudah divaksinasi

Semalam aku baru dapat suntikan vaksin dos pertama sinovac di Bangi Avenue Convention Centre. Alhamdulillah setelah 24 jam berlalu, semuanya ok. Tiada rasa demam, pening kepala dan muntah. 

Pada asalnya aku taklah mengharap nak dapat tarikh temujanji vaksin dalam masa terdekat sebab aku tahu ramai lagi kawan aku yang dah daftar lebih awal daripada aku tapi tak dapat lagi tarikh temujanji. Bila aku periksa MySejahtera, eh terus dapat tarikh temujanji vaksin. Sebelum ini aku dah cuba untuk dapatkan vaksin yang ditawarkan tapi tak berjaya. Jadi aku pasrah, belum ada rezeki lagi. 

Bila aku sampai pusat vaksin, semuanya berjalan dengan lancar. Tak sampai 1 jam, dah selesai semuanya. Aku siap bawa bekalan makanan dan minuman, manalah tahu akan mengambil masa yang lama. Memang aku ni dasar kuat makan, kan? 

Petugas-petugas yang ada sangat membantu dan peramah dari aku mula-mula masuk sampailah selesai proses vaksin. Terharu aku dibuatnya. 

Bukti aku dah vaksin. 

Ada lagi yang belum dapat tarikh temujanji vaksin? Sabarlah, 1 hari akan dapat juga. Aku tak kisah nak dapat vaksin apa. Yang penting dah dapat. Betul tak? 

Harap sangat bila dah dapat vaksin, jumlah kes positif covid 19 akan menurun. Tak sanggup aku tengok laporan semakin meningkat setiap hari. 

Yang penting, kita jaga kita! 

Saturday, June 19, 2021

Baking session

Untuk mengisi masa sepanjang PKP, angin untuk buat kuih datang melonjak-lonjak. Apa lagi aku nak buatkan? Patutlah bila timbang berat badan, naik tak terkata. 

Mula-mula buat kek untuk anak saudara, Harith Irfan yang ke-10. Sayang punya pasal, makcik ini lah sanggup buatkan. Siap minta nak kek lemon dan letak gambar Ni Giyuu. Apa Ni Giyuu tu?  Aku siap Google gambar sampai jumpa. 

Hasil kek untuk Harith Irfan. 

Lepas tu, adik aku forward tiktok buat peach strudel. Bahan nak buat memang tak banyak dan mudah dibuat. Kalau tak salah aku, bahan-bahan yang diperlukan ialah pastri kawanku, buah peach dan whipping cream. Rasanya memang sedap terutamanya masa sejuk. Nanti korang cari dan buat ya.

Peach strudel. Aku letak sekali lemon curd nak seimbangkan rasa manis dan masam. 

Ada beberapa kek aku buat tapi tak sempat nak ambil gambar contohnya kek marble, kek victoria sandwich dan kek pisang. Nak kata mahir sangat tu, aku tak berani nak cakap. Cukuplah sekadar untuk makan sama-sama. 

Friday, June 18, 2021

Temujanji imunisasi vaksin Covid-19

Pada 5 Jun 2021, ayah aku selamat terima dos pertama vaksin di Kajang. Nasib baik aku sempat periksa applikasi MySejahtera dia. Kalau tak periksa, manalah tahu terlepas temujanji. Nak tunggu lagi, tak tahu dapat bila. 

Alhamdulillah proses perjalanan mendapat dos pertama vaksin berjalan dengan lancar. Dalam masa 1 jam, dah selesai semua proses. Kebetulan masa sampai, orang tak ramai lagi. 

Aku nasihatkan untuk pergi temujanji vaksin, jangan lupa untuk:

1. Bawa kad pengenalan

2. Telefon bimbit yang menunjukkan temujanji MySejahtera 

3. Senarai ubat yang diambil (sekiranya ada) 

4. Pen untuk isi borang

Untuk temujanji dos kedua vaksin pada 26 Jun 2021. Harap semua berjalan dengan lancar. 

Semangat ayah aku ambil gambar dah dapat vaksin. 

Aku pula tak tahu bila nak dapat tarikh temujanji vaksin. Hari tu dah cuba tapi tak berjaya. Belum ada rezeki lagi nampak gayanya. Tunggu je lah sampai dapat. 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails