Showing posts with label Covid-19. Show all posts
Showing posts with label Covid-19. Show all posts

Tuesday, May 3, 2022

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2022

Hari ini adalah hari kedua kita menyambut Raya Aidilfitri. Kali ini kita diberi peluang untuk balik kampung dan beraya setelah 2 tahun kita PKP. Dibuatnya pula pada tahun ini rata-rata tak bersedia sebab pengumuman awal hari raya. Nasib baik aku dah siap sikit-sikit jadi taklah kelam-kabut sangat. 

Pada bulan Ramadan pula, memang mencabar sebab selama seminggu aku kuarantin sebab aku positif Covid-19. Pada 11 April 2022, aku dah rasa lain macam dengan badan panas. Aku ingatkan demam biasa tapi bila aku periksa dan buat ujian kendiri pada hari esoknya, aku disahkan positif Covid-19. Alhamdulillah sekarang aku dah sembuh dan boleh buat kerja seperti biasa. 

Lepas sahur buat ujian dan aku positif Covid-19. 

Sehari sebelum raya, aku dikejutkan dengan berita sedih. Kawan sekolah rendah meninggal dunia sebab kanser. Aku tak dapat bayangkan macamana keluarga kawan aku tu nak sambut hari raya nanti. Semoga kawan aku ditempatkan orang yang beriman, diampunkan dosanya dan rohnya dicucuri rahmat. 

Ok, mari aku kongsi sikit gambar raya semalam. Kepada semua aku ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin. 

Pakai baju raya lama sebab baju raya tak siap lagi.

Wednesday, July 7, 2021

Saya sudah divaksinasi

Semalam aku baru dapat suntikan vaksin dos pertama sinovac di Bangi Avenue Convention Centre. Alhamdulillah setelah 24 jam berlalu, semuanya ok. Tiada rasa demam, pening kepala dan muntah. 

Pada asalnya aku taklah mengharap nak dapat tarikh temujanji vaksin dalam masa terdekat sebab aku tahu ramai lagi kawan aku yang dah daftar lebih awal daripada aku tapi tak dapat lagi tarikh temujanji. Bila aku periksa MySejahtera, eh terus dapat tarikh temujanji vaksin. Sebelum ini aku dah cuba untuk dapatkan vaksin yang ditawarkan tapi tak berjaya. Jadi aku pasrah, belum ada rezeki lagi. 

Bila aku sampai pusat vaksin, semuanya berjalan dengan lancar. Tak sampai 1 jam, dah selesai semuanya. Aku siap bawa bekalan makanan dan minuman, manalah tahu akan mengambil masa yang lama. Memang aku ni dasar kuat makan, kan? 

Petugas-petugas yang ada sangat membantu dan peramah dari aku mula-mula masuk sampailah selesai proses vaksin. Terharu aku dibuatnya. 

Bukti aku dah vaksin. 

Ada lagi yang belum dapat tarikh temujanji vaksin? Sabarlah, 1 hari akan dapat juga. Aku tak kisah nak dapat vaksin apa. Yang penting dah dapat. Betul tak? 

Harap sangat bila dah dapat vaksin, jumlah kes positif covid 19 akan menurun. Tak sanggup aku tengok laporan semakin meningkat setiap hari. 

Yang penting, kita jaga kita! 

Friday, January 29, 2021

Sepatutnya aku di sana

Sepatutnya hari ini aku berada di Pulau Pinang tapi memandangkan PKP masih diteruskan hingga 4 Februari, terpaksalah aku batal trip aku. Bilalah agaknya dapat ke sana, aku pun tak pasti. Tunggu sahaja pengumuman Kerajaan seterusnya. Nasib baik dapat balik duit tiket kapal terbang walaupun bukan dalam bentuk tunai. 

Aku dah tak tahu nak ke mana sekarang. Alang-alang nak tunggu, adalah lebih baik aku tunggu pintu sempadan dibuka. Betul tak? Lama dah passport aku tak bercop. Kali terakhir adalah setahun yang lalu. 

Good thing, aku boleh simpan duit dulu. Kita kumpul banyak-banyak (macamlah banyak duit aku ni), kita enjoy puas-puas! Wishlist aku tu tak perlu aku cakap, memang semakin panjang senarainya. Hahaha. 

Ok, take care semua. 

Saturday, January 2, 2021

Aku dan Grab Car

Boleh katakan kerap juga aku ambil perkhidmatan Grab Car. Selalunya aku akan ambil untuk keluar makan tengahari. Alasannya, malas nak memandu, mencari parking, bayar tiket parking dan sebagainya. (banyak betul alasannya) 

Bila naik Grab Car, aku suka sembang dengan pemandunya. Ada yang peramah dan ada yang pendiam. Dalam tempoh yang singkat untuk sampai ke destinasi, rajin juga mereka bercerita pengalaman mereka. Kebanyakkan yang aku jumpa yang bawa Grab Car adalah kesan daripada Covid 19. 

Bayangkan ada yang pernah bekerja sebagai jurutera kapalterbang terpaksa diberhentikan kerja. Untuk menampung dan kelangsungan hidup, mereka mengambil keputusan untuk membawa Grab Car. 

Bila jadi macam ni, aku ingin membantu mereka dan selalunya apa yang dapat aku lakukan dengan memberi lebih daripada tambang yang sepatutnya. Sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan mereka. 

Ini memberi pengajaran kepada aku dan semua. Bersyukurlah kepada mereka yang masih ada lagi pekerjaan dan pendapatan. 

Monday, May 4, 2020

Apa yang paling dirindui?

Sepanjang PKP, banyak betul yang aku rindu. Aku tak dapat jumpa kawan-kawan, pergi makan di kedai makan, lepak-lepak dan banyak lagi. 

Walaupun boleh telefon atau hantar mesej, perasaan tu tak sama. There is no personal touch. Boleh katakan hampir setiap hari aku buat video call dengan adik-adik atau anak saudara untuk lepaskan rindu. Aku siap pesan, lepas PKP kita jumpa dan makan sama-sama ya. Sekarang ni kita bersabarlah. 

Kerja di rumah memang mencabar aku. Bunyi macam senang tapi hakikatnya susah. Banyak betul dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi. Sesungguhnya aku memang insan yang lemah macam lagu Rayuanku yang dinyanyikan oleh Rohana Jalil. 

Setiap hari aku tekad nak siapkan kerja tapi bila buka laptop, mulalah mata rasa mengantuk, nak tengok TV, nak beli barang dan macam-macam. Banyak je kan alasan aku? 

Hari ini kita berpuasa hari ke 11. Terasa sangat bila bazar Ramadhan tak ada dan lebih-lebih lagi tak dapat nak solat terawih jemaah di surau atau masjid. Betul tak? Kita boleh lawan dan menang menghadapi Covid-19 sekiranya kita patuh arahan Kerajaan. Cepat-cepatlah masalah ini dapat diselesaikan. 

Aku harap semua jaga diri baik-baik. InsyaAllah semua akan kembali kepada asal. Aku rindu sangat dengan korang!! Tak tahu nak gambarkan perasaan aku sekarang. Nak jalan-jalan pun dah tak boleh. Kali terakhir aku jalan-jalan, pada bulan Januari 2020 ke Padang Besar dan Danok. Bila tengok harga tiket kapalterbang memanglah murah tapi apa kan daya, tak boleh. Kalau tak, awal-awal lagi aku dah beli tiket kapalterbang. 

p/s: ngidam nak makanlah 

Wednesday, April 22, 2020

Food delivery

Bila dah lama duduk di rumah sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), teringin pula nak makan macam-macam. Kalau sebelum ini, boleh sahaja pergi dan order makanan ke kedai yang hendak. Sekarang dah tak  boleh lagi. Kalau hendak makan, sama ada bungkus atau food delivery.

Yang kelakarnya tu, pantang betul dengar bunyi motor. Asal dengar je, sibuk nak tahu ke mana perginya motor food delivery tu. Di kawasan rumah aku ni, yang aku perasan ada 3 buah rumah yang selalu akan dikunjungi oleh Food Panda atau Grab Food dan rumah aku di antaranya. Nampak sangat aku ni kuat makan. Hahaha!!!


Bila angin rajin nak masak, macam-macamlah resepi aku cuba buat. Ini adalah antara yang aku buat sepanjang tempoh PKP. 



Image may contain: food
Kek butter

Image may contain: food
Cinnamon roll

Image may contain: food
Kacang pool

Image may contain: food
Lontong 


PKP fasa 3 akan berakhir 28 April 2020 dan untuk mengetahui sama ada akan sambung atau tak, kita tunggu arahan Perdana Menteri nanti. Untuk memutuskan rangkaian Covid19, sama-samalah kita duduk di rumah. Kita boleh lakukannya. 

p/s: #kitajagakita

Tuesday, March 24, 2020

Ujian Covid-19

Minggu lepas aku, ayah dan adik buat ujian saringan Covid-19 memandangkan aku ada direct contact dengan pesakit positif Covid-19. Sebelum ini ada buat rujukan dengan Klinik Kesihatan sama ada aku perlu buat ujian saringan atau tak. Selagi tiada tanda-tanda demam, badan panas, batuk dan sebagainya, jangan buat apa-apa dahulu. 

Baru-baru ini, ada berita daripada opis memaklumkan untuk buat ujian saringan jadi aku pergilah. Sekurang-kurangnya aku tahu status kesihatan aku sama ada positif atau negatif Covid-19. 

Pada pagi 17 Mac 2020, aku pun buatlah ujian saringan di kawasan opis aku. Berdebar-debar juga rasanya sebab aku dapat tahu kena ambil sample melalui hidung dan mulut. 

Image result for saringan ujian covid 19

Inilah caranya mereka ambil sample saringan ujian Covid-19. Memang dalam kena jolok hidung dan mulut, mahu tercekik aku dibuatnya. Ayah aku kena 2 kali sebab tak cukup sample. Aduhai! 

Lepas dah buat saringan ujian Covid-19, ada lagi azab yang perlu aku tempuh. Nak tunggu jawapan keputusan pula. Katanya dalam 2-3 hari akan dapat jawapan keputusan melalui emel. Hari-hari aku tengok emel dan pernah juga terbawa-bawa dalam mimpi sebab risau sangat. Badan pula rasa sekejap panas dan sekejap sejuk, kadang-kadang batuk. Ish itu macam ada tanda-tanda Covid-19 je. 

Pada 20 Mac 2020, sampai juga jawapan keputusannya. Alhamdulillah, semuanya negatif! Rasa nak menangis aku dibuatnya. Bersyukur sangat-sangat.

Setiap hari ada sahaja peningkatan pesakit Covid-19 dan baru-baru ini berlaku kematian di Malaysia. Aku ingin menyeru kepada semua, duduk sahaja di rumah sekiranya tiada urusan di luar. Boleh kan? 

p/s: jaga kesihatan ya semua. 

Thursday, March 19, 2020

Stay at home

Untuk tahun 2020, baru hari ini aku nak update blog. Jangan marah ya kawan-kawan. 

Semenjak isu Covid-19 semakin menular di Malaysia, aku memang dah batalkan segala rancangan untuk jalan-jalan. Kepada sesiapa yang mengenali aku, memang tak sah kalau aku tak jalan kan? 

Aku dah buat tempahan ke Hatyai pada bulan April dan demi keselamatan aku terpaksa lupakan trip tu. Mana lagi penting? Nak buat macamana, ada rezeki boleh pergi lain kali. 

Sebenarnya aku dah lama kuarantinkan diri sejak 4 Mac 2020 sebab ada 1 kes positif Covid-19 di opis. Baru-baru ini aku dah buat saringan ujian Covid-19 dan sekarang masih menunggu keputusannya. Harapnya semua ok. Doakanlah ya. 

Kepada kawan-kawan yang dikasihi, mari kita sama-sama sahut seruan kerajaan untuk tinggal di rumah. Tak lama pun dalam 2 minggu sahaja. Aku asalnya memang mati kutu dibuatnya tapi lama-lama aku terima keadaan ini. 

Kalau tak ada urusan penting, tak payah keluar. Tak perlulah balik kampung dahulu. Kalau boleh online, online je. Boleh kan? 

p/s: berdebar tunggu keputusan ujian. 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails