Showing posts with label Sambutan raya. Show all posts
Showing posts with label Sambutan raya. Show all posts

Tuesday, May 3, 2022

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2022

Hari ini adalah hari kedua kita menyambut Raya Aidilfitri. Kali ini kita diberi peluang untuk balik kampung dan beraya setelah 2 tahun kita PKP. Dibuatnya pula pada tahun ini rata-rata tak bersedia sebab pengumuman awal hari raya. Nasib baik aku dah siap sikit-sikit jadi taklah kelam-kabut sangat. 

Pada bulan Ramadan pula, memang mencabar sebab selama seminggu aku kuarantin sebab aku positif Covid-19. Pada 11 April 2022, aku dah rasa lain macam dengan badan panas. Aku ingatkan demam biasa tapi bila aku periksa dan buat ujian kendiri pada hari esoknya, aku disahkan positif Covid-19. Alhamdulillah sekarang aku dah sembuh dan boleh buat kerja seperti biasa. 

Lepas sahur buat ujian dan aku positif Covid-19. 

Sehari sebelum raya, aku dikejutkan dengan berita sedih. Kawan sekolah rendah meninggal dunia sebab kanser. Aku tak dapat bayangkan macamana keluarga kawan aku tu nak sambut hari raya nanti. Semoga kawan aku ditempatkan orang yang beriman, diampunkan dosanya dan rohnya dicucuri rahmat. 

Ok, mari aku kongsi sikit gambar raya semalam. Kepada semua aku ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin. 

Pakai baju raya lama sebab baju raya tak siap lagi.

Thursday, June 28, 2018

Mood raya lagi

Lama dah tak update blog kan? Nak buat macamana aku masih dalam mood raya. Acara open house ada sana sini, sudah pasti aku tak lepaskan peluang untuk turut serta. 

InsyaAllah aku cuba untuk puasa 6 dan setakat hari ini aku dah puasa 3 hari. Sementara nak tunggu gaji masuk bulan depan, bolehlah jimat cermat sikit. Sesungguhnya dugaan puasa kali ini lebih mencabar daripada puasa dalam bulan Ramadhan. 

Sambutan hari raya bagi aku, biasa-biasa sahaja. Baju raya aku hantar awal untuk tempah tak siap. Sabar je lah. Sudahnya aku pakai baju mana yang ada. Nak buat macamana, ikut dasar perbelanjaan berhemahlah katakan. 

Aku balik kampung ke Temerloh, Pahang pada hari raya pertama sebelah petang. Ingatkan dah ok tapi rupanya tak. Jalan sesak terutamanya Tol Gombak jadi terpaksa ikut jalan lain. Nasib baik sampai juga kampung walaupun sampai lambat. 

Untuk raya kali ini, tak tahu kenapa aku nak sangat makan kuih goyang. Banyak kedai aku cari tapi tak jumpa. Nasib baik masa aku pergi beraya baru-baru ini, dapat juga aku merasa walaupun sikit. Sebenarnya tak cukup sebab aku nak makan 1 balang kuih goyang! Tamak kan? Ada siapa tahu mana nak cari? Nanti beritahu aku ya. 

Di sini aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maafkan segala salah dan silap. 

p/s: kalau makan kuih, ingat aku sekali. 

Wednesday, May 30, 2018

Kad Raya - give away



Assalamualaikum.

Macamana puasa setakat hari ini? Semua ok? 

Untuk meneruskan tradisi seperti sebelum ini, aku nak beri kad raya kepada yang berminat. Kali ini aku peruntukan 4 keping sahaja. Konon nak belanja berhemahlah katakan. Nak sambut seruan PM. Hehehe... 

Istimewa kad raya yang aku nak beri ini khas daripada Pos Malaysia. Download application nanti boleh tengok gambar hologram raya. Cantik tau. 

Apa lagi? Jangan tunggu lama-lama. Siapa cepat dia dapat. Sila emel kepada mazuriah@gmail.com dan jangan lupa berikan butiran nama dan alamat. Tak kisahlah nama betul ke nama samaran ke nama glamour gitu. Yang penting alamat betul nanti tak sampai kad raya aku pula. 

p/s: ada lagi yang hantar kad raya ni? 

Tuesday, July 21, 2015

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2015

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua!

Hari ini masuk hari raya yang kelima. Ada sesiapa dah mula bekerja hari ini? Aku masih bercuti sehingga hari Rabu. Sengaja ambil cuti lama-lama memandangkan cuti tahunan aku masih banyak lagi. Buat apa nak simpan?

Buat pertama kali tahun ni aku tak ambil gambar raya. Percaya tak? Sebenarnya sehari sebelum raya ada drama telemovie yang bertajuk punah harapan baju kurung. Nak tahu kisahnya? 

Kisahnya bermula masa aku hantar kain untuk buat baju pada bulan April, aku dah pesan kepada Nyonya (tukang jahit aku) yang tahun ini aku nak pakai baju kurung moden dengan kain lipat tepi. Kononnya nak pakai kain yang dibeli dari Ho Chi Minh untuk dibuat baju raya tahun ini. 

Dipendekkan cerita, Nyonya telah salah jahit. Lain yang minta, lain yang aku dapat. Agaknya Nyonya dah keliru sebab banyak sangat tempahan yang diterima, Nyonya telah buatkan baju kurung biasa. Habis 7 pasang kain salah dibuatnya. Nak marah pun tak guna, dah terlewat. Terima jelah seadanya daripada tak ada langsung. 

Aku cuba berfikiran positif. Sekurang-kurangnya aku ada alasan kukuh untuk ke Ho Chi Minh lagi untuk beli kain pasang banyak-banyak. Amik kau! Tiket ke Ho Chi Minh aku dah tempah pada tahun hadapan. Ho Chi Minh, kau tunggu aku ya. 

Tahun ini aku beraya ke Kuala Pilah (sebelah arwah mak) dan Temerloh (sebelah ayah). Sempatlah berjumpa saudara-mara yang dah lama tak jumpa. Dalam diam-diam, pada bulan Syawal juga akan diadakan Majlis Perkahwinan. Tahniah diucapkan. Oops bukan Majlis Perkahwinan aku. Aku sendiri pun tak tahu bila giliran aku. Korang doakan ya cepat-cepat jumpa Abang Long. 

Semalam aku balik dari Temerloh memang sesak betul di jalanraya di kawasan Bentong-Genting Sempah. Nasib baik kami balik ikut jalan masuk ke Karak dan terus ke Kuala Klawang. Jauh memang jauh tapi yang penting dapat elak bertembung jalan sesak. 

Mari aku kongsi gambar raya yang aku ciluk daripada Facebook pakcik aku. Hehehe..

Melantak je kerja aku. 

Penuh dengan kereta. 

p/s: semoga bergembira menyambut hari raya. 

Sunday, August 24, 2014

Sambutan raya 2014

Syawal dah nak sampai ke penghujungnya, aku baru nak cerita pasal sambutan raya pula. Istimewa pada tahun ini pada hari raya pertama, aku sekeluarga beraya di kampung arwah emak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kalau tak sebelum ini, aku balik pada hari raya ketiga atau keempat. Masa ini dah tak ramai orang di kampung sebab dah pulang ke rumah masing-masing. Kalau ada pun, makcik-makcik yang tinggal berdekatan dengan kampung. 

Bila dapat balik kampung arwah emak, memang meriah. Dapat jumpa saudara-mara yang dah lama tak jumpa. Balik kampung ayah memang seronok tapi tak semeriah macam di kampung arwah emak. Mungkin sebab adik-beradik arwah emak ramai jadi itu yang membuatkan suasana meriah. Kalau tak percaya, cuba tengok gambar ini. 

Alamak ramai tak sedia nak ambil gambar. 

Ini baru ok sikit. Ini pun tak semua yang ada. 





Wajah-wajah ceria di hari raya. 


p/s: macamana sambutan raya korang? 

Saturday, August 16, 2014

Majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol 2014

Majlis permuafakatan keluarga Senyum Jempol untuk tahun ini berlangsung pada hari ketiga Syawal di Taman Temerloh Jaya. Sambil kita bergembira meraikan menyambut kedatangan bulan Syawal, diadakan sekali majlis ini supaya ikatan ukhuwah yang dibina tidak terputus. 



Lokasi Majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol 2014. 

Serba sedikit sejarah keluarga Senyum Jempol ini asalnya dari Kampung Lubuk Kecik yang terletak lebih kurang 4km di seberang Kampung Pangsenam, Jalan Temerloh ke Triang/Bera. Ia diterokai oleh orang melayu pada akhir tahun 1800 semasa pemerintahan Sultan Pahang pertama, Sultan (Wan) Ahmad Shah pada tahun 1856-1914. 

Bermula dengan Haji Awang Nayib iaitu orang ternama di Kampung Lubuk Kecik yang merupakan ketua, ulama, imam dan pawang di kampung tersebut. Beliau kemudiannya bernikah dengan Hajjah Timah dan keturunan beliau semakin berkembang. Sehingga kini keturunan Haji Awang Nayib sudah menjangkau ke generasi keenam. Adalah menjadi perkara wajib untuk mengetahui salasilah keturunan keluarga hingga ke peringkat moyang. Apabila kita mengetahui salasilah keturunan keluarga, dapatlah kita mengambil iktibar dan panduan. 

Majlis permuafakatan keluarga Senyum Jempol kali ini dimulakan dengan ucapan aluan tuan rumah iaitu wakil daripada keluarga Busu. Kemudian ucapan daripada wakil keluarga lain iaitu Ali, Daud, Yang Minah dan Meriam. Tak lupa juga berselawat, tahlil dan bacaan doa selamat. Majlis ini diakhiri dengan jamuan makan dan sesi fotografi. 

Sebahagian ahli keluarga Haji Awang Nayib. (ambil gambar pakai handphone. kabur sikit) 

Semasa majlis ini dijalankan, banyak perkara yang dibincangkan antaranya ialah:

1. Mengadakan aktiviti hubungan mesra seperti sukaneka. 
2. Mengadakan pengisian ilmu.
3. Khairat kematian.
4. Mengumpul dana untuk mengadakan aktiviti tahunan.
5. Mengemaskini maklumat keluarga melalui social networking. 

Untuk sambutan pada tahun hadapan dijangka akan diadakan di Buntut Pulau. Semua ahli keluarga akan bersama-sama memberi sumbangan untuk menjayakan majlis ini. Sama-samalah kita tunggu dan jumpa tahun depan semoga majlis ini semakin bertambah baik. 

p/s: seronok jumpa balik dan bermesra dengan keluarga. itu baru sambutan raya kan? 

Sunday, July 27, 2014

Salam Aidilifitri dan maaf zahir batin

Cepatnya masa berlalu. Siapa sangka esok kita nak raya kan? Selamat Hari Raya Aidilfitri aku ingin ucapkan kepada semua. Andai ada terkasar bahasa, minta maaf ya. Tahun ini aku cuti raya 1 minggu. Yeaah! Nasib baik boss dah luluskan permohonan cuti aku. 

Persiapan hari raya tahun ini biasa-biasa sahaja. Baju raya aku memang dah siap awal sebelum puasa lagi. Untuk juadah pagi raya nanti, aku dengan adik-adik pakat sama-sama untuk masak. Aku sediakan kuah lontong, kuah kacang, nasi impit dan kek carrot. Adik-adik aku pula sediakan rendang ayam dan pulut. Tak perlu nak masak banyak-banyak sebab lepas solat raya, kami akan balik kampung sebelah arwah mak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 

Di kampung pasti lagi meriah dengan makanan yang disediakan tapi antara banyak-banyak makanan, aku paling rindu rendang ayam arwah wan. Memang tiada siapa boleh lawan setakat ini. Aku pernah cuba nak buat tapi tak pernah jadi. 

Hari raya kedua baru balik kampung sebelah ayah di Temerloh, Pahang memandangkan pada hari ketiga ada perjumpaan keluarga. Kalau tak salah aku, tahun ini adalah sambutan kali kelima. Nanti aku update cerita pasal perjumpaan keluarga tu. 


p/s: kalau makan kuih, ingatlah aku sekali ya. 

Thursday, August 22, 2013

Majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol 2013

Aku dah lama nak update blog aku tapi asyik bertangguh sahaja. Sejak aku masuk kerja lepas cuti raya, banyak kerja nak uruskan sampai terabai blog aku ni. Oleh sebab kita masih dalam mood raya lagi ni, aku nak cerita pasal aktiviti raya aku baru-baru ini. 

Pada hari raya ketiga, diadakan Majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol di kampung aku di Temerloh, Pahang. Majlis ini diadakan setiap tahun dan tahun ini adalah tahun keempat. Yang istimewanya tahun ini ialah giliran keluarga aku, keluarga Daud menjadi tuan rumah. Sesiapa yang nak tahu lebih lanjut, boleh rujuk untuk sambutan majlis untuk tahun 2011 dan 2012. 

Tak sangka pula dalam sibuk uruskan majlis ini, ada pula yang tegur aku pasal blog aku ni. Alamak terasa glamer pula akak. Auw! Siapa sangka kan, blog aku ni juga dibaca oleh saudara-mara aku. Terima kasih kerana sudi singgah blog aku ni. 

Berbalik pula cerita majlis ini, selalunya majlis ini diadakan pada hari raya kedua atau ketiga. Kalau lambat sangat diadakan, takut tak ada sambutan pula sebab ramai yang dah pulang ke rumah masing-masing di bandar. Sempena hari yang mulia ini, masa inilah kita dapat berjumpa saudara-mara yang dah tak lama jumpa dan mengeratkan silaturrahim sesama kita. 

Poster Majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol.  

Majlis bermula pada pukul 10.30am tapi sebenarnya mula pukul 9.00am. Biasalah, tunggu orang ramai datang baru boleh mula. Sebelum kita mula, kena daftar dulu. 

Rajin cucu-cucu Ayah Cik melayan orang datang mendaftar. 

Majlis bermula dengan ucapan daripada wakil keluarga Ali, Yang Minah, Mariam, Daud dan Busu. Dalam ucapan ada juga disampaikan pesanan, nasihat, sejarah setiap keluarga dan pada masa yang sama, kita boleh kenal daripada keluarga mana. Tak salah aku, ramai juga yang datang ada dalam 400 orang semuanya. 

Wakil keluarga berucap.

Sebahagian keluarga yang hadir. 

Ada cabutan bertuah tapi macam biasa aku memang tak pernah dapat. Alamak Mak Tam dapat hadiah cabutan bertuah. Tahniah!

Orang penting dalam menghidang makanan. 

Lepas makan tengahari dalam pukul 1 lebih, majlis pun bersurai. Tahun depan giliran keluarga Ali pula yang akan menguruskan. InsyaAllah ada rezeki, berjumpa lagi kita ya. 

p/s: seronok dapat berjumpa kembali. 

Monday, August 12, 2013

Sambutan raya 2013

Selamat pagi semua. Ada yang dah mula kerja hari ini setelah bercuti panjang sempena hari raya Aidilfitri? Aku masih bercuti lagi dan hari ini rasanya tak ke mana-mana. Sesiapa nak datang beraya ke rumah aku, jemputlah datang. Hehehe...

Sepanjang sambutan raya baru-baru ini, aku sentiasa dikelilingi dengan sanak-saudara yang jauh dan dekat. Bayangkan hari raya pertama, rumah aku diserbu oleh keluarga sebelah ayah. Hari raya kedua aku sekeluarga balik ke Pahang untuk majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol pada hari raya ketiga. Nanti aku akan ceritakan lebih lanjut mengenai majlis ini dalam catatan seterusnya. Ok? Semalam pula beraya di Seremban keluarga sebelah arwah mak.

Tak menang tangan dibuatnya tapi bagus juga sebab masa inilah kita dapat jumpa sanak-saudara terutamanya yang jarang jumpa. 

Gambar hari raya pertama yang diambil oleh Hadi. Muka penat tapi nak senyum juga. 

p/s: sambung lagi cerita raya nanti. 

Tuesday, August 6, 2013

Cuti raya

Selamat pagi semua. Aku masih bekerja hari ini. Ada sesiapa dah mula bercuti? InsyaAllah aku mula bercuti esok sampai 15 Ogos. Amik kau 9 hari aku cuti. Ikutkan hati nak sambung lagi cuti tapi aku rasa macam melampau pula. Macamlah jauh sangat aku nak balik kampung. Kalau balik pun, balik ke Pahang (kampung ayah) dengan Negeri Sembilan (kampung arwah mak). Sesiapa nak beraya ke Bangi, jemputlah datang ke rumah ya.

Kepada yang pulang ke kampung hari ini, jalan baik-baik. Semoga selamat pergi dan kembali. 

Tak lupa juga aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua. Semoga bergembira pada hari yang mulia ini. 

p/s: rasa sekejap dah nak raya kan? 

Monday, September 3, 2012

Mini potluck

Potluck yang tak dirancang sebenarnya. Jemputan pun tak ramai cuma adik-beradik dan kawan rapat. Bila dah kumpul semuanya, mahu riuh dibuatnya. 

Aku sediakan kambing panggang dan jangan tak tahu ini adalah percubaan pertama. Hasilnya? Sangat memuaskan. Aku perap selama 2 malam dan panggang 3 jam (kalau panggang lama lagi, mesti lagi best). 

Kambing panggang yang siap dihiris.

Makanan yang lain? Mestilah ada. 
Dari atas kiri: garlic bread, pasta tuna, rock melon, salad kentang, sup cendawan dan salad. 

Dari atas kiri: beraneka minuman, lemon, ayam goreng radix, kuih raya, air oren dan kerepek. 

Untuk pengetahuan semua, boleh dikatakan kebanyakan makanan yang dihidangkan adalah home cook. Cewaah!

Ayah dengan cucu-cucu lelaki. 

Girls only ok. 

Aisya, si mata bulat. 

p/s: boleh buat lagi ni. next..rumah siapa pula. 

Friday, August 24, 2012

Beraya di Juasseh, Kuala Pilah

Sementara aku masih bercuti panjang lagi, hari ini aku dan adik aku mengambil kesempatan beraya ke kampung arwah mak di Juasseh, Kuala Pilah. Memang jarang aku balik ke Juasseh sejak mak aku meninggal dunia pada tahun 2001 dan wan pun meninggal dunia pada tahun 2010. Kalau balik kampung pun, sama ada balik beraya atau ada kenduri. Sayang kan.. dah tak ada siapa nak jaga rumah arwah wan. 

Alhamdulillah, atas berkat usaha makcik aku (adik kepada arwah mak), rumah arwah wan baru sahaja selesai diubahsuai supaya tahan lebih lama. Maka, sambutan raya tahun ini, dapatlah aku merasa rumah baru. Cewaaaah!

Pandangan hadapan rumah. Yang bahagian warna coklat sahaja kekal original. Yang belakang dah habis ubahsuai. Tangga depan pun dah tukar sekali. 

Ini rumah arwah Wan Teh, adik arwah wan yang bersebelah rumah arwah wan. 

Memang seronok kalau beraya di kampung sebab kawasan rumah yang sangat luas. Kalau ada budak-budak, memang bestlah. Puas 1 rumah main kejar-kejar. 

Habis berpeluh-peluh Hadi dibuatnya. Berlari-lari rumah arwah moyang. 

Sebelum ke rumah arwah wan, sempat lagi singgah rumah makcik aku (adik arwah mak juga). Makcik aku siap sediakan masakan istimewa mee kari. "Mee kari Acik Enon memang terbaik!"

Sesi makan mee kari bersama-sama sepupu.

Inilah adik-adik arwah mak,  Acik Enon dan Acik Wok.

Kalau nak dibandingkan beraya di kampung belah ayah dengan arwah mak, aku rasa beraya di kampung arwah mak lagi happening. Mungkin sebab adik-beradik arwah mak ramai, jadilah ramailah yang balik kampung dan suasana menyambut raya memang meriah. Malah setiap kali raya, rumah arwah wan memang menjadi tumpuan, memang orang tak putus-putus datang dari pagi sampai ke malam. 

p/s: tinggal beberapa hari cuti. minggu depan dah mula kerja. oh no!!!

Wednesday, August 22, 2012

Majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol

Ada yang dah mula kerja hari ni? Aku masih bercuti lagi tapi badan tak berapa sihat, tiba-tiba kena selsema pula. Agaknya terlebih makan rendang masa beraya. Hehehe...

Untuk pengetahuan semua, tahun ni aku sekeluarga beraya di Bangi sahaja. Ramai juga yang tak balik kampung yang senasib dengan aku kat sini. Ada sesiapa juga yang tak balik kampung macam aku? Don't worry, beraya di Bangi ok apa. Tak payah nak fikir pasal kesesakan jalanraya. Betul tak? 

Semalam aku sekeluarga balik juga ke kampung sebelah ayah di Temerloh sebab ada Majlis Permuafakatan Keluarga Senyum Jempol. Tak salah aku, tahun ini adalah tahun ketiga dilaksanakan. Apa yang aku dapat aku simpulkan ini juga perjumpaan keluarga Hj. Awang Nayib dan Hjh. Timah. 

Pada  masa yang sama, dapatlah aku kenal saudara mara yang tak pernah jumpa. Mana yang tak kenal, masa inilah kita kenal. Mana yang dah kenal, masa inilah kita bertambah erat. Alhamdulillah, sambutan untuk tahun ini lebih menggalakkan. (sebab dah kali ketiga jadi lebih tersusun agendanya) Lebih kurang 400 orang telah mendaftarkan diri semalam. Perrgghh ramai gila! Untuk perjumpaan keluarga tahun lepas, boleh rujuk di sini. 

Serba sedikit mengenai keluarga Hj. Awang Nayib dan Hjh. Timah, mereka mempunyai 5 orang anak iaitu:
1. Ali
2. Daud
3. Yang Minah
4. Busu
5. Meriam
Generasi keluarga Hj. Awang Nayib dan Hjh. Timah

Keluarga aku adalah daripada keturunan Daud dan Daud adalah moyang aku. Masa perjumpaan, untuk mengetahui siapa daripada keluarga mana, terdapat 5 warna iaitu merah, kuning, coklat, hijau dan biru yang mewakili setiap keluarga. Untuk keluarga Daud ialah warna merah. Jadi setiap ahli keluarga Daud, kena pakai baju yang bertemakan warna merah tapi aku pakai warna hijau. Memang tak ikut peraturan betul. 

Mari kita saksikan apa yang berlaku semalam. 

Siap ada banner lagi tu. 

Khusyuk mendengar ucapan daripada setiap wakil keluarga. 

Cak! Sempat lagi tu ambil gambar. 

Acara potong pulut dan kek. 

Makanlah apa lagi. 

Bila nak makan ni? 

Ada acara cabutan bertuah tapi dapat nombor yang tak berapa bertuah. 

Inilah orang yang dapat hadiah cabutan bertuah. Sukanya dia. 

Dah makan-makan, sesi bergambar pula. Ini baru sikit je. 

Update cerita.

Update cerita sambil makan-makan. 

Dengar cerita, untuk perjumpaan keluarga tahun depan adalah giliran keluarga  Daud. Itu keluarga aku! Waah..kena siap sedia apa nak buat tahun depan. Banyak nak kena buat ni. Aku bolehlah nak sumbang apa yang patut. "So Ayah Cik, kalau nak apa-apa, kabo kat koi ok." Tiba-tiba pula tukar slang Temerloh. Perasan betul. 

p/s: tak sabar nak buat perjumpaan tahun depan.

Sunday, August 19, 2012

Salam Aidilfitri


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. 

p/s: semoga bergembira bersama keluarga dan orang tersayang. 

Thursday, August 16, 2012

Cuti raya

Senyap je kat opis ni. Ramai dah mula cuti tapi aku masih lagi di sini. InsyaAllah esok aku akan bermula cuti sampai 26 Ogos. Amik kau! 10 hari aku ambil cuti. Hehehe..

Eiii malasnya nak buat kerja tapi sempat lagi update blog. Kalau boss aku tahu apa aku buat sekarang, sure kantoi! Padan muka aku. 

Lamanya nak tunggu sampai petang. Sekarang baru pukul 9 lebih, ada lagi 7 jam nak balik.  Apa aku nak buat ni?? Mati kutu aku dibuatnya. 

Tak sabar nak cuti esok. Macamlah aku nak balik kampung jauh, balik pun balik Bangi. Kepada yang beraya di Bangi, jemputlah datang ke rumah nanti ya. 

Ok..aku nak sambung buat kerja. (macam lah ada kerja nak buat)

Sebelum tu, terimalah ucapan daripada aku:

Dalam kerendahan hati,
Ada ketinggian budi,
Dalam kemiskinan harta,
Ada kekayaan jiwa,
Dalam kelembutan lidah,
Ada juga keterlanjuran kata,
Dalam gurau dan senda,
Tentu ada khilaf dan dosa,

Mohon ampun dan maaf di atas segala-galanya, 

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Moga silaturrahim diberkati Allah. 

p/s: kuatkan semangat untuk teruskan kerja.

Wednesday, August 15, 2012

Dapat kad raya

Baru tadi secretary boss hantar kad raya kat aku. "Kak, ada kad untuk akak."

Dalam hati aku tertanya-tanya, "siapa pula yang bagi kad raya kat aku ni?" 

Rasanya dah lama aku tak dapat kad raya, mahu lebih 5 tahun. Bila buka kad raya, rupa-rupanya daripada kawan lama, Latip. Sila rujuk kat sini untuk mengetahui lebih lanjut. 

Inilah rupanya kad daripada Latip. 

Bila dapat kad raya daripada Latip, senyum sampai ke telinga. Akak suka sangat! Masa tengah taip untuk entry ni pun aku masih senyum lagi. Hehehe.. (macamlah korang nampak aku senyum kan?)

Kebetulan pula aku ada kad raya opis, terus aku balas kad raya Latip. Konon nak tunjuk professional lah katakan. Dia bagi kad raya rasmi opis dia so aku kena balas kad raya rasmi opis aku. Takkanlah aku nak bagi kad raya yang beli kat kedai. Sungguh tak sesuai!

Rasanya Latip akan dapat kad raya aku lepas raya sebab aku pos lambat.  Biar lambat, asalkan selamat. Betul tak? 

Kepada yang minta kad raya aku sebelum ini, harapnya semua dah dapat ya. Itu sahaja yang aku mampu nak bagi. 

p/s: rasa-rasa ada orang lain tak nak bagi kad raya kat aku?

Tuesday, August 14, 2012

Mood raya

Dalam minggu terakhir bulan Ramadhan, dah tak ada semangat nak buat kerja. Walaupun badan ada di opis, hati dah melayang jauh ke tempat lain. Bila masuk kerja, kejap-kejap tengok jam. Kenapalah jam ni tak bergerak langsung atau jam yang ada ni dah rosak? Hehehe...

Bagaimana persiapan raya? Kali ini aku buat simple sahaja. Kuih raya pun, baru buat 2 jenis. Konon plan nak buat sampai 4-5 jenis tapi tak tahulah sama ada sempat atau tak. Sabtu lepas aku dengan adik nombor dua pakat buat kuih raya sama-sama dan kongsi beli bahan kuih. So, kalau pergi ke rumah aku dan rumah adik aku, korang akan lihat kuih raya yang sama. Kalau ada beza pun, beza sikit je. Aku rasa bila kita buat kuih sendiri bukan sahaja jimat malah lebih sedap. Memang aku akui, nak buat kuih raya ni penat tapi aku puas hati.   

Selalunya aktiviti yang biasa aku buat pada pagi raya iaitu selepas solat sunat raya, semua ahli keluarga berkumpul di rumah dan bermaaf-maafan. Lepas tu, pergi ke kubur arwah mak, bacakan surah yasin dan kemaskan kubur. (masa ni memang meleleh air mata)

Aktiviti seterusnya beraya ke rumah saudara-mara yang berada di Temerloh dan Kuala Pilah sambil-sambil update cerita terkini. Apa taknya, dah lama tak jumpa pasti ada cerita menarik yang perlu dikongsi bersama-sama. Betul tak? 

Di sini aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tak lama lagi dan maaf zahir batin kepada semua. Kalau memandu, pandulah berhati-hati semoga selamat sampai ke destinasi. (cewaah macam ucapan PM kat TV pulak)

p/s: dok dengar lagu raya kat opis, lagilah malas nak buat kerja. 

Friday, August 10, 2012

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails